SUBSCRIBE

Rabu, Mei 11, 2016

SEMBANG JIWA 9

"Kau ni memang suka buat kami malulah, Adam. Kenapa tak siasat dulu sama ada Hidayati sudah berpunya ke belum?" Marah Puan Lela.
Adam menarik nafas panjang.
Dia sendiri terkejut bila dikhabarkan Hidayati sudah bertunang. Tak perlu tanya dengan siapa. Dia tahu jawapannya. Harith. Tentu saja dengan Harith. Lelaki itu selalu saja mengganggu hubungannya dengan Hidayati. 
Semenjak kehadiran Harith dalam hidup Hidayati, dia sendiri dapat merasakan perubahan dalam diri Hidayati. Dan sejak tu juga dia mula bencikan Harith. Tapi tidak pula dia menyangka yang perubahan itu membuahkan satu hubungan yang lebih serius.
Hidayati selalu tunjukkan rasa tak sukanya dia pada Harith walaupun dalam masa yang sama dia nampak Hidayati gembira bila Harith ada. Lagipun, baru minggu lepas Hidayati mengakui perasaannya pada Harith. Selama ni bila dia tanya, Hidayati selalu menafikannya.
Takkan dalam masa seminggu hubungan itu sudah kearah lebih serius?
"Kenapa yang tak tanya Hidayati dulu sebelum buat keputusan?" Tanya Puan Lela.
"Adam nak buat surprise. Yati suka surprise." Bohong Adam.
Hakikatnya dia memang tahu Hidayati tak suka kejutan. Hidayati seorang yang suka merancang dan dia suka semuanya mengikut apa yang sudah direncanakannya. Dia suka susun apa yang dia nak buat. Padanya kejutan hanya akan mengganggu perjalanan hidupnya. Dan kejutan juga buat dia terganggu.
"Sekarang ni. Kita semua yang terkejut. Bukan setakat terkejut, malu tau. Malu." Marah Puan Lela.
"Mana Adam tau yang dia dah berpunya. Dia sendiri tak ada cerita apa-apa. Dia pun tak ada berkawan dengan lelaki lain selain dari kami. Jadi, mana Adam nak tahu semua tu." Adam membela dirinya.
"Tak tahu, lain kali tanya. Kalau nak buat surprise pun, berpakatlah dengan adik-beradik dia. Adik-adik dia ramai. Bukannya kau tak kenal mereka. Risik dulu dari adik-beradiknya. Itu pun kau tak boleh fikirkah?" Marah Puan Lela. 
Marahnya masih berbaki. Padanya anaknya itu tak pandai nak buat kejutan. Malahan kejutan yang dia buat itu memalukan keluarga pula. Dia betul-betul malu dengan Encik Khir dan Puan Mariah. Tak tahu macam mana nak tunjuk muka pada keluarga Encik Khir.
"Nak pakat dengan siapa? Adik-adik Yati tu kan semua perempuan. Nak harapkan Adha? Baik tak payah. Dia bukan sokong Adam pun. Kalau Afina, baik tak payah. Mak pun tahu dia benci gila dengan Adam. Kalau ada pun, Syahira. Tapi dia pula dah kahwin. Dah duduk rumah lain. Cuba mak cakap nak pakat dengan siapa?" Balas Adam pada Puan Lela.
Adha bukan rapat dengannya. Adha pun lebih sukakan Harith berbanding dirinya. Dia selalu nampak Adha keluar dengan Harith bila Harith datang ke sini. Dan mereka berdua juga boleh bersembang mesra.
Kalau Afina tak payahlah. Entah apa masalah dia dengannya. Semua yang dia buat, Afina tak suka. Kalau dia datang jumpa Hidayati, Afina selalu menunjukkan wajah tak sukanya. Semuanya gara-gara kisah zaman silam. Sehingga kini, Afina masih ingat dan tidak memaafkannya.
"Lain kali perangai tu baik sikit. Kalau kau dulu tak menyakat si Afina tu, korang pun rapat sekarang ni." Kata Puan Lela.
Itu pun kenyataannya. Aku bukan usik apa pun. Aku cuma sakat dia. Lagipun, dari kecil lagi aku suka kata dia macam keling. Anak keling. Selama ni, dia tak pernah marah. Satu hari itu, entah kenapa dia marah sangat bila aku panggil dia 'anak keling'.
"Dia yang sensitif sangat. Entah apa-apa tah. Selalu tu okey je." Adam membela dirinya.
"Dah kalau kau panggil dia 'anak keling' sampai satu sekolah boleh dengar. Kau rasa dia tak malu? Budak tu dah besar. Dah tahu malu. Kau saja yang anggap dia budak kecil. Boleh suka-suka hati nak membuli." Balas Encik Ahmad  yang dari tadi senyap.
"Dahlah, Adam. Lupakan saja Hidayati. Ramai lagi perempuan lain." Kata Encik Ahmad lagi setelah seketika diam antara mereka semua.
"Hati lah, Ayah. Hati." Kata Adam.
Dia cuba untuk buat orang tuanya faham. Perempuan memang ramai tapi hatinya memilih Hidayati. Hatinya hanya mahukan Hidayati. Bukan perempuan lain.
"Hati konon. Dari dulu mak tanya kau. Bila nak masuk meminang. Kau kata nanti dulu. Sekarang dah ada orang masuk pinang dia dah pun. Melepaslah kau." Kata Puan Lela.
"Mak pergilah pujuk mama abah Yati. Minta mereka terima Adam." Pujuk Adam.
"Kau gila ke?" Suara Encik Ahmad sudah naik.
"Tak salah pun guna hubungan yang lama ni sebagai alasan dan buat mereka terima Adam." Kata Adam.
"Adam, Allah larang kita mengganggu isteri atau tunangan orang. Walaupun mereka belum bertunang secara adat tapi bila seorang lelaki itu sudah datang melamar dan si perempuan pula menerima. Itu sudah dikira sudah bertunang pada pandangan Islam. Kau pun tahu, kan?" Terang Encik Ahmad.
"Yati tak terima dialah, ayah. Adam tahu Yati tak suka dia." Bohong Adam.
Sedangkan sebenarnya Hidayati sudah berterus-terang berkenaan perasaannya pada Harith. Sudah terang-terangan yang Hidayati menolaknya kerana Harith. Dia yang tidak mahu mengalah. Kerana itu dia meminta ibu bapanya meminang Hidayati.
"Tak terima apa? Hidayati sendiri mengaku tadi. Dia sendiri kata dia tolak kamu sebab lelaki tu." Sangkal Puan Lela.
Adam terduduk.
‘Sampai hati kau, Yati.' Rintih hati Adam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan