SUBSCRIBE

Rabu, Mei 11, 2016

SEMBANG JIWA 7

Perasaan Hidayati tidak tenteram. Sudah lebih seminggu tiada perkhabaran dari Harith. Selalunya Harith akan menghubunginya sekurang-kurangnya sehari tiga kali. Namun, kini sudah seminggu dia diam. Tiada panggilan telefon atau pesanan ringkas darinya.
"Aqil!" nama itu terlintas di benaknya.
Untuk menelefon terus Harith, dia rasa segan. Selalu bila Harith telefon, pasti dia akan buat acuh tak acuh. Kadang-kadang dia sengaja cari alasan untuk cepat menamatkan perbualan. Tiba-tiba dia mahu hubungi Harith. Tidakkah nampak janggal?
Dia cuba menelefon Aqil tetapi tidak dapat. Taliannya sibuk. Beberapa kali dia menelefon tetap juga gagal menembusi talian Aqil.
Dia meletakkan talefonnya di atas meja. Dia bersandar di kerusinya. Cuba untuk menghadirkan rasa tenang. Cuba bernafas dengan baik.
Setelah seketika, telefonnya berbunyi. Nama Aqil tertera. Dia menarik nafas dalam sebelum menjawab panggilan Aqil.
"Assalamualaikum. Busy ke?" Hidayati terus saja bertanya tanpa menunggu salamnya dijawab.
"Waalaikumsalam. Busy hal peribadi orang. Kenapa call? Macam urgent saja. Berkali-kali pula tu." Tanya Aqil semula tentang tujuan Hidayati.
"Nak tanya pun segan. Tapi kau tau pasal Harith? Dah seminggu tak dengar khabar berita." Jelas Hidayati tentang tujuan asalnya.
Rasa malu dibuang ke tepi demi menjaga sebuah hubungan persahabatan.
"Bukan kau suka ke dia tak kacau kau?" Tanya Aqil terus menembak.
Aqil baru bercakap dengan Harith tadi. Sahabatnya itu bertanyakan tentang Hidayati. Katanya sudah seminggu lebih tidak menghubungi Hidayati kerana hatinya tersentap bila Adam kata Hidayati tidak suka dia mengganggu. Alih-alih kini, Hidayati menelefonnya dan bertanyakan tentang kehilangan Harith.
Geram pula hatinya. Dia faham apa yang Harith rasa. Kenapa perlu bercerita tentang rasa rimas itu pada Adam? Kenapa mesti menjatuhkan air muka Harith pada Adam? Seolah-olah Harith adalah pengganggu hidupnya sedangkan Harith cuma mengambil berat tentangnya. Harith cuma ingin melepaskan rasa rindu padanya. Harith ingin cuba untuk membuat Hidayati juga mencintainya.
Salahkah?
"Kenapa kau cakap macam tu?" Tanya Hidayati.
Hidayati mula pelik.
Setahunya dia tidak pernah bercerita dengan sesiapa pun tentang itu kerana dia suka Harith menelefonnya walaupun selalu dikatakan pada Harith bahawa Harith hanya mengacau kerjanya. Namun, Harith tak pernah kisah. Harith tak pernah marah. Harith buat tidak endah.
Kenapa kini Harith terasa hati kerana itu?
"Kalau kau tak suka dia ganggu kau. Bagitahu dia secara tegas. Bukan main-main. Tak perlu juga untuk kau beritahu Adam tentang apa yang kau rasa tu. Harith pun ada air muka yang perlu dijaga. Aku tak sangka kau boleh buat dia macam tu. Dah macam bukan kau. Aku macam tak percaya itu kau" Kata Aqil melepaskan rasa geramnya.
Tercengang Hidayati seketika.
Dia tak pernah beritahu apa-apa pada Adam. Tidak juga tentang lamaran Harith apatah lagi tentang perasaannya pada Harith. Adam. Apa yang dia dah buat?
"Tadi aku baru lepas bersembang dengan Harith. Dia tanyakan keadaan kau. Dia rindukan kau" Jujur Aqil memberitahu Hidayati tentang perbualannya dengan Harith.
"Aqil, kau rasa aku macam tu ke? Kau percaya aku nak buat macam tu?" Tiba-tiba Hidayati bersuara setelah seketika mendiamkan diri.
"Aku tak tahu nak percaya siapa. Kau yang aku kenal takkan buat macam tu tapi siapa takkan percaya kalau Adam, kawan baik kau yang sangat rapat dengan kau, bagitahu macam tu?" Aqil berterus terang tentang apa yang difikirkan.
"Kau percaya aku. Aku takkan pernah mahu buat perkara macam tu. Kalau aku suka keadaan sekarang, aku takkan hubungi kau bertanyakan tentang dia." Hidayati mengajak Aqil berfikir secara logik.
Aqil mengiakan apa yang dikatakan Hidayati. Namun seketika dia senyum.
Sahabat, kau orang memang saling mencintai. Aku doakan kejayaan hubungan kau orang. Biarkan kau orang selesaikan masalah ini sendiri. Tekadnya, dia tak mahu masuk campur urusan mereka berdua. Biar mereka rasa sakitnya berjauhan dan tidak saling menghubungi. Dengan itu mereka akan tahu apa itu rasa rindu.
Sebenarnya, semua orang sudah tahu tentang perasaan Harith pada Hidayati. Namun tentang lamaran Harith pada Hidayati hanya dia seorang yang tahu. Lamaran yang asalnya hanya sekadar ingin tahu reaksi Hidayati menuju serius bila melibatkan orang tua Hidayati.
Teringat sewaktu Harith ingin melamar Hidayati. Muka Harith sewaktu itu sangat teruja dan dalam masa yang sama gementar. Katanya,
"Susah sangat nak tahu hati dia pada aku. Padahal, aku ni hari-hari bagi hint pada dia. Dia buat tak tahu saja. Ini kira aku nak test je. Kalau dia terima, aku orang paling gembira tapi kalau dia tolak aku okey saja." Kata Harith.
Sememangnya Harith jatuh cinta pada Hidayati pada pandangan pertama. Tika itu, mereka masih belajar disemesta akhir sebelum praktikal untuk Ijazah Sarjana Muda pada hujung tahun 2009. Hidayati datang ke Johor Bahru kerana ada temuduga kerja di sebuah syarikat GLC di Nusajaya. Maklum saja, Hidayati tidak menyambung pelajarannya setelah tamat Diploma. Terlanjur itu, dia singgah bertemu dengan Aqil. Sekadar untuk ziarah.
Sewaktu pertemuan di sebuah kedai makan di Taman Universiti itulah, Harith ternampak Hidayati yang sedang bersembang dengannya. Terus Harith datang menyapanya dan sekaligus berkenalan dengan Hidayati. Masa itu, mata Harith seolah tidak nampak orang lain. Berlainan benar cara kawannya yang seorang itu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa Hidayati.
Sejak itu, setiap kali Aqil ingin pulang ke Shah Alam, Harith mahu ikut. Siap tawarkan untuk hantar pulang dengan kereta dan minyak dan tol ditanggung. Orang dah angau, dia dapat untung. Orang dah tawar, dia terima saja. Jimat duit jimat belanja. Sebagai balasan, Aqil mesti ajak Hidayati keluar atau mereka akan bertandang ke rumah Hidayati. Betul-betul tak malu.
Harith juga melakukan praktikal di Syarikat bapanya di Kuala Lumpur hanya kerana ingin selalu bertemu dengan Hidayati walaupun perancangan asal ingin melakukan praktikal di Johor Bahru saja. Setahun keadaan itu berlangsung. Harith juga diterima baik oleh ahli geng mereka yang lain iaitu Adam dan Ikhmal. Lepak bersama. Sehingga suatu hari Harith menyatakan hasratnya ingin melamar Hidayati untuk mengetahui isi hati gadis itu padanya.
Namun, Hidayati tetap Hidayati. Hatinya sukar dibaca. Tingkahnya sukar diduga. Walau Aqil sudah dapat menjangkakan jawapan Hidayati adalah tidak tapi diberi juga galakan pada Harith untuk melamar gadis itu. Apa yang diduga Aqil lain yang berlaku. Hidayati tidak menolak dan juga tidak menerima tapi mencabar.
"Pergi tanya Abah. Kalau abah bagi, aku terima. Kalau abah tolak aku pun turut tolak. Itu pun kalau kau beranilah. Maklumlah, abah aku tu garang. Kalau kau tak tahulah yang abah aku tu garang" Balas Hidayati.
Yang paling tidak disangkanya. Pada hari yang sama, Harith datang berjumpa dengan Encik Khir untuk meminta keizinan mengahwini Hidayati. Disebabkan oleh rasa terkejut dengan tindakan Harith tu, Encik Khir hanya diamkan dan minta tempoh.
Setelah sebulan tanpa jawapan, Harith berfikiran mungkin caranya yang tidak beradab yang memungkinkan keadaan diam tanpa jawapan. Dimintanya orang gajinya yang mengasuhnya selama ini untuk datang merisik. Jawapan yang mereka bawa adalah tuan badan belum bersedia.
Sejak itu, Harith diamkan perkara itu kerana tidak mahu memaksa kerana dia takut andai dipaksa Hidayati akan lari terus dari hidupnya. Kata Harith,
"Biar dia jadi kawan aku jangan dia jauh dari aku."
Aku tarik nafas panjang.
"Yati, pandai-pandailah kau nak uruskan." Kata Aqil dan mematikan talian telefon.
Hidayati bengang. Bukan pada Aqil tapi pada Adam. Cepat saja nombor Adam didailnya. Tidak dapat. Berkali-kali cuba tidak masuk. Hidayati angkat telefon pejabat dan mendail nombor pejabat Adam.
"Adam, please." Kata Hidayati bila talian bersambung.
"Kak Yati yea? Ada apa kak? Ada apa-apa masalah ke?" Tanya si penyambut telefon, Alin.
"Ada benda sikit nak bincang dengan Adam. Please Alin pass the phone pada Adam." Kata Hidayati.
Malas dia nak berbasa-basi dengan Alin.
'Aku tengah bengang ni.'
"Adam." Jerit Hidayati bila talian bersambung dan suara Adam memberi salam.
"Kenapa kau jerit ni? Teruja ke dengar suara aku? Ke kau rindu kat aku?" Kata Adam sambil ketawa.
Dia suka Hidayati menelefonnya walaupun cuma untuk urusan kerja.
"It's not funny. Apa kau cakap dekat Harith?" Hidayati terus menyerangnya.
"Cakap apa?" Tanya Adam semula.
"Aku tahu pula apa yang kau cakap dekat dia? Kalau aku tahu apa kau dah cakap dekat dia, senang aku nak explain dekat dia. Tak adalah aku ni separuh gila fikir apahal dia tak contact aku." Sinis jawapan Hidayati itu.
"Ala, itu pun nak merajuk. Jantan tak ada konek betul." Ulas Adam.
"Jaga sikit bahasa kau tu." Hidayati memberi amaran.
"Aku cuma sampaikan apa yang kau rasa. Lagipun, betulkan kau rasa rimas dengan dia." Balas Adam.
"Mana kau tau?" Tanya Hidayati.
"Aku tahulah kau." Jawab Adam.
"Look Adam. Apa yang kau rasa tu tak betul. Aku risau sekarang ni bila dia tak contact aku. Aku rindu dekat dia. Kau ada masalah dengan statement aku ni?" Kata Hidayati.
Masih sinis.
"Aku sakit hati." Kata Adam dan terus meletakkan ganggang telefon.
Kau kejam Yati!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan