SUBSCRIBE

Ahad, Mei 15, 2016

AIN NADIRA 1

Tiga minggu lepas, pertunangan Ain berlangsung dengan cara paling sederhana. Kurang seminggu lagi, majlis pertunangan mereka berlangsung. Namun, Ain langsung tidak menghiraukan persiapan majlis perkahwinannya. Segalanya telah diuruskan ibu bapanya. Dari tempahan khemah, bunga telur, goodies, makanan dan pelamin sudah siap. Puan Azlin ada menyuruhnya ke kedai emas untuk membeli cincin. Namun Ain hanya memberi cincin yang dihadiahkan Encik Radzi dulu.
“Kamu ni Ain, mak tengok macam tak nak saja kahwin. Langsung tak ambil kisah persiapan majlis nikah kamu. Dah macam orang kena paksa kahwin. Kamu terpaksa ke? ke kamu ada buat salah?” Tanya Puan Azlin.
“Mana ada. Ini tanda protes. Siapa suruh mak dan abah setuju tunang selama sebulan saja. Bukan nak tanya orang dulu.” Jawab Ain.
Dia tidak punya alasan untuk menolak Tengku Azrin. Jadi dia cuma terima dengan harapan sekiranya dalam tempoh pertunangan mereka, ada orang lain datang meminang atau  dia terjatuh cinta dengan orang yang sepatutnya. Kemudian, bolehlah putuskan pertunangan ni dan berkahwin dengan pilihan hati dan hidup aman selamanya.
‘Arh, mengarut. Itu semua khayalan. Mana ada orang hidup aman selamanya. Tak trill lah hidup tanpa mengugat keamanan. Tak rock.’ Kata hati Ain.
Semua ni terjadi pun sebab ibu bapanya yang sangat berharap dia berkahwin. Nak harap kakaknya? Hakimah asyik sibuk belajar. Malah kakaknya itu tak dapat pulang ke Malaysia untuk perkahwinannya ini. Sedang peperiksaan akhir tahun untuk PhD.
Abang pula tak habis-habis belayar. Mak kata orang takut nak kahwin dengannya. Takut kena tinggal berbulan-bulan.
Jadi sebagai anak yang selalu ada dengan mak dan abah, harapan untuk melihat anak-anak mereka berkahwin adalah Ain. Lagipula, Ain sudah berjanji dengan diri sendiri bahawa dia akan selalu membahagiakan hati mak dan abah. Dan sebagai anak yang solehah, Ain ikutkan saja.
Ain mengeluh.
‘Solehahkah aku yang buat ibu bapaku bersusah payah menguruskan majlis pernikahanku tanpa sedikit pun aku membantu?’
Persoalan itu yang membuatkan Ain memaksa diri untuk pergi juga ke kedai Andaman untuk mencuba pakaian nikah, berinai dan bersanding yang telah ditempah oleh Puan Azlin. Jika ikutkan hatinya, dia langsung tak nak pergi. Ini bukan perkahwinan idamannya. Dan tentunya kerana bukan dengan lelaki idamannya.

                                               *********************

Tempoh sebulan yang diminta oleh pihak pengantin lelaki telah berlalu dan kini tiba lah hari yang dinanti oleh semua yang terlibat dalam persiapan majlis pernikahan ini. Sedia atau tak. Ain tetap kena terima. Dia tiada pilihan. Persetujuan telah dibuat. Majlis sedang berlansung. Ain redha.
Ain telah siap di andam oleh mak andam Saba yang Puan Azlin upah. Sebenarnya sudah 3 hari Ain bersama dengan mak andam yang dipanggil Cik Saba.
Hari pertama Ain dimandikan dengan luluh dan susu. Kemudian membuat rawatan muka dan urutan seluruh badan.
Pada hari kedua pula, Cik Saba datang ke rumah bagi memastikan pelamin dan bilik pengantin dalam keadaan sempurna. Kemudian muka Ain dibelek untuk cuba acu warna. Takut tak sesuai.
Hari ini pagi-pagi lagi dia sudah datang. Mengikut perancangan majlis yang sudah diatur, Ain akan dinikahkan selepas solat Isyak. Jadi Cik Saba ingin memastikan Ain dalam keadaan tenang dan segar. Sudah menjadi tugasnya untuk memastikan pengantin dalam keadaan cantik dan berseri. Dan ini adalah apa yang diajar oleh gurunya dulu.
“Ain, jaga air sembahyang tau. Nak berak ke kecing ke. Buat sekarang. Nanti nak maghrib senang. Terus solat. Make up pun tak berusik.” Pesan Cik Saba sebaik saja Ain selesai solat Asar.
“Kenapa?” Tanya Ain.
“Ya lah. Takkan nak make up selepas maghrib. Tak sempat nanti.” Jawab Cik Saba.
“Ain tak nak make up beria sangat. Light saja.” Balas Ain.
“Ya, Cik Saba tau. Lagipun, Ain memang elok make up light saja. Tapi kenalah buat dari sekarang. Tak gopoh.” Kata Cik Saba.
Ain hanya angguk.
Tepat jam 8.10 malam, rombongan pengantin lelaki telah tiba. Mereka dijemput untuk menjamu selera dulu sebelum solat Isyak berjemaah. Menjadi tradisi di dalam keluarga mereka. Bakal pengantin lelaki kena mengimamkan solat Isyak. Ain tidak diberi kebenaran untuk ikut serta kerana dia sudah dihias.
Usai solat Isyak berjemaah, Ain dibawa turun untuk acara seterusnya. Ain duduk di tempat yang disediakan sambil diapit oleh Puan Azlin disebelah kanan dan seorang mak cik yang dia tidak kenal disebelah kiri. Ain mencium tangan keduanya seperti yang diarah oleh mak andam. Ain cuba memandang ke arah pengantin lelaki tapi pandangannya di selindungi oleh tetamu lelaki yang hadir.
Upacara dimulakan dengan tok kadi memberikan khutbah nikah kahwin terlebih dahulu. Khutbah ringkas dan padat buat pasangan suami isteri. Ain tekun mendengar. Sebaik saja khutbah nikah habis dibaca, Kak Maya duduk di hadapan Puan Azlin.
“Untung kau Ain. Pandai laki kau imam. Sedap pula tu suara dia.” Bisik Maya.
 Ain hanya tersenyum.
‘Tengku Azrin jadi imam? Biar benar. Pandai ke lelaki tu? Selama aku kenal dia tak pernah nampak dia ke surau apatah lagi nak imam.’ Sindir Ain dalam hati.
‘Betullah orang kata, don’t judge a book by its cover.’ Hatinya terus berbicara.
“Ain NAdira Bt Mohd Radzi” Panggil tok kadi.
Ain memandang tok kadi yang sudah duduk dihadapannya. Hatinya sedang berdebar untuk soalan seterusnya.
“Setujukah dikau untuk dinikahkan dengan Amran Syauqi Bin Amir  Syayuti?” Tanya tok kadi itu.
Ain terkejut bila nama itu disebut.
“Boleh saya jumpa dengan Amran sekejap?” Ain membuat permintaan luar sedarnya.
Permintaan Ain itu menimbulkan tanda tanya semua yang ada di situ.
“Ain, apa yang tak kena ni?” Bisik Puan Azlin.
Malu rasa hatinya bila Ain membuat permintaan luar kebiasaan seperti itu. Para tetamu sudah memandang ke arah mereka. Takut benar andai ada mulut jahat yang akan memperkatakan tentang perkara ini dan memburukkan anaknya itu.
Ain memandang ibunya dan minta kefahaman ibunya.
Puan Azlin angguk akhirnya setelah memikirkan baik buruknya.
“Pergi naik atas.” Arah Puan Azlin.
Ain masuk ke kamar pengantin yang dihias indah itu. Tema putih menjadi warna bilik ini. Dari dinding sehinggalah ke bunga. Semua putih kecuali perabot dan lantai saja yang menggunakan unsur kayu.
Amran masuk ke dalam bilik Ain sebaik mendapat keizinan dari orang ramai terutama ibu bapanya dan Ain. Amran menyusul dibelakang Ain. Dengan lafaz bismillah, Amran memulas tombol pintu bilik Ain dengan berhati-hati. Takut juga seandai melayang pisau sebilah, tak sempat kahwin.
“Ada apa Ain?” Tanya Amran.
Ain yang membelakangi Amran pusing dan terhenti bicaranya. Ain pandang budak lelaki yang berada dibelakang Amran.
“Dia temankan saja. Tak maniskan kita berdua dalam bilik sebelum sah menjadi suami isteri. Walaupun kita akan bernikah tak bermakna syaitan itu akan jauh dari kita. Lagipun, kalau ada yang nak cerita bukan-bukan  dia boleh jadi saksi bahawa tiada apa yang berlaku antara kita sebab dia cukup syarat menjadi saksi kes tuduhan fitnah mengikut lunas Islam.” panjang lebar penerangan Amran.
Ain masih lagi teragak-agak untuk bercakap. Dia khuatir apa yang hendak diperkatakannya akan dikhabarkan kepada orang lain.
“Owh, jangan risau. Rahsia kita selamat dengan dia. Tak payah risau. Saya dah rasuah dia dengan KFC pagi tadi.” Sambung Amran lagi sambil ketawa kecil seakan faham akan kegusaran hati Ain.
“Erm... Tak apa lah kalau macam tu. Saya pun tak ada rahsia apa pun nak cakap. Cuma nak minta kepastian saja.” Terasa janggal untuk membahasakan diri ‘saya’ dengan orang yang kita dah biasa ber‘aku-kau’.
Amran angkat bahu dan mempersilakan Ain untuk bercakap.
“Awak ni gantikan tempat Tengku Azrin, ke?” Tanya Ain terus tanpa ada mukadimah.
Amran mengeleng.
“Habis tu, kenapa awak yang akan bernikah dengan saya?” Tanya Ain lagi.
“Sebab saya tunang awak.” Ringkas saja jawapan Amran.
“Sejak bila pula saya bertunang dengan awak?” Ain pelik.
 “Sejak sebulan yang lalu.” Amran masih tenang menjawab.
“Ha? Kejap. Saya tak faham.” Jelas kelihatan kekeliruan di wajah Ain.
“Senang saja. Sebulan yang lalu keluarga saya datang merisik awak dan keluarga awak minta kita terus ditunangkan terus. Dan keluarga saya minta kita bernikah pada hari ini.” Jelas Amran.
“Tapi bila?”
“Apa yang bila?”
“Awak datang merisik?”
“Bulan lepas.”
“Bila pula? Bulan lepas bukan Tengku Azrin yang datang meminang, ke? Kan awak pun ada masa dia cakap nak datang meminangkan?” Ain bertanya.
“Okey macam ni. Saya bagi awak pilihan, wahai cik tunang. Awak nak teruskan pernikahan kita atau awak nak batalkan? Atau mungkin awak nak saya panggilkan Tengku Azrin untuk mengantikan tempat saya. Mungkin awak dah mula sayangkan Tengku Azrin?” Putus Amran.
Mendengarkan nama Tengku Azrin, Ain terus mengeleng.
Amran senyum.
“Saya tak nak bernikah dengan Tengku Azrin.” Balas Ain.
“Dah tu awak setuju bernikah dengan saya?” Soal Amran.
Ain hanya tertunduk.
Dia punya pilihan lainkah? Membatalkan perkahwinan sama seperti menempah maut. Tak ubah seperti melumurkan tahi dimuka ibu bapanya. Perkara itu tak mungkin akan dilakukannya. Menerima Amran pula dia tak tahu. Akalnya berkata tidak dan hatinya berkata ya. Masih berbolak-balik.
Melihatkan Ain yang kaku, Amran keluar dari bilik itu dan turun ke bawah.
Amran mengangguk kepada hadiran yang memandangnya bila saja dia turun menandakan Ain sudah setuju. Hadirin yang ada semua mengucapkan syukur terutama Puan Azlin dan Encik Radzi.
Bukan mereka tak kenal akan perangai anak dara mereka yang seorang tu. Hitam katanya hitam lah. Takkan ada warna lain. Menundakan pernikahan tadi sudah boleh buat orang yang tahu perangainya seperti putus nyawa. Malu kalau tiba-tiba Ain Nadira tak setuju.

***************

Sudah menjadi adat keluarga Ain, selagi belum selesai upacara majlis, pengantin lelaki dan perempuan tidak boleh tidur sebilik. Ain lega mendengarkan penjelasan dari Mak Su. Padanya, tempoh seminggu itu sudah cukup bagus untuknya mempersiapkan diri untuk menerima Amran sebagai suaminya.
“Habis lah. Malam ni tidur tak lena lah cik abang kita ni. Dah sah tapi kena puasa pula.” Usik Mak Angah.
Ain disebelah hanya tersenyum.
 “Redha sajalah, Mak Ngah. Mujur saya selalu tidur tak lena. Mengamalkan konsep tidur askar. Takut kalau tidur lena nanti tak sedar mana bantal, mana isteri. Kira ni persiapan awal sebelum berumahtangga.” Jawab Amran.
Mereka ketawa.
Usai majlis pembatalan air sembahyang dan bergambar, kebanyakan ahli keluarga mereka terutama keluarga Ain berkumpul di hadapan pelamin. Semua tak sabar nak berkenalan dengan ahli baru keluarga. Baik Ain mahupun Amran.
Amran pula tidak kekok untuk berbual mesra dengan mereka maka Ain mengambil langkah berdiam diri. Itu juga perangai Ain. Dia lebih suka berdiam diri.
Sedang mereka rancak berbual, Mak Long keluar dari dapur bersama dulang. Dulang itu diletakkan di hadapan Ain dan Amran.
“Nah Ain pinggan nasi kamu dan Amran.” Hulur Mak Long pinggan yang sudah siap diisi dengan nasi dan pelbagai lauk yang telah dimasak oleh Ain petang tadi.
“Satu pinggan saja Mak Long?” Tanya Amran.
“Alahai... Mak Long lupa nak bagitahu kamu. Tradisi keluarga ni. Selepas akad nikah, si isteri kena suapkan suaminya dengan juadah yang dimasaknya sendiri. Bukan apa, nak bagi hubungan suami isteri lebih erat dan mesra.” Terang Mak Long.
Ain yang mendengar terlopong.
“Lagipun ini cara nak pujuk suami sebab kena puasa selepas akad.” Sambung Mak Lang yang baru masuk ke ruangan itu.
Kata-kata Mak Lang itu mengundang tawa halus dan senyum sinis seisi rumah. Mak Lang berlalu bersama Mak Long. Pasti ada sesuatu yang masih perlukan perhatian mereka untuk memastikan kelancaran majlis persandingan esok.
Ain mencari kelibat ibunya. Tapi dia terperasan yang semua mata memandang ke arahnya. Dia melihat dirinya sekiranya ada apa-apa yang bermasalah.
“Dah yang kau orang pandang semacam ni, kenapa?” Tanya Ain.
Suara yang sengaja ditinggikan sedikit. Cara untuk elak dari perasaan malu. Beranilah nak cakap macam tu. Yang ada kat depan ni kebanyakan sepupunya dan lebih kurang sebaya saja. Jika ada orang yang lebih tua, tidaklah dia buat begitu. Memalukan mak abahnya pula.
“Awakkan nampak cantik malam ni. Biarlah dia orang nak pandang awak. Bukan luak pun.” Puji Amran.
“Ain tak naklah suapkan. Tah apa-apa punya tradisi lah. Tak pernah dibuat orang.” Ain mengubah topik perbualan kerana malu dengan pujian yang Amran berikan kepadanya.
“Tak kisah lah kalau tak nak suap. Yang muka tu dah colour biji delima tu, kenapanya?” Usik Haikal.
Ain tersipu sambil memegang pipinya.
“Ini salah mak andam ni. Ada ke dia pakaikan blusher banyak kat muka Ain. Ini kena tegur mak andam ni” Ain cuba bela diri.
“Ye ke? Abang meh nak tengok gambar yang abang ambil tadi tu. Betul ke mak andam yang salah make up.” Laung si Hana sambil melambai jurugambar merangkap tunangnya itu.
Dengan segera Hanif menunjukkan gambar yang berada di dalam kameranya.
“Mana ada kak Ain. Nurul tengok cantik je mak andam tu make up kan. Tak ada pun terlebih blusher tadi.” Jawab Nurul yang memang terkenal dengan sikap lurus bendulnya.
Mereka mengekek mentertawakan Nurul.
“Meh abang pula nak tengok gambar tu.” Pinta Zarif yang memang membahasakan dirinya abang dikalangan sepupu mereka sementalah dia cucu sulung.
“Ye lah Ain. Abang pun tengok okey saja mak andam tu taruk blusher. Tak ada pun macam sekarang ni. Bila masa pulak mak andam touch up.” Usik Zarif pula.
“Cik Saba guna make up yang bagi kesan merah bila lagi lama pakai.” Jawab Ain spontan.
“Abang mana nak tahu. Abang lelaki mana nak tahu perkembangan dunia fesyen ni.” Tambah Ain lagi.
“Ek? Ada ke? Ni kena tanya kak Maya ni. Dia kan kerja dekat syarikat kosmetik kan? Mesti dia tahu. Mana kak Maya ni.”
Anis yang sedari tadi diam mula menyampuk sambil mencari Maya yang sudah beransur untuk menyusukan anaknya yang sudah keletihan.
“Apalah korang ni. Kesian kat isteri aku ni.” Bela Amran.
Ain pandang ke arah Amran sambil matanya mengungkap ucapan terima kasih.
“Habis tu Ain terlepaslah dari tradisi keluarga ni?” Tanya Hana tak puas hati.
“Tak apalah. Mungkin isteri aku ni tak sayang aku. Tu pasal dia tak kisah biarkan suaminya yang tengah kebulur ni berlapar. Dia lagi suka biar aku makan kat kedai balik nanti.” Kata Amran lemah sambil matanya tak lepas dari memandang Ain.
“Awak sangat lapar ke?” Tanya Ain perhatin.
Amran hanya mengangguk.
Dengan tak semana Ain terus membasuh tangannya mengunakan air basuh tangan yang Mak Long sediakan didalam dulang nasi tadi dan segera menyuap Amran tanpa menghiraukan yang lain. Dia seakan lupa dengan kehadiran yang lain.
Amran hanya menerima suapan isterinya dengan senyuman sambil mata tidak lekang dari menatap wajah isterinya dari jarak paling dekat. Selesai suapan yang terakhir Mak Uda yang dari tadi memerhatikan pasangan pengantin itu bersama ahli keluarga yang lain bersuara.
“Boleh pun Ain. Tadi malu sangat.” Usik Mak Uda.
Ain tersedar akan tindakan spontannya itu lantas bangun dan ingin berlalu bersama pinggan yang sudah tinggal tulang ayam saja itu. Mak Su lantas menghampirinya dan menahan Ain dari berlalu.
“Apa kau orang ni? Dari tadi usik anak manja Mak Su ni. Kesian dia.” Marah Mak Su.
Sesungguhnya Ain memang sudah dianggap sebagai anaknya sendiri sementalah dia tidak punya anak walau sudah 11 tahun mendirikan rumahtangga. Ain pun sememangnya rapat dengannya sejak kecil hingga kini.
Ain memeluk Mak Su manja.
“Alah Mak Su ni bila lagi nak menyakat. Lepas ni dah tak ada chance lagi nak menyakat.” Haikal cuba mengajak Mak Su bersekongkong.
“Sudahlah. Ain basuh tangan tu.” Arah Mak Su sambil menghulurkan mangkuk air basuh tangan kepada Ain.
“Nah Nurul. Ambil dulang ni bawa ke dapur.” Arah Mak Su lagi tapi kini kepada Nurul sambil menghulurkan dulang kepada Nurul.
Nurul menyambutnya dan berlalu ke dapur.
“Basuh terus.” Laung Mak Uda pula.
Yang hadir hanya tersengih melihat Nurul dibuli. Nasib baik tak kena. Dengan Mak Su siapa berani melawan. Bukan sebab takut tapi mereka sangat menghormati Mak Su.
“Ain pergi bawa Amran tengok bilik pengantin kamu. Tapi jangan lama sangat. Amran nak kena balik rumah dia kejap lagi.” Arah Mak Su.
Ain mengangguk dan melakukan seperti yang diarahkan Mak Su. Sewaktu melangkah menaiki tangga rumahnya menuju ke biliknya ditingkat atas sekali lagi Mak Su bersuara.
“Sekejap saja. Jangan nak buat apa-apa. Tahan-tahan lah sikit.” Sakat Mak Su.
Anak-anak saudaranya yang lain bersorak gembira kerana Mak Su mereka telah masuk parti menyakat pengantin baru.
Ain sudah memerah pipinya menahan malu.
“Amran kamu pun jangan nak menggada usik isteri kamu tu. Nanti esok hilang seri pengantin.” Ujar Puan Rozila, mummy Amran.
Usikan itu disambut oleh gelak seisi rumah.
Ain terus menarik Amran ke atas. Makin lama makin hebat pula usikan mereka dan makin ramai pula yang menyakat.
Selesai menunjukkan bilik pengantin, Ain mengajak Amran untuk turun. Ain menarik Amran. Dia tak mahu berada lama di dalam bilik. Tak tahan nak dengar usikan mereka yang menanti di bawah nanti kalau berlama dibilik.
Namun Amran seperti sengaja mahu berlama dengannya. Mahu masuk ke dalam. Siap duduk di atas katil.
“Hias cantik-cantik tapi still tak dapat nak rasmikan. Then, what the purpose hias bilik pengantin kalau pengantin perempuan saja yang tidur di sini?” Tanya Amran.
“Manalah Ain tahu. Tanyalah orang yang buat rules ni.” Jawab Ain.
Amran baring di atas katil itu seketika.
Ain hanya memandang.
“Jomlah turun.” Desak Ain.
Dia rasa sudah lama mereka di dalam bilik ini. Hatinya gelisah menanti usikan dari keluarga di bawah. Sesungguhnya, Ain memang tidak tahan diusik.
“Jom.” Kata Amran.
Dia bangun dan terus menarik tangan Ain untuk turun.
“Lamanya pengantin baru duk atas. Susah hati nak berjauhan ke? Alah, sekejap saja. Esok jumpa lagi. Pastu minggu depan dah tak ada siapa nak kacau. Nak duduk berapa lama pun tak ada siapa pun yang nak kisah.” Usik Mak Andak yang baru sampai dari Pahang.
“Apa pula Mak Andak. Tu kira sekejap saja tu. Kalau kak Maya dengan abang Afwan dulu lagi lama. Sempat makan nasi sepinggan.” Sampuk si Nauhal.
“Eyh, apa pula kak Maya pun bersabit?” Maya cuba mempertahankan dirinya.
“Alah, kami bukan apa. Bermaafan dulu. Mengeratkan silaturahim.” Jawab Afwan bila isterinya teruk disakat oleh yang lain.
“Eleh bermaafan konon. Apa yang nak dimaafkan tah. Kata saja nak lepaskan rindu.” Ejek si Afiq.
Afwan ketawa
“Gila kau tak rindu. Sebulan kot aku kursus kat Melbourne. Balik tak sempat nak jumpa sebab orang tua tak bagi jumpa seminggu sebelum nikah. Ingatkan lepas nikah boleh terus terkam. Rupanya kena puasa dulu sehari. Nasib baik belah aku tak buat kenduri. Kalau tak mahu puasa seminggu macam si Amran ni.” Balas Afwan sambil ketawa.
Yang lain turut sama ketawa tak terkecuali pengantin baru.
“Abang ni apa tak semenggah ni. Tu pun nak cerita ke?” Balas Maya manja sambil memukul lengan suaminya.
Muka Maya tak payah ceritalah pink dia. Semua yang ada tergelak melihat pasangan yang sangat sempoi itu.
“Alah...berkongsi ilmu” jawab Afwan selamba.
Ain kemudian menghantar Amran dan ahli keluarganya yang lain hingga ke kereta. Buat kali kedua, Ain bersalaman dengan Amran tanda hormat dan untuk pertama kalinya Ain menyalami Amean tanpa ada suara yang menyuruh.
Usai menghantar Amran dan keluarganya, Ain lihat ruang tamu makin kosong. Hanya tinggal beberapa orang yang masih asyik bersembang. Yang lainnya sibuk di bawah khemah. Sibuk melantak. Penat menyakat orang lah tu. Ain terus ke bilik untuk tukar pakaian. Rimas rasanya terus dengan baju ni.
Ain turun ke bawah untuk menolong apa yang perlu. Tak manis biarkan tetamu yang buat kerja. Nak harap Hakimah, kakaknya itu tidak dapat balik. Final exam. Lagipun jauh di Belanda. Along pula belayar. 2 minggu  lagi baru balik. Jadi sebagai anak tunggal buat masa ni, kenalah aku ringan-ringankan tulang walaupun sebenarnya dah terlalu penat.
Ain ingin menolong sepupu-sepupunya memasukkan cenderamata untuk tetamu ke dalam kotak. Namun bila saja Mak Su dan Mak Uda nampak Ain terus ditegah turun membantu. Mereka menyuruhnya tidur agar esok sewaktu bersanding tidak letih.
“Nanti hilang seri pengantin.” Kata Mak Uda.
“Kan mak andam dah naikkan seri pengantin.” Jawab Ain.
“Ish. Menjawab pula budak ni. Dah pergi masuk bilik. Tidur.” Arah Mak Su.
Ain hanya menurut.

                                               ******************

Sesungguhnya majlis kenduri kahwin sangat memenatkan. Syukur jiran tetangga masih lagi dengan semangat tolong menolong. Kurang sikit rasa penat selepas majlis. Tinggal nak susun semula barang-barang yang telah digunakan sebelum diserahkan semula kepada pihak surau.
“Amran, mari minum ni.” Laung Puan Azlin.
Amran meninggalkan kerjanya dan menuju ke arah ibu mertuanya yang duduk di laman rumah dua tingkat itu. Segera dia mengambil air yang dihidangkan dan minum.
“Kamu ni hari-hari kat sini mak kamu tak marah ke?” Tanya Puan Azlin.
Risau juga andai besannya fikir Amran berat sebelah. Maklum lah lagi beberapa hari saja lagi kenduri di rumah mereka.
“Mummy tak kisah pun. Lagipun, saya pun tengah cuti.” Jelas Amran.
“Mak bukan apa. Takut kamu penat. Nak uruskan kat sini. Nak uruskan untuk majlis kat rumah kamu lagi. Nanti apa pula mak kamu cakap.” Terang Puan Azlin.
“Jangan risaulah, mak. Mummy lagi suruh saya tolong kat sini adalah. Lagipun, kat rumah tu ramai yang nak tolong. Maklumlah, adik beradik mummy ramai. Dah pencen pula tu semua. Tu yang meriah sangat kat rumah tu. Sampai Am sendiri tak tahu nak buat apa.” Kata Amran sambil tersenyum.
“Tak apa lah kalau kamu dah cakap macam tu. Syukur kamu ada. Kalau tak, lambat lagi nak siap semua ni. Ni pun dah nak habis. Esok diorang datang ambil periuk dengan pinggan mangkuk ni, dah legalah. Dah siap kemas semua. Alhamdulillah.” Kata Puan Azlin.
Ain yang mengikuti perbualan mertua dan menantu itu hanya tersenyum.
Benar dia sangat bersyukur. Amran banyak membantu. Maklumlah, dia kini anak tunggal. Adik beradik semua tak boleh balik. Saudara mara pula dah balik. Mereka semua ada tanggungjawab masing-masing. Yang tinggal hanya Mak Su memandangkan Mak Su tiada tanggungjawab lain selain Pak Su.
‘Nasib baik aku ikut cakap abah mohon cuti selama 2 minggu. Kalau ikut aku isnin aku dah nak masuk kerja. Tak nak habiskan cuti lama-lama. Lagipun aku dah mula bercuti 3 hari sebelum majlis pernikahan aku. Itulah untung jadi anak dengar cakap. Lepas penat mengemas, boleh rehat.’ Ain memuji dirinya sendiri.
Tiga hari lagi adalah majlis persandingan di rumah Amran. Memikirkan perkara itu membuatkan Ain jadi gementar. Mengikut perancangan Amran, selepas majlis persandingan dirumahnya, mereka akan menetap di rumah ibu bapa Amran.
Amran memohon pengertian Ain memandangkan dia anak lelaki dan mereka hanya dua beradik. Adiknya pula tak tahu berada dimana. Jadi tugas menjaga ibu bapanya adalah tugasnya.
Tanpa Ain sedar, Amran cuma menggunakan alasan ‘ibu bapanya tidak ada orang jaga memandangkan usia sudah tua’. Sebenarnya, Amran cuma ingin mendidik isterinya. Dia mahu Ain menjadi seorang yang menghargai dan menghormati orang sekeliling.
Ain bukan berkelakuan buruk cuma Ain ada satu sifat yang suka menyendiri. Dia suka berada di dalam zon selesanya sendiri. Sukar hendak bergaul dengan orang. Jadi, Amran rasakan bila Ain berada di rumah ibu bapa mertua, pasti Ain lebih pandai untuk membawa diri berbanding jika mereka duduk berasingan dengan keluarga.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan