SUBSCRIBE

Isnin, Julai 11, 2016

SEMBANG JIWA 17

“Harith.” Encik Sarif, bapa Saiful.
“Uncle.” Balas Harith bersama sebuah senyuman.
Tawar.
“Buat apa di sini? Kenal dengan Afina?” Tanya Encik Sarif.
Hairan melihat anak sahabatnya itu. Harith sama seperti ibu bapanya. Bila sesuatu berkaitan dengan kerja, mereka sangat serius. Tak pernah main-main. Namun, diluar waktu kerja, mereka akan sentiasa tersenyum. Sangat murah dengan senyuman.
“Harith.” Tegur Encik Khir.
Harith bersalaman dengan Encik Khir. Tangan tua itu dikucupnya hormat.
Encik Khir memandang Harith dengan pandangan penuh kasih sayang. Jika tidak, pasti hari ini Harith sudah menjadi menantunya. Entah kenapa Harith mengalah untuk Afina. Dia ada bertanya pada Hidayati. Jawab Hidayati, Harith menjalankan tugasnya sebagai seorang abang.
“Encik Sarif, kenalkan bakal menantu saya. Harith.” Encik Khir.
“Bekas bakal menantu.” Harith membetulkan kenyataan itu.
Dia tahu, dia tidak mungkin boleh menjadi menantu Encik Khir demi kebahagiaan Afina. Dan dia perlu betulkan kenyataan itu supaya Encik Sarif tidak salah faham dan menyebarkan khabar itu sehingga menyebabkan kemarahan dihati Saiful.
“Bekas bakal menantu?” Tanya Encik Sarif. Pelik.
“Sepatutnya hari ini Harith yang jadi menantu saya tapi...” Kata-kata Encik Khir berhenti di situ bila Harith memegang bahunya.
“Saiful, kan?” Tanya Encik Sarif.
Dia dapat agak anaknya menjadi penyebab semua itu. Entah kenapa Saiful benci dengan Harith. Dari dulu dia bermusuhan dengan Harith. Dia meletakkan Harith sebagai penyebab kemusnahan kekayaan keluarganya walaupun sudah berkali-kali dia mengatakan bahawa Harith yang banyak membantu mereka. Namun, Saiful tidak pernah mahu percaya. Katanya, kalau Harith membantu mereka, mereka tidak akan sekadar hidup seperti ini kerana Harith itu anak sahabatnya.
Padanya tak ada sebab dia nak menerima sesuatu yang bukan dari hartanya. Rasa syukur bila Harith memberinya pekerjaan. Dia sendiri yang menolak untuk diberikan kemewahan. Dia sudah belajar dari kelekaan. Dan ternyata kemewahan yang dimiliki dulu telah membuatkan dia lalai.
Dia lalai dalam membayar zakat dan memberi bersedekah. Dia lupa yang sebahagian dari hartanya itu adalah milik orang lain juga. Dia juga lalai dalam menjaga harta yang diberikan Allah kepadanya. Harta itu ujian dan harta itu amanah.
Oleh itu, dia menolak juga dengan jawatan yang besar. Dia lebih rela bermula dari bawah dan biarkan keluarganya tinggal dalam serba sederhana dan sedikit kekurangan. Dia mahu keluarganya belajar erti kesusahan supaya mereka tidak leka dengan kemewahan sepertinya.
“Taklah. Dah bukan jodoh kami. Insya Allah, Allah dah aturkan sesuatu yang lebih baik untuk kami.” Kata Harith menyangkal tanggapan Encik Sarif.
Encik Khir angguk.
“Ralat pula tak dapat Harith sebagai menantu. Saya suka dia. Saya rasa aman jika mati sebab saya tahu dia boleh jaga Yati dan keluarga ni dengan baik. Tapi kalau dah bukan jodoh mereka. Saya pun tak boleh nak kata apa.” Balas Encik Khir sambil tertawa kecil melindungi rasa ralat dalam hatinya.
“Insya Allah. Ada jodoh mereka berdua. Kalau nak, sekarang pun boleh dinikahkan mereka. Cukup syarat. Tok kadi pun belum balik tu.” Cadang Encik Sarif sambil ketawa.
“Apa yang seronok ni? Dari tadi Saiful tengok syok saja bersembang.” Tegur Saiful.
“Tak ada apa. Kejap. Papa nak keluar sekejap.” Kata Encik Sarif dan terus berlalu.
Harith juga turut berlalu. Dia ingin keluar dari kawasan rumah ini. Hatinya sedih mengenangkan impian yang tidak kesampaian. Hatinya sakit melihat senyuman dibibir Saiful yang seakan mengejek kehancuran impiannya.
“Harith.”
“Yati.”
Lama mereka saling berpandangan. Menghantar rasa rindu yang bersarang di dalam jiwa. Walaupun baru beberapa hari tidak bertemu. Perpisahan kali ini tidak seperti sebelum ini. Perpisahan kali ini membawa maksud belajar menerima kenyataan yang mereka tidak mungkin akan bersama lagi. Dan perpisahan kali ini mungkin akan menjadi perpisahan yang terakhir kerana tiada lagi perjumpaan yang akan berlaku diantara mereka seperti sebelum ini.
“Harith, Yati. Abah kau panggil.” Kata Adam sambil menepuk tangannya sekali di hadapan wajah mereka berdua.
“Awak cantik dengan baju ibu itu. Saya balik dulu.” Pamit Harith.
Dia suka melihat Hidayati menggunakan busana pernikahan arwah ibunya itu. Memang dia mohon Hidayati untuk mengenakan busana itu dihari pernikahan mereka. Dan disebabkan mereka tidak jadi menikah, dia mohon agar Hidayati tetap menggenakan busana itu. Biarlah tidak dapat memiliki, namun, dia tetap ingin berikannya pada Hidayati. Dan dia tetap ingin melihat Hidayati memakainya.
“Awak pun segak dengan pakaian arwah papa.” Puji Hidayati.
Sememangnya mereka setuju untuk menggunakan busana sepasang arwah ibu dan papa Harith. Rekaan pakaian itu langsung tidak lapuk dek zaman. Baju kurung dan baju melayu yang ringkas tapi nampak ekslusif.
“Weh, abah Yati panggil korang berdua.” Kata Adam.
Harith angguk. Dia mengikut langkah Hidayati. Mereka berdua berdiri di hadapan Encik Khir dan Encik Sarif.
“Uncle Sarif cadangkan korang dinikahkan sekarang. Tok kadi pun dah setuju. Abah pun sama.” Kata Encik Khir.
“Boleh ke abah?” Tanya Hidayati.
Teruja sekali hatinya bila Encik Khir angguk. Dia memandang Harith. Wajah Harith tidak beriak sepertinya. Ada kerisauan pada wajah itu. Penuh dengan kerisauan.
“Harith?”
Harith memandang Hidayati yang menyeru namanya. Hatinya teruja malahan gembira dengan cadangan itu tapi...
“Yati, can we talk? Personally?” Pintanya.
Encik Khir mengangguk.
Harith menarik Hidayati ke satu ruang. Jauh sikit dari orang ramai. Dia menunjukkan kepada Hidayati ke arah Afina yang sedang bersandar mesra dibahu Saiful. Wajah yang penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan.
“Awak tengok Afina. Dia terlalu gembira sekarang ini. Awak lupa kenapa kita macam ni sekarang ni? Awak sanggup lukakan hati adik sendiri?” Tanya Harith.
“Sampai bila kita asyik nak mengalah dengan adik-adik? Kita pun berhak untuk bahagia.” Kata Hidayati.
“Awak tak faham. Sayang, saya sayang dan cintakan awak. Saya adalah lelaki yang paling beruntung dapat memiliki awak. Tapi saya lebih beruntung kerana dicintai awak. Itu pun sudah membahagiakan saya. Yati, awak kena tahu yang sayang saya pada awak melebihi sayang awak pada saya. Dan kerana itu saya faham yang awak tak akan mampu melihat adik awak sensara.” Pujuk Harith.
“Tapi...”
“Tolong Hidayati. Jangan ikutkan emosi awak tu. Nanti awak akan menyesal dengan keputusan yang awak nak ambil sekarang. Kalau ikutkan hati saya, saya tak akan mengalah mempertahankan hubungan kita tapi saya lebih fikirkan awak. Awak tak akan mampu untuk senyum bila melihat wajah itu bertukar duka. Awak tak akan maafkan diri awak kerana itu.” Pujuk Harith lagi.
“Saya sayangkan awak.” Luah Hidayati.
“Saya sayangkan awak lebih dari diri saya sendiri.” Luah Harith pula.
“Kenapa abang Harith tak habis-habis mengalah demi Afina? Dorang sekarang sudah bernikah. Tak ada apa lagi yang menghalang.” Celah Syira.
“Kuasa cerai masih ditangan Saiful.” Jawab Harith.
“Tapi kenapa?”
Dan soalan itu terus menggasak Harith. Sehingga dia jadi rimas dan rasa didesak dengan sangat kejam. Akhirnya dia membuka juga cerita.
“Abang kenal dengan Saiful sejak kecil. Uncle Sarif kawan baik papa. Papa amanahkan syarikatnya di Miri dibawah penguasaan Uncle Sarif. Tapi Uncle Sarif leka dengan semua kemewahan yang dia kecapi hasil dari keuntungan yang dibuat didalam syarikat. Dia mula mengabaikan syarikat kerana terlalu yakin dengan system yang ada didalam syarikat. Dia lupa untuk memantau dan memperbaiki system yang sedia ada. Lalu telah mengakibatkan syarikat di sana mengalami kerugian dan kerugian. Demi rasa malu kerana tidak dapat menguruskan amanah dengan baik, uncle Sarif telah menjual semua sahamnya dan telah mencagarkan semua hartanya untuk membayar hutang syarikat. Namun, dia tidak mampu untuk membangunkan syarikat itu semula dan mengakibatkan syarikat cagarannya tidak dapat ditebus semula. Akhirnya dia diisytihar bankrupt. Pada Saiful, saya yang mengakibatkan keluarganya musnah. Dia tuduh saya selalu mengugut Uncle Sarif. Sebab tu dia bencikan saya. Dia akan cuba musnahkan sesiapa saja yang boleh membahagiakan saya. Kerisauan saya bermula bila Fina kenalkan Saiful hari tu. Dan ternyata kerisauan saya itu berasas. Korang mungkin tak tahu tapi Fina sudah mengandung. Saya tak tahu kebenarannya tapi itulah yang saya rasa. Jika kita dinikahkan, saya khuatir seandainya Saiful menceraikan Afina tanpa mereka melalui malam pertama. Pastinya orang sekeliling akan berkata yang tidak-tidak pada Afina.” Terang Harith.
“Ya Allah, takkanlah.” Kata Hidayati.
“Mana abang Harith tahu?” Tanya Afina. Entah sejak bila dia mencuri dengar perbualan mereka.
“Tahu apa?” Tanya Harith. Buat-buat tak tahu.
“Fina mengandung?” Jawab Afina.
“Abang agak saja.” Jawab Harith.
“Sebab tu abang Harith sanggup batalkan perkahwinan korang? Demi Fina?” Tanya Afina.
Harith angguk.
“Ya Allah.” Rintih Afina.
Rintihan Afina telah mengundang pandangan orang ramai. Semua pandangan tertumpu kepadanya. Hidayati dan Syira menarik Afina masuk ke dalam bilik yang paling hampir. Bilik Afina sendiri.
“Kenapa ni sayang?” Tanya Saiful meluru masuk ke dalam bilik mereka setelah kecoh satu rumah yang Afina menangis.
“Abang Harith kena nikah dengan Kak Long sekarang juga.” Putus Afina tanpa menghiraukan Saiful.
“Awak ni dah gila ke apa?” Marah Saiful.
“Ya. Saya gila sebab ikut rancangan gila awak sampai sanggup korbankan Kak Long demi untuk awak.” Kata Afina. Tinggi suaranya kerana marahkan Saiful juga diri sendiri.
“Afina. Hormat sikit. Saiful suami awak.” Tegur Syira.
Afina pandang muka Syira tepat. Dia tahu Syira betul. Saiful suaminya dan perlu untuk dia hormati. Namun, Hidayati adalah darah dagingnya dan kebahagiaan kakaknya itu adalah keutamaannya. Lalu, dia bangun dan terus keluar dari biliknya. Dia berjalan menghampiri Encik Khir.
“Abah, Kak Long dan abang Harith dah setuju untuk dinikahkan.” Kata Afina.
“Alhamdulillah.” Ucap Encik Khir dan Encik Sarif serentak.
“Fina, salah apa yang Fina buat tu. Saif...” Kata-kata Harith mati di situ.
Hadirin yang masih ada, memandangnya. Mereka sudah duduk mengerumuni satu tempat. Encik Khir sudah duduk dibantal yang didudukinya sewaktu menikahkan Afina tadi. Dia diapit oleh Encik Sarif dan Tok Kadi.
“Silakan pengantin lelakinya.” Kata Tok Kadi.
“Tapi,” Harith masih teragak-agak.
“Jom pergi berwuduk dulu.”
Hafiz bangun dan menolak Harith dengan lembut ke arah bilik mandi. Dia menyuruh Harith berwuduk sementara dia menunggu di luar. Usai Harith berwuduk, dipimpinnya Harith duduk di depan bapa mertuanya.
“Good luck, bro.” Bisik Hafiz dan duduk di belakang Harith.
“Harith, dah bersedia?” Tanya Tok Kadi.
Harith memandang Tok Kadi. Dia pandang ke belakang mencari kelibat Afina dan Saiful. Hatinya masih lagi berbolak-balik. Dia pandang Hidayati yang berdiri disebelah Syira pula bila kelibat Afina dan Saiful tidak kelihatan. Dia bangun dan mendekati Hidayati.
“Salah apa yang kita nak buat ni.” Kata Harith perlahan didepan Hidayati.
“Sudah-sudahlah fikirkan orang lain. Fikirkan tentang abang dan Kak Long pula.” Marah Syira tapi masih bersuara perlahan.
“Adik tu, Hidayati.” Kata Harith tanpa menghiraukan Syira.
“Dia dah besar. Sudah jadi isteri orang. Dia bukan tanggungjawab kita lagi. Pandai-pandailah dia nak uruskan diri dia sendiri.” Putus Hidayati.
Hatinya kecewa bila Afina sendiri mengakui tadi bahawa dia sudah mengandungkan anak  Saiful. Anak luar nikah. Selama ini dia menjaga adik-adiknya dengan baik. Tapi bila Afina sendiri memilih untuk merosakkan dirinya sendiri, dia rasa tidak perlu lagi untuk berkorban demi seorang yang tidak tahu menjaga diri sendiri.
Dia terus berlalu. Menuju ke bilik mandi dan mengambil wuduk. Dia masuk ke biliknya. Memakai tudung dan mengambil kad pengenalan yang kemudian diserahkan kepada Syira untuk diberikan kepada Tok Kadi.
“Kita mulakan.” Kata Tok Kadi.
Makanya, Encik Khir menikahkan anaknya, Hidayati kepada Harith. Dengan sekali lafaz, Harith sah bergelar menantunya.
“Alhamdulillah.” Ucap Encik Khir dan terus memeluk menantunya itu.
Dia terlalu gembira dan kegembiraan itu melebihi rasa gembira menikahkan dua puterinya yang lain. Pada Harith diletakkan semua tanggungjawabnya. Bukan Hafiz apatah lagi Saiful.
Harith bangun dan terus masuk ke bilik Hidayati selepas selesai akad dan taklik. Rumah ini sudah seperti rumahnya. Maka dia tahu di mana bilik Hidayati walaupun tanpa diberitahu. Dia terus mengambil sejadah dan mendirikan solat sunat selepas nikah.
“Harith.”
Harith berpaling ke belakang. Hidayati sedang membentangkan sejadah dibelakangnya dan bersedia untuk berjemaah. Harith menunggu sehingga Hidayati bersedia untuk solat. Selesai solat, upacara pembatalan air sembahyang terus dilakukan di dalam bilik tanpa hadirin.
Menitis air mata Harith saat pertama kali mencium ubun Hidayati. Getaran didadanya membuatkan air matanya mengalir. Walaupun getaran itu menyesakkan nafasnya tapi ianya suatu perasaan yang indah. Sungguh indah pernikahan ini dirasakannya.
Air mata Hidayati sudah lama mengalir sejak saat termeterai yang dia sah menjadi isteri Harith. Menjadi makmum Harith lagilah mengharukan perasaannya. Bersalaman dan bersentuhan dengan Harith walaupun bukan kali pertama juga sangat indah dirasakan kini. Mungkin ini dinamakan nikmat perkahwinan yang penuh dengan restu kedua ibu bapanya.
“Alhamdulillah.”
Itu saja yang mampu Hidayati ucapkan. Sungguh tidak disangka lelaki yang selama ini diragui imannya menjadi imamnya sebentar tadi.
“Weh, dah batal air sembahyang dalam bilik. Berdua. Harulah Kak Long. Orang duk tunggu kat luar.” Sergah Adha.
Ketawanya disambut dengan ketawa dari tetamu diluar.
Harith membantu Hidayati bangun. Hidayati melipat telekung yang digunakannya manakala Harith membantu melipat sejadah yang mereka gunakan tadi. Mereka kemudian beriringan keluar bilik dan duduk ditempat yang disediakan untuk upacara pembatalan air sembahyang.
“Adha, pergi ambil cincin dekat dalam almari baju Kak Long.” Arah Hidayati.
Adha bangun dan masuk ke bilik Hidayati. Dia tahu dimana cincin itu diletakkan. Dia sendiri yang meletakkannya di situ atas arahan Harith kelmarin. Dia juga yang serahkan baju yang diberikan Harith. Kata Harith, ini semua barang peninggalan arwah ibunya dan dia mahu Hidayati memilikinya.
“Nah.”
Adha menghulurkan cincin yang diambilnya kepada Hidayati. Tetamu yang hadir terlopong melihat keindahan ukiran cincin itu. Cincin pusaka sejak zaman moyang Harith lagi dan diwariskan kepada setiap anak perempuan mereka.
“Cantiknya. Tak pernah nampak dipasaran.” Komen salah seorang yang hadir.
“Simple sangat tapi halus seninya.” Balas dari hadirin yang ada.
“Kerja apa Harith tu?” Tanya Makcik Filda pada Puan Alya.
“Engineer.” Jawab Puan Alya.
“Melepaslah kita.” Balas Makcik Filda.
Dan disambut dengan ketawa dari ahli keluarga yang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan