Hadif hanya memandang anak-anak buahnya bermain permainan online. Langsung tak menarik minatnya untuk turut serta. Masing-masing sibuk berkongsi tip bagaimana mahu menang dan mencuba cara yang diajarkan.
"Budak-budak zaman sekarang. Ipad seorang satu." Rungut Puan Rozi.
Rungutan itu biasanya. Pelik dia dengan anak-anak zaman sekarang. Dah tak ada aktiviti luar. Semua main di dalam rumah. Tak sihat badan langsung. Patut mudah sangat demam dan sakit. Asyik terbaring dan terlentang saja. Itu belum lagi kes tak bergaul dengan masyarakat. Sehinggakan jiran sebelah rumah pun tak kenal.
Kepala digelengkan.
"Ini namanya generasi Y dan Z, ibu." Sahut Hadif.
"Kamu tu dah generasi X, bila yang nak kahwinnya? Kahwinlah Hadif." Serang Puan Rozi.
"Apa pula. Hadif dalam golongan generasi Y lah, ibu." Balas Hadif.
"Tak kisahlah generasi apa pun, adik Kakak ni bila nak kahwin?" Tanya Aisya, kakaknya yang sulung.
"Hadif dah kahwinlah." Balas Hadif.
"Nikahnya bila?" Tanya Aisya.
Hadif hanya senyum.
"Sampai bila nak hidup macam tu?" Tanya Puan Rozi.
Hadif diam tanpa mahu bersuara.
"Nikah sajalah dengan dia tu. Korang pun dah hidup macam suami isteri." Cadang Aisya.
"Tak mahulah ibu menantu macam tu. Belum apa-apa dah serah semua. Lagipun, entah sesiapa keturunan dia. Kita kalau nak cari isteri ni biarlah baik tingkah lakunya. Baik keturunannya. Jangan nak ikut sangat hati tu." Pesan Puan Rozi.
"Yang rosakkan dia pun anak ibu juga. Bila nak cari isteri nak yang baik. Yang dirosakkan dibuang. Bagus sangatlah tu." Sampuk Encik Hairi.
"Ayahnya nak ke menantukan perempuan tu? Ibu tak berkenan langsung." Balas Puan Rozi.
"Shaza tu elok saja perangainya. Bertanggungjawab dan mesra dengan ramai orang." Puji Encik Hairi.
Hadif tersenyum gembira.
"Tak. Ibu kata tak. Maknanya tak. Ibu tak nak bermenantukan perempuan tu. Kalau Hadif tak nak cari. Biar ibu yang cari." Tegas Puan Rozi.
"Tak perlu, ibu. Hadif suka dengan hidup Hadif sekarang. Tak perlu komitmen." Bantah Hadif.
"Lepas tu nak hidup dalam dosa sepanjang hayat?" Tanya Puan Rozi.
"Kalau macam tu, ibu terima sajalah Shaza. Senang cerita." Jawab Hadif memberikan ibunya pilihan.
"Tak. Kamu dengar ibu kata. Ibu tak akan terima dia sampai bila-bila." Tegas Puan Rozi.
"Sudahlah ibunya. Biarkan dia dengan hidup dia." Encik Hairi meredakan ketegangan diruang tamu itu.
"Ayahnya jangan nak jadi kafir sangat. Jangan nak barat sangat." Bidas Puan Rozi.
"Dah ibu tak nak terima Shaza. Hadif tetap dengan pilihan Hadif. Shaza pilihan Hadif." Tegas Hadif.
"Ibu, biarlah Hadif dengan pilihan hidup dia. Ibu nak larang kenapa?" Aisya pula bersuara.
Entah kenapa dia berkenan sangat dengan Shaza. Sejak pertama kali melihat Shaza walaupun waktu itu hatinya sangat marah.
Waktu itu, mereka sekeluarga datang ke rumah Hadif secara terkejut. Saja mahu membuat kejutan untuk Hadif yang tak boleh ikut serta dalam percutian keluarga kerana ada kerja yang perlu disiapkan segera.
Bila sampai saja dirumah Hadif, terus kami menerpa masuk ke rumahnya menggunakan kunci pedua yang memang ada dalam simpanan mereka. Terkejut bukan kepalang bila melihat Hadif dan Shaza sedang tidur berpelukan dengan hanya diselubungi dengan sehelai selimut diruang tamu.
Marah benar Puan Rozi waktu itu. Terus dihalaunya Shaza dari rumah sebaik saja Shaza lengkap berpakaian. Dan sejak itu, Hadif menukar kunci rumahnya menggunakan kad yang hanya ada padanya dan Shaza saja.
"Ibu kata tak. Maknanya tidak. Jangan pujuk ibu." Tegas Puan Rozi.
"Macam tu, biarkan dia dengan hidup dia." Tegas Encik Hairi pula.
"Haah. Sama-sama masuk neraka. We are family, kan?" Sinis Puan Rozi.
"Ibu saja yang ke neraka bersama. Kami dah galakkan. Dah tegur. Dosa bersubahat tu dah tak ada. Ibu saja yang membangkang." Aisya menempelek kata-kata ibunya.
"Ibu buat demi kebaikan adik kamu." Balas Puan Rozi.
"Kebaikan dia adalah bernikah dengan Shaza." Balas Aisya.
"Dahlah. Tak payah sebab Hadif ibu dengan Kakak nak bertekak. Kalau macam ni, Hadif tak payah balik."
Dan Hadif terus keluar dari rumah itu.
"Hadif." Tegur Hazwan, abang Hadif yang baru sampai bersama keluarganya.
Hadif menonong saja keluar selepas bersalaman dengan abangnya.
Hazwan hanya memandang Hadif. Terpinga-pinga.
"Kenapa Hadif balik?" Tanya Hazwan sewaktu melangkah ke ruang tamu.
"Tanya ibu kamu." Kata Encik Hairi dan terus berlalu dari ruang tamu.
"Isu yang sama? Sudah-sudahlah, ibu. Biarkan dia dengan hidup dia." Tegur Hazwan.
"Biarkan dia terus buat dosa?" Sinis soalan itu keluar dari mulut Puan Rozi.
Hazwan diam. Tak terkata apa.
Dia tahu betapa marahnya Puan Rozi pada Shaza dan Hadif. Tapi entah kenapa hatinya berkata yang mereka berdua sudah bernikah. Mungkin kerana dilihat dari raut muka Shaza yang kelihatan tenang dan mendamaikan. Muka suci yang tidak seperti orang yang sedang membuat dosa.
Dia pernah bertanya pada Hadif tapi Hadif hanya menjawab
"Ibu tak benarkan kami bernikah. Shaza tak nak hubungan tanpa restu ibu. Tapi Hadif tak boleh kalau tak ada Shaza. Hadif stress bila cuba untuk lupakan Shaza. Lagipun, kami bukan tinggal bersama. Kami bertemu bila berkehendak saja."
Dan jawapan Hadif itu terus mati di situ.
Padanya, kalau sudah tuan badan menafikan, takkan dia mahu mengianya. Dan dia pun sependapat dengan Aisya. Biarkan saja Hadif mahu lakukan apa saja yang dia mahu. Jangan memaksa apatah lagi menentukan masa depannya. Tapi tidak ibunya.
Yang buat dia tak selesa, bila keadaan jadi begini. Makan malam keluarga yang sepatutnya mengeratkan hubungan menjadi renggang dek kerana kedegilan ibunya dan ketegasan Hadif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan