SUBSCRIBE

Rabu, Ogos 23, 2017

EHPW 4 : Nita

Aku dan Azril duduk bersandar didinding bilik. Kaki kami berlunjur. Mataku terarah ke lunjuran kaki kami. Membezakan warna kulit kaki kami. Putih melepak dan kuning langsat. Kemudian pandangan aku beralih pada genggaman tangan kami yang sedang menyimpul satu sama lain. Aku pandang dia yang berada disebelah kananku.
Aku senyum.
“Alhamdulillah. Nikah juga kita.” Katanya.
Aku ketawa halus.
“Alhamdulillah, tiga bulan saja bertunang. Kalau lama lagi, I cannot brain what will happen to me. Hari-hari nervous. Takut awak minta putus.” Katanya sambil mencium tanganku yang berada di dalam genggamannya itu.
Ketawa aku sedikit kuat dari tadi.
“Alhamdulillah.” Aku turut bersyukur.
Sejak sah bergelar suami isteri, dia sentiasa disebelahku kecuali bila ada sesuatu yang menjadi sebab untuk kami berpisah. Bila bergabung semula, tanganku akan sentiasa digenggamnya. Rasa diri begitu dihargai dan dicintai.
“Nita, mungkin saya lupa nak cakap. Saya cuma lelaki biasa. Harapan saya pun biasa saja. Saya nak jadikan rumahtangga kita seperti taman-taman syurga yang penuh dengan rahmat dari Allah. Dan impian ini hanya boleh dicapai dengan bantuan awak, isteri saya.” Katanya.
Aku angguk.
Bukan kali pertama dia cakap. Sejak dari kali pertama aku menyalami tangannya, dia dah cakap benda yang sama. Sewaktu dia memakaikan rantai dileherku sebagai tanda perkahwinan kami, dia katakan sekali lagi. Dan kini, dia ulang semula perkara yang sama.
“Saya takut saya tak mampu berikan apa yang awak minta. Jadi, saya minta untuk awak terus bersabar. Saya cuma lelaki biasa, Nita. Tak ada daya upaya melainkan dengan izin Allah. Jadi, saya minta, terus berdoa yang terbaik untuk keluarga kita.” Pesannya lagi.
Aku angguk.
“Nita, saya mungkin tak selalu ada dengan awak tapi saya yakin Allah jaga awak untuk saya. Terus terang saya katakan, saya seorang suami yang sangat cemburu. Jadi, saya mohon, jaga maruah saya sebagai suami awak. Jaga maruah awak sebagai isteri saya. Insya Allah, saya buat perkara yang sama.” Katanya lagi. Mendalam dan aku rasa satu amanah berat untukku.
“Banyaknya pesanan awak.” Kataku. Sekadar mahu berseloroh.
“Isteri adalah amanah Allah paling berat kepada suami. Tapi dalam berat itu, ada terselit kebahagiaan dan ketenangan bagi mereka yang memelihara.” Balasnya.
“Saya tahu.” Aku memegang pipinya.
Dia menangkap tanganku yang berada dipipinya.
“Jom kita bercinta.” Dia merenung tepat ke mataku.
“Sekarang dah boleh cakap melayu, ek?” Balasku tanpa memandangnya.
Dia ketawa.
“Lepas kena tegur dengan tunang, kenalah berubah. Sampai kawan-kawan pelik bila saya cakap Bahasa Melayu dengan mereka. Susah tau. Saya dah biasa speaking dari kecil. Cuma bila dengan tok ayah dulu saja saya bercakap Bahasa Melayu. Sebab tok ayah tak suka cakap Bahasa Inggeris. Semangat nationalisme.” Katanya masih bersisa ketawa.
Aku senyum.
“Bagusnya bekas tunang saya ni. Belum kahwin dah dengar cakap. Harap dah kahwin ni pun dengar cakap.” Kataku.
Dia angguk.
“Insya Allah.”
“Pesanan pertama seorang isteri. Ingat perjanjian yang kita dah setuju.”
“Apa?”
“First night in our own house.”
“Yup.”
“Pesan kedua.”
“Ehhem.”
Dia pandang aku. Tajam.
Aku senyum. Menahan tawa.
“Saya pun kuat cemburu. Jangan uji cemburu saya.”
“Insya Allah.”
“Boleh kita tidur? Dah pukul 5 pagi ni.” Rayuku sambil melihat jam didinding bilik.
Aku benar-benar mengantuk saat ini. Sudahlah tidur dah lambat kerana mengemas rumah selepas kenduri kami. Tidur tak sampai sejam, dia sudah bangun. Katanya, tak boleh tidur kerana susah hati. Bila ditanya kenapa, dia hanya menggeleng. Oleh itu, aku temankan dia bangun solat sunat malam dan berlanjutan bersembang hingga sekarang.
“Tidurlah. Saya tunggu waktu Subuh.” Katanya dan menarik aku agar melapikkan kepala ke diribanya. Ubunku diusap dan sesekali diciumnya.
Aku pejamkan mataku tapi tak mampu untuk lelap walhal aku sudah sangat mengantuk. Aku buka mataku semula dan mendapati dia sedang merenungku dengan pandangan yang sarat dengan rasa cinta.
Aku teringat kata abah. Dia punya ciri-ciri lelaki yang aku idamkan. Dia romantik dengan caranya yang tersendiri. Dari pesan-pesannya, aku tahu dia seorang yang memelihara agamanya. Dan dari sentuhan yang dia berikan, aku tahu, dia cintakan aku sepenuh hatinya.

‘Allah, aku mohon rumahtangga yang aman dan tenang. Yang terhindar dari syaitan yang direjam. Aamin.’ Doaku di dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan