SUBSCRIBE

Isnin, Jun 27, 2016

SEMBANG JIWA 13

“Kak Long, adik-adik semua mana?” Tanya Encik Khir.
“Dorang balik dah, abah. Mama pun Kak Long suruh balik. Kejap lagi Harith datang. Dia nak temankan abah. Kak Long dah larang pun, dia tetap nak juga.” Jawab Hidayati.
Encik Khir angguk.
“Kak Long tahu kenapa abah lebih pilih Harith dari Adam?” Tanya Encik Khir.
Hidayati geleng.
Dia juga pelik. Sewaktu rombongan merisik Adam tiba, dia sangat gusar sekiranya abah menerima. Tentu saja abah terima kerana agama Adam jauh lebih baik dari Harith dan cara hidup yang lebih Islamik. Namun, bila abahnya penolak, dia lega. Tapi ada juga tertanya-tanya. Kenapa?
“Sebab Adam tak akan mampu untuk sayang dan terima Kak Long seadanya Kak Long. Adam mungkin nampak sabar untuk menangani Kak Long tapi dia tak akan boleh terima seandainya Kak Long tersalah langkah. Berbeza dengan Harith. Cinta Harith pada Kak Long melebihi dirinya sendiri. Dan dia akan bertahan dengan Kak Long walau apa pun terjadi. Lagipun, Harith lebih boleh diharapkan untuk jaga keluarga ini berbanding Adam. Tapi Adam ada kelebihannya sendiri. Dia terdidik dengan didikan agama yang baik. Abah tak perlu risau kalau Adam pilihan Kak Long sebab abah tahu Adam boleh didik Kak Long.” Terang Encik Khir.
Bukan niatnya untuk membandingkan Harith dan Adam tapi dia cuma ingin membuka ruang untuk anaknya memilih. Padanya, sudah masa untuk Hidayati memilih.
Walaupun pinangan Adam telah ditolak, tapi Adam masih lagi tidak putus asa untuk memikat Hidayati. Kalau dulu datang sebagai kawan, kini dia datang sebagai seorang lelaki yang cuba untuk memikat hati sang gadis. Namun Adam tetap terlambat kerana Harith datang sebagai ketua dalam keluarga yang dia boleh harapkan untuk menjaga keluarganya.
Hidayati ada bercerita dengannya yang Harith terdengar perbualannya dengan keluarga Adam sewaktu mereka datang merisik. Dan Hidayati ada menyatakan kepada Harith yang dia menolak lamaran Adam. Setelah itu, dia sedar perubahan sikap Harith. Dia jadi lebih berkeyakinan untuk datang ke rumah. Malahan, kehadirannya bukan sekadar untuk menemui Hidayati tapi juga untuk bertanya khabar mereka sekeluarga.
“Abah nak Kak Long pilih Harith?” Tanya Hidayati.
“Terpulang pada Kak Long. Tapi abah tahu. Hati Kak Long dah lama pilih dia. Cuma Kak Long takut, kan?” Balas Encik Khir.
Hidayati angguk.
“Manusia boleh berubah, Kak Long. Mungkin perkahwinan Kak Long dan Harith boleh merubah Harith. Kak Long menjadi asbab dia berubah.” Kata Encik Khir.
“Tapi Kak Long tak nak dia berubah sebab Kak Long. Kak Long nak dia berubah sebab dia sedar yang dia perlu berubah. Biarlah dia berubah untuk selama-lamanya. Berubah kerana Allah.” Balas Hidayati.
“Kak Long, tak salah menjadi asbab turunnya hidayah Allah kepada hamba-Nya. Abah yakin, sekali Harith berubah, dia tidak akan berpatah semula. Abah yakin sangat-sangat.” Pujuk Encik Khir.
“Nantilah Kak Long fikirkan.” Putus Hidayati.
“Kak Long, dengar. Kak Long dah ambil masa tiga tahun untuk memikirkannya. Tapi langsung tak ada keputusan hingga sekarang.” Encik Khir berjeda seketika.
“Ikut kata hati Kak Long. Siapa pilihan dia. Abah bukan nak mendesak tapi untuk membina satu rumahtangga itu memerlukan masa yang singkat tapi nak mengukuhkannya memerlukan masa yang lama. Lagi lama masa yang Kak Long guna untuk buat keputusan, makin singkat masa Kak Long ada untuk memperkukuhkan rumahtangga Kak Long. Dengar nasihat abah ni. Buat keputusan yang teguh. Sebulat suara tanpa keraguan sekarang. Abah bagi Kak Long tempoh sampai minggu ni saja. Hari Jumaat ni. Tetapkan siapa Kak Long pilih dan bagitahu abah.” Tegas sekali nada Encik Khir.
Hidayati angguk.
“Entah sempat ke tak nak walikan Kak Long.” Keluh Encik Khir.
“Apa abah cakap macam tu. Kak Long tak sukalah.” Marah Hidayati.
“Mati itu pasti, Kak Long. Bila dan bagaimana saja yang menjadi rahsia. Cuma doa abah, biarlah mati dalam keadaan Allah benar-benar redha pada abah. Dan abah juga harap dapat nikahkan dua orang lagi anak dara abah. Tapi andai tak sempat, tak apa. Abah ada anak lelaki yang mampu untuk memikul tanggungjawab itu.” Kata Encik Khir tenang.
Air mata sudah bertakung di mata dua beranak itu.
“Dahlah, abah. Tidur. Jangan banyak sangat fikir. Nanti darah tinggi naik pula.” Kata Hidayati.
“Abah nak tunggu Harith.” Kata Encik Khir.
“Pakcik tunggu saya ke?” Tanya Harith yang muncul entah bila.
Encik Khir senyum.
“Kak Long baliklah. Harith ada ni.” Suruh Encik Khir.
“Biarlah Kak Long duduk sini sama.” Bantah Hidayati.
“Kak Long, please.” Rayu Encik Khir.
“Tak apalah. Kak Long temankan abah.” Pujuk Hidayati.
“Tak apalah, pakcik. Dia rindu saya tu. Alasan nak temankan pakcik. Tapi sebenarnya nak melepaskan rindu pada saya.” Kata Harith.
“Yalah. Kak Long balik dulu.”
Terus Hidayati bangun dan mengambil bag tangannya. Tangan Encik Khir disalamnya dan satu jelingan tajam diberikan kepada Harith.
Harith dan Encik Khir senyum saja dengan telatah Hidayati.
“Duduk, Harith. Pakcik ada benda nak cakap dengan kamu.” Arah Encik Khir.
Harith yang tadi berdiri di kepala katil, bergerak duduk dikerusi yang diduduki Hidayati tadi. Dia menyelesakan duduknya dan menarik kerusi itu benar-benar rapat dengan katil Encik Khir.
“Pakcik dah cakap dengan Yati tadi. Pilihan ditangannya. Pakcik bagi dia tempoh sehingga hari Jumaat ini.” Encik Khir berhenti seketika.
Hatinya sangat berharap agar Hidayati memilih pemuda dihadapannya. Dia suka Harith sejak pertama kali pemuda ini datang ke rumahnya. Sopan santunnya terpelihara. Budi bahasanya juga membayangkan didikan yang diterima. Dan rasa hormat yang ditunjukkan pemuda ini kepadanya dan seluruh ahli keluarganya telah menambat hatinya untuk terus menyayangi dan mengasihi oemuda ini. Pemuda ini juga sudah dianggap seperti anaknya. Walaupun dia kecewa dengan cara hidup Harith tapi dia tahu yang Harith boleh diharapkan dalam pelbagai perkara. Dan yang paling penting, dia tahu yang Harith boleh bahagiakan Hidayati.
Cuma Hidayati kena pandai membimbing Harith dan sentiasa mempercayai Harith. Sentiasa. Sekali Hidayati melatah, rumahtangga mereka akan berantakan. Itu yang buatkan dia risau. Kerana dia kenal Hidayati yang suka membuat penilaian sendiri tanpa usul periksa.
Kerana itu dia tidak memberi kata putus tentang lamaran Harith. Dia mahu Hidayati sendiri yang membuat keputusan dan dia tahu Hidayati akan bertanggungjawab dengan segala keputusan yang dilakukannya. Dari situ dia berharap agar Hidayati dapat memelihara hubungan yang mereka bina.
Itu harapannya.
“Pakcik nak minta tolong. Boleh?” Tanya Encik Khir.
Harith mengangguk.
“Apa pun keputusan Yati. Pakcik minta kamu tolong jaga keluarga pakcik. Sekurang-kurangnya sehingga Adha mampu untuk menyara dirinya dan keluarga. Terutama makcik. Boleh, Harith?” Pinta Encik Khir.
Air matanya sudah mengalir. Serasa ini adalah amanat terakhir untuk Harith. Entah kenapa dia rasa nyawanya sudah tidak panjang.
Harith menggenggam tangan Encik Khir. Dia tidak menjawab tapi cukup rasanya genggaman tangan itu menandakan dia berjanji.
Encik Khir membalas genggaman itu. Itu adalah genggaman janji seorang lelaki.

Dia tahu. Dia boleh harapkan Harith.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan