SUBSCRIBE

Selasa, Ogos 22, 2017

EHPW 3

Aku keluar dari bilik. Mama dan abah ada dimeja makan sedang bersarapan. Aku tarik kerusi dan duduk sambil melihat mama yang sedang menyediakan ubat untuk abah. Aku pandang mereka. Satu soalan muncul dalam mindaku.
‘Mampukah aku jadi isteri sebaik mama?’
Mama akan layan abah setiap masa. Mama akan ikut abah ke mana saja yang abah ajak tanpa membantah. Mama buat apa saja yang abah suruh tanpa merungut. Mama begitu setia pada abah. Mama juga sangat hormatkan abah.
Kerja abah satu saja. Cari rezeki untuk kami sekeluarga. Urusan rumah, mama yang uruskan. Abah langsung tak pernah buat apa pun kerja rumah. Memasak, mengemas dan pakaian. Semua mama yang buat.
‘Mampukah aku?’
“Kami nak keluar kejap lagi. Kau kelas petang kan? Nanti kunci pintu elok-elok. Mama dan Abah balik lambat sikit. Nak uruskan orang nak masak nanti kenduri kau nanti.” Kata Mama.
Aku angguk.
“Kelas batal hari ni.” Jawabku. Lemah. Namun masih sempat menyambar roti yang dah sedia terhidang di atas meja.
“Kau nak ikut ke? Bagus juga kalau kau dapat ikut. Boleh drive. Abah pun macam penat sangat. Dari semalam pergi sana sini nak uruskan kenduri kau. Biasalah, lagi sebulan. Banyak benda nak buat dalam tempoh yang singkat ni.” Kata abah.
Aku angguk.
“Abah, kenapa abah terus setuju bila Azril minta tempoh tunang tiga bulan saja? Sedangkan kita bukan kenal mereka. Dan kita pun bukan kaya sangat nak sediakan duit dalam masa yang singkat.” Tanyaku sambil menyapu planta pada roti.
Abah pandang aku. Dalam.
“Nita masih menolak Azril?” Tanya abah.
Semalam aku sudah suarakan bahawa aku mungkin tak nak terima Azril. Mungkin. Aku tak tahu lagi. Masih dalam pertimbangan.
“Orang cuma mencari sebuah jawapan.” Balasku.
Abah angguk.
“Seminggu sebelum Azril datang ke rumah kita buat kali pertama, abah ada mimpi. Nita gembira sangat. Manja disamping seorang lelaki. Masa tu abah tak nampak muka lelaki tu tapi abah percaya, sesiapa yang pinang kau, itulah orang dalam mimpi abah tu.” Jawab abah.
Aku angguk. Sedikit rasa sebak mula menjalar dalam diri.
‘Ya Allah, begitu mudah Kau menunjukkan petunjuk-Mu. Semudah itu. Hanya dengan mimpi, aku dijodohkan dengan Azril. Benarkah Ya Allah dia jodohku? Benarkah dia yang boleh membahagiakanku?’ Dan aku mula mengingati mimpiku malam tadi.
Timbul rasa kagum dengan perancangan Allah. Azril memilih aku setelah bertanya pada Allah dengan istikharahnya. Aku kini tahu abah setuju dengan lamaran tersebut kerana mimpinya itu. Aku? Aku mimpi wajah abah dan Azril. Tak ada lain. Jadi apa lagi jawapan yang aku inginkan? Bukankah ianya terang lagi bersuluh yang Allah telah menjawab persoalanku.
“Nita ingat tak? Nita pernah bagi tahu abah ciri-ciri lelaki yang kau suka? Abah tak terima Azril hanya kerana mimpi tapi abah lihat ciri-ciri lelaki yang kau nak tu memang ada pada Azril. Dan itu sebab utama abah terima dia.” Kata abah.
Aku pandang abah.
Aku teringatkan Azril.
“Tak ada langsung. Dahlah tak romantik. Pandang orang pun tak. Macam tak layak saja orang untuk dia. Jalan pun, dia kat depan. Tinggalkan orang kat belakang. Mujur ada bonda.” Rungutku.
Mama dan abah ketawa.
“Itu ke sampai nak putus tunang?” Tanya mama.
Aku diam. Langsung tak berkutik.
“Itulah ciri yang Nita nak, kan? Lelaki yang tahu apa yang dia perlu buat untuk memiliki wanita yang dicintainya. Azril buat macam yang Nita nak, kan? Tanpa kenal Nita dan keluarga kita, dia datang dan minta izin abah untuk meminang kau. Dia tak ada pun mengorat kau, kan? Dia tahu apa yang dia perlu buat untuk jadikan wanita yang dicintainya halal. Dan dia jaga maruah kau sebagai seorang wanita. Itu yang kau harapkan dari seorang lelaki, kan?” Kata abah.
Aku angguk.
“Dan ciri-ciri bonus lain pun ada. Yang boleh buat abah dan mama gembira. Yang menjaga agamanya. Yang boleh membimbing Nita dan keluarga kita. Yang boleh diharapkan untuk jaga keluarga ni. Yang mendamaikan hati ahli keluarga kita. Dan yang paling penting, mama, abah dan seluruh ahli keluarga kita terima dia dengan berlapang dada.” Abah menyebut semula ciri-ciri lelaki yang aku mahukan.
“Kau tak nampak ke semua ahli keluarga kita sukakan Azril. Sejak hari pertama dia datang lagi. Semua orang cepat saja mesra dengan dia walaupun kami tak kenal pun siapa dia. Abah dan mama gembira. Kami suka Azril. Abah rasa, abah boleh harapkan dia ganti abah bila abah dah tak ada nanti.” Sambung abah lagi.
“Abah...” Tegurku meleret.
Aku jadi sensitif sejak akhir-akhir ni bila abah sebut tentang mati. Hati aku sangat sedih bila saja timbul perkara-perkara tentang abah. Semua tentang abah boleh buat hati aku tersentuh. Sejak dua menjak ni. Dulu tak ada pun.
“Nita, Azril tak saja-saja buat macam tu. Dia menjaga batas pergaulan. Depan kami, ayah dan bondanya berpesan. Nenda dia pun sama. Pesan mereka pada Azril untuk sentiasa menjaga pergaulan dengan kau. Tunang bukan tiket untuk bermesra berlebihan. Simpan semua keinginan untuk tunjuk rasa cinta selepas kahwin. Kau lupa Saidina Umar kata apa? ‘Aku lebih sanggup berjalan didepan harimau tapi tidak dibelakang wanita’.”Mama pula menambah.
“Okey. Mungkin benar dia jodoh orang. Tapi tak ke terlalu cepat. Dahlah kita tak kenal dia lagi. Entah apa asal usul dia.” Hujahku.
“Keturunannya itu hanya salah satu cabang dalam pemilihan jodoh. Yang utama, agamanya. Dah sebulan lebih korang bertunang. Ada lagi sebulan lebih lagi untuk kau kenal dengan dia. Gunakanlah tempoh bertunang ni untuk kenal. Lagipun, abah tak nampak sebab untuk tangguhkan bila dah jumpa jodoh yang baik. Lebih baik dipercepatkan.” Balas abah.
“Sebab nak cepat, abah takut dia tak sempat nak kumpul duit sampai tak tetapkan wang hantaran?” Saja aku membidas.
“Nita tak kenal lagi siapa tunang dia, Che Jam.” Kata abah kepada mama.
Mama senyum dan angguk.
“Azril akan berikan yang terbaik untuk Nita. Percaya Allah. Percaya mama dan abah. Kami dah minta petunjuk dari Allah. Allah dah bagi jawapan. Insya Allah, kau akan bahagia.” Doa mama.

Aku pandang mereka sambil menghela nafas panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan