SUBSCRIBE

Selasa, Ogos 09, 2016

KISAH PULA AKU 10

Shaza berjalan menuju ke keretanya. Dia mahu balik. Hari ini terlalu penat dirasakannya. Dari pagi kerjanya asyik mesyuarat. Jika mesyuarat jabatan, dia masih okey. Lebih santai. Tapi bila mesyuarat dengan pelanggan, banyak otaknya perlu dikerahkan bagi menjawab soalan demi soalan dari pelanggan. Itu belum lagi mahu mengingati setiap permintaan yang dibuat oleh pelanggan. Walaupun dia sudah mencatatkan, tapi tetap juga dia perlu menyimpan semua input itu didalam fikirannya. Barulah dia akan ingat apa tindakan yang harus dia buat. Mudah juga untuknya merancang kerjanya untuk esok, seminggu dan sebulan.
Sedang dimatanya hanya nampak katil dan bantal, namanya dilaung. Dari jauh dia nampak Aisya, kakak Hadif berjalan laju menuju ke arahnya.
“Ya Allah, betul pun Shaza. Cantiknya awak bertudung. Subhanallah.” Puji Aisya yang sudah berdiri betul-betul di depannya.
Shaza cuma senyum. Tiada kata yang boleh dia ucapkan tika itu.
Dia sendiri baru saja menggunakan hijab. Entah kenapa pagi itu dia bangun dan terus bersiap mahu pergi kerja. Dia lihat selendang yang dibelikan Hadif. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk memakainya. Dia ambil dan diacukan ke kepalanya. Kekok juga ingin memakainya. Mujur ada Hadif. Hadif yang memakaikan dan menggayakan selendang itu dikepalanya.
Dengan tiba-tiba Aisya memeluknya. Yang paling Shaza terkejut bila dia merasakan bahunya basah. Bila ditolak tubuh Aisya, dilihatnya air mata Aisya mengalir lebat.
“Kenapa ni, kak?” Tanya Shaza sambil mengelap air mata Aisya dengan tangannya.
“Kakak suka tengok Shaza pakai tudung. Allah. Tak terkata rasanya. Bersyukur sangat.” Dan air mata Aisya mengalir lagi.
Dia terus memeluk Shaza.
Shaza hanya biarkan. Tak terkata apa. Orang kedua yang sangat menghargai perubahan yang dibawanya. Selama seminggu dia memakai tudung dan hanya Hadif yang sentiasa memuji dan memberikan kata-kata semangat setiap kali dia cuba untuk kembali ke asalnya.
Lydia dan Azfar?
Langsung tiada reaksi dari mereka. Seolah-olah tiada apa yang berubah. Bukan dia mengharapkan ucapan tahniah atau penghargaan. Sekurang-kurangnya bagi reaksi pada perubahan yang dia lakukan untuk menaikkan semangat. Namun, tiada.
Tapi benar kata Hadif.
‘Buat apa mengharapkan penghargaan manusia. Yang penting Allah. Dan jangan harapkan motivasi dari diri atau orang lain untuk terus berubah menjadi lebih baik. Cukup Allah sebagai pendororng untuk kita terus berubah.’
“Mesti ibu suka.” Kata Aisya.
“Ibu tak pernah sukakan Shaza, kak.” Balas Shaza.
Aisya geleng. Dia lepaskan pelukannya. Dia pandang Shaza. Bersungguh dia menafikan walaupun sebenarnya dia sendiri tahu kebenaran kata-kata Shaza.
Shaza tidak diterima bukan kerana dia tidak bertudung. Dan bukan juga kerana Shaza ditangkap sedang tidur berpelukan dengan Hadif tapi kerana Shaza berasal dari rumah kebajikan anak-anak yatim. Tempat dimana tinggalnya anak-anak tanpa ibu dan bapa. Yang paling sedih, Shaza sendiri tidak tahu siapa ibu bapanya.
“Ibu tolak Shaza sebab Shaza bukan dari keturunan yang baik-baik. Shaza ni cuma anak luar nikah. Dahlah tu, terbuang pula. Mujur ada yang nak pungut Shaza.” Kata Shaza.
“Tak kisah siapa ibu bapa Shaza. Yang penting adalah siapa Shaza. Shaza berjaya buktikan yang anak yang dibesarkan di rumah kebajikan juga boleh berjaya. Shaza umpama ikon pada mereka yang kurang bernasib baik.” Pujuk Aisya.
Shaza diam.
Itu juga kata-kata pujukan yang selalu diberikan Hadif. Hadif selalu kata dia bertuah. Walaupun dibesarkan tanpa ibu bapa, dia ada ramai kawan. Sedangkan hidup Hadif hanya ada keluarganya. Hadif tidak dibenarkan untuk bergaul bebas. Cuma bila dia sudah pandai memberontak, barulah Puan Rozi melepaskan dia keluar.
“Kita sama-sama pujuk ibu. Dalam family kami, ibu seorang saja yang membantah. Yang lain semua setuju dengan pilihan Hadif. Terutama kakak. Kakak suka Shaza. Ingat tu.” Kata Aisya.
Shaza angguk.
Dia tahu tentang itu. Hadif pun ada memberitahunya. Malahan, dia juga turut tahu, semua undian adalah ditolak bila saja Puan Rozi membantah. Tiada siapa yang berani untuk melawan Puan Rozi. Putih kata Puan Rozi, maka, putihlah semua. Jangan dicalit warna lain.
“Ayang.” Tegur Khalil, suami Aisya yang datang entah dari mana.
“Abang, perasan tak siapa ni?” Tanya Aisya.
Khalil memandang wajah itu sekali imbas. Kemudian dia memandang Aisya semula.
“Shaza.” Beritahu Aisya.
“Shaza? Hadif?” Tanya Khalil.
Aisya angguk.
“Alhamdulillah. Baguslah Shaza dah mula berhijab. Pandai Hadif bimbing Shaza.” Kata Khalil.
“Saya bertudung bukan kerana Hadif. Hadif pun tak pernah suruh saya pakai tudung.” Pintas Shaza.
“Kami tahu. Tapi pasti Hadif turut menyumbang kea rah perubahan Shaza ni.” Kata Khalil memperbetulkan tanggapan Shaza.
“Haah. Dia selalu belikan Shaza pakaian yang lengkap dengan selendang. Pin tudung pun dia beli. Penuh satu kotak pin tudung saja.” Balas Shaza.
“Pandai Hadif menegur secara halus. Alhamdulillah. Yang penting, kena buat semua kerana Allah. Niatkan kerana Allah.” Puji Khalil.
Shaza angguk.
Dia tahu yang Khalil adalah seorang jurutera disalah sebuah syarikat gergasi di Malaysia. Namun, dia juga sering diundang untuk memberi tazkirah di surau kawasan perumahan mereka. Hadif pernah bawanya ke situ. Dan dia pernah dengar tazkirah maghrib dari Khalil. Sangat releven dan tidak memaksa-maksa.
Dan Shaza selalu selesa bersembang dengan pasangan ini. Mereka langsung tidak pernah menyentuh tentang hubungannya dan Hadif. Langsung tiada teguran tentang perkara itu atau mengungkit tentangnya. Sepertinya mereka tidak mengetahui apa yang sedang dia dan hadif lakukan.
“Kami balik dulu. Sudah mahu maghrib. Kesian pada budak-budak tu nanti.” Pamit Aisya,
“Ya lah, kak. Saya pun penat sangat hari ni. Seharian asyik meeting saja. Rasa nak tidur saja balik nanti.” Balas Shaza.
“Kesian adik kakak ni. Dah. Pergi balik. Mandi, solat. Lepas tu, baru tidur.” Kata Aisya seraya memeluk Shaza,
“Shaza jaga diri baik-baik.” Bisik Aisya.
Shaza hanya angguk.
Pelukan terlerai dan mereka meneruskan perjalanan menuju ke destinasi masing-masing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan