SUBSCRIBE

Rabu, Mei 11, 2016

SEMBANG JIWA 1

            Encik Khir meninggalkan Hidayati dengan 1001 persoalan. Setiap isu yang diungkapkan tiada yang salah. Semua kenyataan yang Hidayati harus hadapi. Hidayati sendiri tak menafikan hakikat bahawa Harith memang begitu.
Benar kata Encik Khir. Hidup Harith terlalu bebas. Lebih bebas dari sang burung. Sekurang-kurangnya, burung tahu batasan diri. Setinggi mana dia boleh terbang. Burung juga tahu bila malam mula melabuhkan tirai, harus pulang ke sarang. Harith bukan hanya burung yang terbang bebas tetapi dia juga kelawar yang mencari makan hingga ke pagi. Bezanya, kelawar makan untuk terus hidup tetapi Harith untuk nafsu.
"Fikirlah sedalamnya. Pilihlah pasangan hidup kerana agamanya kalau kau mahu bahagia hingga akhir hayat. Sehingga ke syurga. Abah percaya dia boleh berubah tapi seperti perokok tegar susah mahu meninggalkan rokoknya walaupun sudah difatwakan ianya haram. Dia perlu melalui pelbagai proses untuk membantunya melupakan rokok. Harith dalam situasi yang hampir sama. Bezanya, dia sudah tersasar jauh. Rokok diharamkan baru-baru ini tapi zina sudah diharamkan sejak dulu lagi. Kak Long, dia bukan perokok tegar tapi penzina. Nikmatnya melebihi rokok. Kak Long fikirkanlah. Kalau mahu abah terima dia, buktikan dia boleh jaga Kak Long dengan baik dan setia hanya pada Kak Long seorang." Luah Encik Khir disaat Hidayati menanyakan tentang lamaran Harith.
Ini bukan kali pertama lamaran Harith terpaksa ditolaknya demi abah. Masuk ini sudah kali ketujuh lamaran itu  ditolak dengan alasan belum sedia.
Entah kenapa hati Hidayati tetap suka dan percaya pada Harith. Sedangkan dia tahu cara hidup jejaka itu. Jejaka itu bukan keluar dengan perempuan bertukar ganti tetapi dia punya perempuan yang dibelainya setiap malam. Senang kata perempuan simpanannya. Dia tidak tidur dengan sebarangan perempuan. Pilihannya? Perempuan yang masih dara yang hanya dia seorang boleh sentuh sehingga dia jumpa anak dara yang sanggup menjadi teman ranjangnya dan membuang yang lama dengan jaminan hidup mewah.
Harith, si pemuda yang sudah tidak punya keluarga. Dia anak tunggal kepada seorang hartawan terkenal di Malaysia. Ibu bapanya meninggal dunia sewaktu dia berusia 12 tahun. Jangan ditanya kenapa. Hidayati sendiri tak sanggup untuk bertanya dan Harith sendiri keberatan untuk bercerita. Harta yang diwariskan oleh bapanya tidak akan habis walaupun cara hidupnya begitu.
Namun disebalik perlakuannya yang begitu, Harith seorang lelaki budiman. Untuk Hidayati, dia belum pernah melihat Harith berkelakuan kurang sopan terhadap sesiapa pun terutamanya wanita. Sikapnya yang menghormati orang sekeliling membuatkan hati Hidayati tertambat. Harith tak pernah tahu yang Hidayati menaruh hati padanya kerana Hidayati selalu mengatakan bahawa dia sayangi Harith sama seperti kawan-kawanku yang lain.
Selain itu, sifat romantis Harith yang sangat pandai membelai jiwaku membuatkan dia dipanar asmara. Seakan ada tarikan kimia antara mereka yang membuatkan Hidayati selalu terbelai dengan layanannya. Oleh itu, Hidayati selalu mengelak dari berduaan dengan Harith kerana takut andai dirinya tidak kuat menahan buaian perasaan cinta.
Hidayati selalu melayan Harith sama seperti melayani kawan-kawannya yang lain. Sebab itu bila kali pertama Harith melamarnya, dia kaku seketika. Hakikatnya, dia sangat gembira dengan lamaran itu tapi dia menolak kerana menganggap ianya hanya sebuah gurauan. Dalam keadaan gurau itu, sempat dia berkata,
"Aku punya keluarga. Jumpalah keluarga aku"
Ternyata, gurauannya itu disalah ertikan oleh Harith apabila seminggu kemudian dia datang ke rumah berjumpa dengan Encik Khir meminta kebenaran untuk mengahwininya.
Mulanya Encik Khir sangat setuju kerana caranya itu yang dianggap sopan, mengikut sepatutnya cara seorang lelaki yang menginginkan seorang perempuan. Namun Encik Khir tetap meminta tempoh untuk diberi jawapan. 
Setelah sebulan berkenalan, Encik Khir mula menyoal siasatnya. Dan dengan jujur dia menjawab setiap soalan Encik Khir. Dari situlah Encik Khir mengetahui tentang cara hidup Harith yang tersasar jauh dari landasan Islam yang sebenar.
Hidayati tak pernah memberitahu Harith kenapa lamarannya ditolak oleh Encik Khir kerana dia tak mahu Harith berubah kerananya. Dia sedar, Harith sanggup lakukan apa saja untuknya. Dia tak mahu begitu. Biarlah perubahan itu ikhlas dari hati Harith sendiri. Bukannya Hidayati tidak tahu yang Harith sedar akan kekhilafannya itu, namun dia seperti tidak cuba untuk berubah. 
Itu yang paling Hidayati kesalkan.
Kekesalan itu tidak pernah  diluahkan kepada Harith. Hidayati tak mahu Harith anggap dia ambil kisah tentangnya dan tak nak dia tahu perasaannya kepada Harith.
"Abah faham perasaan Kak Long pada dia walaupun Kak Long tak cakap. Tapi Kak Long kena tahu, memilih pasangan hidup bukan hanya bergantung pada apa yang kita rasa tapi jaminan untuk masa hadapan. Memang kita tak boleh jangka masa depan tapi sekurangnya, kita boleh rancang untuk masa depan yang baik. Kahwin ni bukan boleh suka kahwin, tak suka cerai. Dalam perkahwinan ada banyak benda kena jaga, ada banyak benda yang perlu kita kisahkan. Fikirlah baik-baik. Kalau Kak Long kata dia, Abah tak akan menghalang. Kalau tidak, cakap dengan dia betul-betul. Jangan buat dia tunggu Kak Long." Pesan Encik Khir.
"Kak Long faham abah." Jawab Hidayati.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan