SUBSCRIBE

Isnin, Ogos 21, 2017

EHPW 2 : Nita

Aku biarkan dua beranak itu berbincang dan buat keputusan. Aku malas mahu mengeluarkan pendapatku lagi, bila ia asyik dibidas dan ditangkis oleh Encik Tunang. Semua pilihanku tidak menepati citarasanya. Jadi biarkan saja dia yang memilih.
‘Baik tak payah ajak aku pergi beli barang. Dia punya barang hantaran, betullah dia yang pilih. Aku punya, dia juga pilih? Buang masa saja aku ikut kalau semua dia yang pilih.’ Rungutku.
“Sabar, Nita. Azril memang cerewet. Percayalah yang dia mahu pilih yang terbaik untuk Nita. Sabar, ya?” Bisik bonda sewaktu dia sedang memilih baju untuk persandingan kami.
Aku cuma mampu senyum. Pahit dan kelat.
“Azril, bagi Nita pilih juga. Sama-sama pilih. Nita mesti ada sesuatu yang dia idamkan. Bagi dia pilih sama, ya? Kesian Nita. Dahlah majlis sekali saja.” Pujuk bonda.
Azril selamba saja. Langsung tak endahkan kami.
“Nikah dan sanding hari yang sama, kan?” Tanyanya sambil memandang bonda.
Bonda angguk.
“Jomlah. Tak ada yang sesuai.” Katanya dan terus keluar dari butik pengantin itu.
Bonda dan aku terpinga-pinga. Walhal dia yang bersungguh-sungguh suruh penjaga butik tersebut mengambil ukuran badan aku dan dia tadi. Tiba-tiba dia keluar macam tu saja
Terkocoh-kocoh aku dan bonda meminta diri dari penjaga butik tersebut. Sejam lebih duduk dibutik ini, dilayan dengan baik, dia boleh pergi macam tu saja? Tak beradab langsung!
Macam ni ke abah kata jodoh yang baik? Ini ke jodoh yang baik tafsiran abah? Ke abah ditipu. Depan abah dia buat baik. Walhal?
“Kita pergi lunch dulu. Lepas tu, cari cincin.” Cadang bonda.
Dia angguk
Dia memandu keretanya dan terus masuk ke tempat parking Plaza Masalam. Setelah meletakkan keretanya, menonong saja dia berjalan. Meninggalkan aku dan bonda dibelakang. Mujur ada bonda. Kalau tidak? Terpaksa aku jalan sendirian. Pandang belakang dia.
Huh. Langsung tak tunjuk gaya lelaki yang mencintai wanitanya.
Kami menjamu selera di sebuah gerai yang ada di tingkat bawah tanah. Gerai yang menyajikan makanan ringan dari Jepun. Dia order okimiyaki untukku dan takoyaki untuk bonda. Untuknya? Ramen. Aku pandang saja ramennya. Bila dia ‘slurp’, aku hanya mampu telan liur.
‘Bukan nak tanya aku nak makan apa.’ Ngomelku.
Selesai makan, kami terus naik ke tingkat 1 dan terus menuju ke kedai emas yang popular di Malaysia. Aku dan bonda terus ke tempat cincin tapi dia berjalan keliling kedai emas tersebut. Peluang itu aku guna untuk menilik cincin yang elok tersusun didalam kaca.
“Yang ni paling cantik.” Kataku sambil menujukkan ke arah sebuah cincin bertahta belian. Beliannya tidak timbul tapi cukup cantik dan kemas pembuatannya. Kemas, ringkas dan mewah. Dibuat pula menggunakan emas putih. Memang terserlah keunikannya.
Dia geleng dari jauh.
Tak pandang lagi tapi terus tak setuju. Nampak sangat dia tak nak terima cadangan aku. Walau apa pun yang aku cadangkan.
“Cuba ambil yang tu.” Arah bonda pada jururjual yang melayan kami.
Jurujual itu mengambil cincin yang aku tunjuk tadi dan menyerahkan kepadaku.
Dengan senyum lebar, aku ambil dan acukan ke jari manisku. Aku tunjukkan kepada bonda. Dan dengan isyarat mulut, bonda minta aku tunjukkan kepada Azril.
“Azril.” Panggilku bila dia tidak memandangku.
Dia pandang ke arah aku dan bonda Tanpa bergerak seinci pun dari tempatnya berdiri, dia geleng sambil mencebikkan bibirnya. Langsung tak pandang cincin yang aku gayakan dijari.
Sampai hati!
Aku senyum kelat. Aku tanggalkan dan menyerahkan semula cincin tersebut kepada jurujual tadi. Dengan pandangan sedih, aku alihkan dari cincin kepada bonda.
“Bonda tolong Azril pilihlah. Nita nak pergi washroom. Nita okey saja dengan apa-apa pun yang bonda dan Azril pilih.” Kataku dan terus berlalu.
Aku sedih sangat.
‘Kenapa Azril langsung tak nak dengar pendapatku? Kejamnya dia! Sampai hati buat aku macam ni. Aku ni siapa? Bakal isteri dia. Barang hantaran untukku, hanya kasut saja yang dah berbeli. Yang lain? Langsung tak menepati citarasanya. Aku nak buat sendiri hantaran untuk dia pun, dia tak bagi. Semua tak boleh. Semua tak kena. Teruk sangat ke citarasa aku ni?’
Air mata yang bertakung terus mengalir sebaik saja aku masuk ke dalam tandas. Duduk di mangkuk tandas dan menangis semahunya. Menenangkan dan menguatkan hati supaya dapat terima dia dengan baik.
‘Ini dugaan sebelum nikah. Nanti dah nikah nak kena hadap perangai dia seumur hidup.’ Aku pujuk hatiku.
‘Perlukah aku mempertimbangkan semula keputusanku untuk menerimanya?’ Terlintas juga ayat itu dibenakku setelah seharian aku cuba mengawalnya dari keluar.
‘Ya. Perlu.’ Berbekalkan dengan kekuatan yang aku masih ada masa untuk menolaknya, aku lap air mata dan terus keluar. Aku basuh muka yang tak bersolek untuk menutup air mata tadi. Aku ambil tisu, dan lap mukaku sehingga kering.
Berpuas hati dengan wajah, aku keluar. Nampak dia sedang menunggu tak jauh dari tandas. Wajahnya berkerut memandang aku.
Tanpa senyuman, aku mendekatinya.
“Jom saya hantar awak balik” Kata Azril.
Tanpa menghiraukannya, aku memandang sekeliling. Mencari kelibat bonda.
“Bonda dah balik. Ada saudara datang rumah” Jelasnya.
Aku angguk dan mengikut langkahnya.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, tidak sebutir perkataan pun keluar dari mulut kami. Sunyi saja dalam kereta. Radio pun tak dibuka. Ini memberi aku ruang untuk terus berfikir dan mempertimbangkan hal masa depan aku. Masa depan aku dan dia.
“Nita.” Panggilnya. Lembut.
Aku pandangnya yang sedang mengiring merenungku. Aku larikan pandangan mata ke luar. Kereta sudah berhenti di depan rumahku. Aku tanggalkan tali pinggang keledar dan bersedia untuk keluar.
 “I want to be the one to show you love. Kiss you when you mad. Hold you down and wipe your tears when you pain. But I can’t now. Insya Allah, after we are legally being husband and wife, I’ll do that. For sure. Till then, I beg you. Don’t ever cry again.”
Aku memandangnya.
“Yes. I know you are disappointed. I know. But please. Please believe me. I just want the best for you. Just the best. For you. For us. Please Nita. Please. Ask Allah for guidence.” Katanya lagi.
Aku angguk dan terus keluar. Tak rasa nak cakap apa-apa dengannya lagi. Biarlah. Aku perlu masa untuk diri aku. Aku perlu masa untuk bersama dengan Yang Maha Pencipta.

Aku ingin segera bersihkan diri dan tidur walaupun masih awal. Aku berharap agar Allah benar-benar menunjukkan aku jalan yang terbaik untuk perjalanan hidup aku di masa hadapan. Sama ada dengannya atau orang lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan