SUBSCRIBE

Isnin, September 19, 2016

KISAH PULA AKU 25

“Shaza, boleh kita jumpa sekejap?” Tanya Encik Hairi sebaik saja Shaza sampai ke tingkat bawah bangunan tempatnya bekerja.
Shaza angguk.
Perkara ini juga sudah dibincangkan dengan Hadif. Sudah sampai masanya untuk keluarga Hadif juga tahu akan perkara ini. Dirasakan yang rahsia mereka sudah tidak selamat. Dulu hanya mereka berdua saja tahu selain tok kadi dan saksi. Kini, Lydia dan Umar juga sudah mengetahui rahsia mereka. Dengan penerimaan Umar yang begitu, dia tidak rasa rahsia ini selamat.
Padanya, perkara paling sakit adalah bila sesuatu berita itu disampaikan oleh orang lain. Dan orang yang sepatutnya menyampaikan adalah orang yang paling kita sayangi dan percaya. Oleh itu, dia dan Hadif sudah bersetuju untuk mencari masa yang sesuai untuk memberitahu keluarga Hadif.
Kini, bagaikan pucuk dicita, ulam yang datang. Ayah Hadif datang ke pejabatnya. Sewaktu dia dimaklumkan tentang kehadiran Encik Hairi, dia sempat menelefon Hadif dan meminta keizinan Hadif. Sebenarnya dari dulu begitu. Kemana saja dia mahu pergi atau dengan siapa pun dia akan berjumpa, pasti akan dimaklumkan kepada Hadif.
Walaupun mereka sudah bersetuju untuk tiada komitmen tapi mereka sama-sama tahu tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab yang wajib mereka penuhi. Tanggungjawab isteri melayan kehendak batin suaminya dan menjaga harta dan maruah suaminya. Tanggungjawab suami memberi nafkah zahir dan batin. Itu saja yang mereka tunaikan. Tidak seperti pasangan yang lain dimana isteri kena masak, jaga rumah, jaga makan pakai suami dan sebagainya.
“Assalamualikum, uncle.” Shaza memberi salam sebaik sampai dihadapan Encik Hairi.
“Waalaikumsalam. Alhamdulillah. Bila Shaza bertudung?” Terus saja soalan itu ditanya.
Teruja melihat Shaza yang sudah bertudung. Sangat ayu dan manis sekali. Wajah itu diperhatikan. Dalam. ada sedikit saja iras wajah Hazita. Selebihnya lebih mengikut wajahnya. Dan wajah itu juga sebenarnya lebih mirip pada wajah Hadif.
“Baru saja beberapa bulan lepas.” Jawab Shaza.
Encik Hairi cuba tersenyum manis menyembunyikan rasa khilaf dalam diri. Dalam teruja dia turut juga rasa bersalah. Selama ini, dia langsung tidak mengesyaki kemiripan wajah Shaza dan Hadif. Selama ini dia fikir, itu tanda mereka berdua memang berjodoh. Rupa-rupanya, Shaza juga adalah anaknya.
“Shaza sibuk tak? Uncle nak ajak Shaza hi-tea.” Pelawa Encik Hairi.
“Boleh. Kita pergi ke pejabat Shaza di Damansara. Hadif pun akan datang ke sana.” Kata Shaza.
Encik Hairi angguk.
Mereka bergerak ke tempat letak kereta. Shaza menunggu Encik Hairi di simpang keluar dari tempat letak kereta. Sebaik kelibat kereta Encik Hairi menghampirinya, dia terus memasukkan gear dan keluar dari situ. Dia membawa kereta dengan kelajuan sederhana supaya Encik Hairi tidak terlepas dari mengikut di belakangnya.
Sampai saja dipejabatnya di Damansara, Hadif sudah menunggu di pintu masuk. Tangan ayahnya dikucup dan terus menjemput masuk ke dalam pejabat mereka. Shaza sudah mengarahkan pekerjanya untuk tidak masuk ke dalam pejabat. Lagipun, pekerja yang duduk di pejabat sudah balik. Tinggal pekerja yang bekerja di dalam butik saja yang masih ada. Kemudian dia ke pantry dan membancuh air untuk mereka. 3 mug berisi air teh dibawa masuk ke dalam bilik pejabat mereka.
Pejabat mereka tidak punya ruangan bersofa, bila dia masuk ke bilik pejabat mereka, Hadif duduk dikerusi tetamu dan Encik Hairi dikerusi Pengarah Urusan. Sesuatu yang diimpikan Hadif suatu masa dulu. Untuk membawa keluarganya di sini dan melihat ayahnya duduk dikerusi itu.
“Jemput minum.” Pelawa Shaza setelah meletakkan mug dihadapan Encik Hairi.
Encik Hairi angguk.
Shaza duduk disebelah Hadif. Wajah Hadif ditatapnya. Betapa dia nampak kegembiraan diwajah Hadif. Tangan Hadif melingkar ke pinggangnya. Menariknya agar lebih rapat.
“Baru-baru ni, Ayah ada terjumpa dengan kawan lama Ayah. Ada satu cerita yang dia baru ceritakan kepada Ayah. Berita itu betul-betul mengejutkan. Tapi Ayah perlukan kepastian. Jadi, Ayah nak minta rambut Shaza untuk melakukan ujian DNA.” Kata Encik Hairi terus ke tujuan asal dia ingin bertemu dengan Shaza.
“Cerita apa, Ayah?” Tanya Hadif.
“Katanya, Ayah pernah berzina dengan kawan Ayah. namanya Hazita. Dia kata Hazita ada seorang anak bernama Shaza dan itu adalah anak Ayah dan Hazita. Tapi Ayah tak tahu Shaza mana. Dan Shaza yang Ayah kenal hanyalah Shaza. Jadi untuk pastikan sama ada Shaza anak Ayah atau bukan, Ayah nak buat ujian DNA.” Kata Encik Hairi.
“Tak perlu, Ayah.” Kata Hadif.
Encik Hairi mengerutkan dahinya.
“Shaza memang anak Hazita tapi dia bukan anak Ayah. Ayah lupa? Anak yang tidak sah taraf atau anak luar nikah tidak bernasabkan bapanya? Maknanya, Ayah bukan bapa Shaza.” Kata Hadif.
“Jadi kamu tahu? Bila?” Tanya Encik Hairi.
Hadif angguk.
“Dah lama kami tahu.” Jawab Shaza.
“Sebelum kamu bernikah?” Tanya Encik Hairi.
“Ayah tahu?” Tanya Hadif.
Encik Hairi angguk.
“Kawan Ayah yang nikahkan kamu. Dia bagitahu Ayah selepas kamu dinikahkan.” Kendur saja suara Encik Hairi.
“Jadi, kamu dah tahu yang kamu adik-beradik sebelum kamu bernikah?” Tanya Encik Hairi setelah seketika diam.
Hadif dan Shaza angguk.
“Kamu dah gila ke? Hadif? Shaza adik kamu.” Suara Encik Hairi sedikit meninggi.
“Biologinya yes. Dia adik saya. Tapi dalam Islam, Shaza bukan adik saya. Dia tidak diikhtiraf sebagai anak Ayah apatah lagi sebagai adik saya.” Kata Hadif.
Encik Hairi menundukkan wajahnya. Benar. Pernikahan mereka sah. Kalau menurut Islam, Shaza langsung tiada kena mengena dengannya. Dia juga kalau ingin menikahi Shaza tidak melanggar hukum. Semuanya ada hikmah.
Bayangkan kalau Islam menghalang perkahwinan dengan anak tidak sah taraf. Hadif dan Shaza pula tidak mengetahui yang mereka adik-beradik. Pastinya mereka duduk dalam keadaan zina. Namun, bila Islam tidak mengikhtiraf keturunan anak luar nikah kepada bapanya, maka, hal sebegini tidak menjadi kesalahan. Dan perkahwinan mereka masih sah selagi cukup syarat nikah.
“Lagipun, Hadif sudah rujuk perkara ini kepada beberapa orang ustaz selepas Shaza bagitahu yang Ayah adalah ayahnya.” Kata Hadif.
Encik Hairi mengerutkan dahinya.
“Ibu selalu bawa Shaza pergi tengok rumah Ayah sewaktu kecil. Ibu selalu tunjuk siapa Ayah Shaza sewaktu kecil. Ibu juga perkenalkan adik-beradik Shaza. Ibu suruh ingat. Tapi Ibu selalu pesan. Ibu kata, Ayah tak pernah tahu kewujudan Shaza. Ayah juga tak bersalah. Apa yang terjadi antara Ibu dan Ayah adalah kekhilafan dirinya sendiri. Ibu kata, Shaza kena hormat Ayah walaupun Shaza cuma anak luar nikah. Sewaktu Ibu nazak, Ibu pesan, jangan cari Ayah. Ibu suruh Shaza duduk dirumah anak-anak yatim. Selepas itu, Shaza langsung tak pernah jumpa Ayah atau keluarga Ayah.” Kata Shaza.
“Sewaktu Hadif nak bawa Shaza ke rumah Ayah untuk meminta izin bernikah, masa tulah Shaza tahu yang kami adalah adik-beradik. Walaupun kami berkenalan di laman social tapi Hadif tidak pernah letak gambar keluarganya. Langsung tak pernah tahu siapa keluarga dia.” Sambung Shaza.
“Bila Shaza terangkan keadaan time itu. Terus kami tak jadi jumpa dengan Ayah dan Ibu. Hadif dah sangat kecewa. Hadif marah sangat dengan Ayah. Kecewa sangat. Shaza yang selalu pujuk Hadif. Dia kata Ayah tak bersalah. Ayah pun tak tahu. Lama-lama, Hadif boleh maafkan Ayah tapi rasa kecewa masih ada. Hadif tak dapat jadi suami Shaza. Hadif cintakan Shaza. Sangat-sangat cinta. Hadif cari dekat internet kot ada cara lain untuk Hadif nikahi Shaza. Hadif jumpa satu blog, katanya seorang bapa boleh menikahi anak luar nikahnya kerana anak luar nikah tak bernasabkan ayahnya. Jadi, saya conclude bahawa kami boleh bernikah. Tapi untuk memastikan lagi, Hadif jumpa ustaz. Hadif pergi pejabat agama. Hadif tanya tentang itu dan mereka mengesahkan. Cuma ada seorang ustaz saja yang saya jumpa tak setuju. Dan dia adalah pengikut imam Hanafi. Kita di Malaysia adalah mengikut mazhab imam syafi’e.” Kata Hadif.
“Kami buat permohonan di Mahkamah untuk wali hakim. Selepas diluluskan, kami terus menikah di pejabat agama.” Sambung Hadif sambil memegang tangan Shaza.
Tangan itu dicium tanda dia sangat menghargai isterinya. Rasa bersyukur. Walaupun pelbagai syarat yang Shaza tetapkan untuk menjadi isterinya tapi Shaza langsung tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dan yang paling dia bersyukur, Shaza sentiasa mendahulukan dirinya melebihi ibunya mendahulukan ayahnya. Walaupun mereka hidup tidak sama seperi suami isteri yang lain tapi isterinya lebih sempurna dimatanya dari segala segi.
Encik Hairi hanya memandang pasangan dihadapannya. Dia nampak perasaan cinta dimata keduanya. Air matanya gugur.
“Maafkan Ayah.” Katanya.
Dia terus bangun dan keluar dari bilik itu. Dia malu. Malu pada Shaza. Malu pada Hadif. Tak tahu bagaimana nak berdepan dengan mereka berdua selepas ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan