SUBSCRIBE

Jumaat, Ogos 25, 2017

EHPW 6 : NITA

Aku mula bekerja hari ini sebagai kerani akaun merangkap penyambut tetamu merangkap admin. Sebuah syarikat kecil pemilikan bumiputera. Baru ditubuhkan 3 bulan lepas. Menjalankan aktiviti perkhidmatan agen kastam. Gaji tak banyak pun mereka bagi tapi pada aku untuk cari pengalaman yang banyak adalah di sini. Aku kena membangun bersama mereka.
Bos besar kami, Encik Bahar, yang temuduga aku minggu lepas. Mukanya sangat garang tapi dari gaya percakapannya, aku tahu dia seorang yang berhati lembut. Encik Bahar pesan,
“Bila bekerja, kerja sungguh-sungguh. Tak faham tanya. Ada pendapat lain, share. Kita kerja berpasukan. Tak ada lama atau baru. Ada pengalaman atau tidak. Kita semua sama saja.”
Pesanan itu aku akan ingat sampai bila-bila.
“Nita, abang nak kau ambil Request of Transport. Form tu ada dekat mesin fax tu. Letak dekat meja kau. Lepas tu kau amek satu set. Duduk depan abang. Abang ajar kau macam mana nak isi form ni” Arah Izam.
Izam adalah akauntan di syarikat merangkap pegawai pemasaran dan operasi. Selama aku bekerja di sini, Izam yang akan memantau kerjaku. Jadi, aku ditempatkan dihadapannya.
Aku bangun dan mengambil sekotak borang yang tertulis ‘Request of Transport’. Aku angkat kotak itu dan letakkannya di penjuru meja. Kemudian, aku ambil satu set borang itu yang terdiri dari warna putih, kuning dan merah. Aku duduk semula dikerusiku dan pusing menghadap Encik Izam.
“Ini file untuk letak job kita. Bila kau nampak saja ada fax masuk yang macam ni, kau terus buka file baru. Lepas tu, kau tulis dalam buku job ni. Ikut apa yang abang dah letak detail untuk diletakkan dalam buku job ni.” Izam menunjukkan sebuah fail warna coklat yang telah ditampalkan dengan kertas berwarna Ungu. Kemudian dia membuka sebuah buku folder berwarna ungu dan menunjukkan detail yang telah dituliskan didalam buku itu.
Aku angguk.
“First kau kena tahu, urusan kita melibatkan dua perkara utama. Import dan Export. So, masa kau nak buka job, kau kena tahu import ke export. Import maknanya bawa barang masuk negara. So, kau kena tahu Port of Loading kat mana. Kalau export kau kena tengok Port Of Discharge kat mana. Faham?” Terangnya sambil jarinya ditunjukkan perkataan ‘Port of Loading yang terdapat di dalam kertas yang di ambil dari dalam fail coklat.
Aku angguk.
“So, Kalau import kau tulis dalam buku ungu dan kau tampal kertas ungu ni kat depan fail ni. Kalau export, kau tulis dalam buku oren dan tampal kertas oren kat fail ni. Okey?” Dia menyambung sambil menyerahkan kedua-dua buah buku kulit keras berwarna ungu dan oren kepadaku.
Aku angguk dan mengambil kedua-dua buah buku itu. Buku-buku itu aku letakkan di atas mejaku. Aku kembali menghadapnya.
“Okey. Ini kita panggil ROT. Ini kita bagi dekat haulier untuk minta dorang tarik kontena. Sama ada nak suruh haulier ambil kontena dari dalam port atau tarik masuk port.” Sambungnya lagi. Kemudian Izam mengajar aku cara nak isi borang mengikut maklumat yang diberikan pelanggan kepada kami.
“Bila kau dah fax, abang nak kau call diorang tanya dah terima ke belum fax kau tu. Kalau dah, tanya siapa yang terima. Catat dekat fail tu nama orang yang terima, tarikh dan masa. Minggu ni kau buat benda ni je dulu. Nanti pergi beli buku catatan. Setiap apa yang orang cakap, biasakan tulis dalam buku tu supaya kau tak lupa. Atau kalau kau tak faham, kau tak akan terlepas maklumat tu. Faham?” Tanyanya. Kali ini tegas sangat.
“Faham.” Jawabku sambil menganggukkan kepala.
“Marris.” Encik Izam mengangkat telefon yang berdering pada deringan pertama. Sebutan ‘Marris’ itu cuma sepatah tanpa lenggok. Kaku dan beku.
“Ya, kak.” Dan itu saja perkataan yang keluar dari mulut Encik Izam. Langsung tak ada kemesraan. Kaku dan beku begitu.
“Abang keluar dulu. Ni nombor abang, Encik Bahar dan Shah. Apa-apa hal telefon abang. Ingat, catat apa saja yang orang cakap. Jangan tinggalkan apa-apa maklumat pun.” Pesan Izam setelah meletakkan ganggang telefon. Dia bangun dan terus mengambil begnya.
“Kejap lagi ada booking baru nak masuk. Nanti dah dapat, kau terus fax ke JJ. Suruh dorang refax pick up point. Cakap dengan Shahril. Ini buku telefon. Semua nombor ada dalam ni. Bila dah dapat pick up point, ROT tu kau fax kat Wera.” Arah Izam dan meletakkan sebuah buku tebal di depanku.
Aku angguk tanda akan mengikut arahan. Bukan sebab aku faham.
Sememangnya aku tak tahu apa yang dia cakap. Sepatah haram aku tak tahu. Nak tanya, dia dah tergesa-gesa mahu keluar. Jadi, aku hanya perhatikan saja langkahnya meninggalkan aku keseorangan di dalam bilik pejabat ini.
Elok saja dia keluar, bunyi mesin fax berbunyi. Aku berjalan ke arah mesin fax dan menanti kertas dari mesin itu keluar. Setelah aku pasti ia laman terakhir, aku koyakkan dan bawa ke tempat mejaku.
“Wah.” Terlopong mulutku. Kagum bila membaca nama sebuah anak syarikat sebuah agensi kerajaan yang tertera di kepala surat.
Aku ambil buku telefon yang diberikan Izam tadi. Aku cari huruf J dan terus membuka laman tersebut. Aku mencari nama JJ. Bila jumpa, aku garu kepala.
“Macam mana nak gunakan mesin fax ni?” Tanyaku kepada diri sendiri sambil menggaru kepala. Aku belek mesin fax tersebut.
“Cari dekat internet.’ Satu suara dari dalam mindaku mengarahkan aku.
Aku terus ke tempat dudukku dan membuka komputer yang berada di atas meja Izam. Hampa. Ada kata laluan. Aku termenung dan terpandangkan kertas yang tertulis nombor telefon. Aku bangun dan ambil kertas tersebut. Nombor Izam aku dail menggunakan telefon pejabat untuk meminta kata laluan komputernya.
“Buku manual dia ada dekat dalam kotak ROT tu.” Balas Izam yang keberatan mahu memberikan kata laluan komputernya walaupun aku sudah nyatakan sebab aku ingin kata laluan.
Aku letak ganggang dan terus mencari buku manual. Nasiblah. Kita tak ada komputer. Dalam pejabat ini, hanya meja Izam ada komputer. Mungkin sebab yang lain tak memerlukan.
Agaknya.
Aku baca buku manual. Aku ikut satu persatu langkah yang ditunjukkan. Setelah yakin fax telah pergi ke penerima, aku ke telefon dan mendail nombor ‘JJ- Shahril’.
“Hello, saya nak cakap dengan Shahril.” Kataku penuh yakin.
“Shahril mana?” Sergah suara ditalian.
“Entah. Tapi tadi saya ada fax booking. Letter head Kilang Teh. Nak minta pick up point. Ada terima tak?” Tanpa nada aku bercakap. Malas nak layan sergahan itu.
“Kejap.” Balasnya. Aku didendangkan dengan alunan music dari mesin telefon.
“Ada ni. Kau fax benda ni tanpa ROT. Tak tulis attention untuk siapa. Tak tulis apa-apa kat sini. Macam mana orang nak tahu kau nak apa? Kau baru kerja ke?” Sergahnya.
Aku garu kepala.
“Haah. Hari ni hari first kerja. Ini kerja pertama saya buat.” Akuiku.
“Patut buat kerja macam sampah. Bagi benda pun macam sampah. Fax ROT. Attention to Shahril. Lepas tu call balik. Kau dari mana ni? Siapa kau?” Arahnya.
“Saya Nita dari Port Klang.” Jawab aku jujur tanpa menghiraukan tohmahannya.
“Kau ingat aku ni dekat mana? Nava Shiva? Kau dari company mana?” Nada suaranya jelas yang dia tak suka berurusan denganku.
“Marris Sdn Bhd.” Balasku.
“Ha, tulis from Marris. Attention to Shahril. Cepat sikit. Aku tunggu. Aku bagi kau masa 5 minit. Kalau kau tak call dalam masa 5 minit, lantaklah kau punya booking.” Ugutnya.
Dengan segera aku meletakkan ganggang telefon. Borang ROT aku ambil dan koyakkan sekeping. Aku isikan benda yang aku tahu saja. Kemudian, aku tulis di kepala borang seperti yang diarahkan tadi. Segera aku fax borang ROT. Kemudian, aku terus menelefon nombor tadi.
“Saya Nita dari Marris Sdn Bhd. Erm… saya tak tahu tadi saya cakap dengan siapa. Boleh tanyakan tak?” Gagap pula jadinya bila aku tak tahu nak bercakap dengan siapa.
Aku garu kepala. Sedar kesilapan diri.
“Biasalah, budak baru. Careless. Benda simple macam tu pun tak reti nak buat. Lain kali tanya dulu dengan siapa kau bercakap. Kau dah fax?” Suara yang sama bercakap dengan aku tadi. Suara dan nada yang sama.
“Saya bercakap dengan siapa ni?” aku bertanya.
“Baru kau nak tanya. Kau tahu tak kau tu dail direct line aku?” Sinis suara tu.
“Tak tahu. Dekat buku telefon ni tak ada pula tulis direct line ke apa. Jadi ni Shahril?” Aku bertanya untuk minta kepastiaan.
“Encik Shahril. Hormat sikit.” Sergahnya.
Aku cebik. Asyik menyergah aku saja kerjanya. Dari tadi. Motif apa? Buat aku takut?
“Pick up point kat J1.” Dia terus bercakap setelah bunyi ketukan papan kekunci berhenti.
“Minta Encik Shahril refax.” Kataku.
“Lepas lunch aku fax balik kat kau.” Putusnya.
Aku menoleh ke arah jam di dinding pejabat. Baru pukul 11.45 pagi. Lambatnya lagi kalau nak tunggu lepas makan tengahari.
“Encik Shahril, boleh tak fax sekarang.” Pintaku.
“Benda ni bukan urgent pun. Kau nak cepat buat apa?” Balasnya.
“Cepat buat kerja. Tak ada kerja tertangguh. Tak berlaku masalah lupa. Saya pun faham Encik Shahril banyak kerja tapi kalau benda simple macam ni pun Encik Shahril bertangguh, mesti lagi cepat Encik Shahril lupa. Maka makin banyak kali Encik Shahril kena bercakap dengan saya.” Aku cuba menerangkan dengan logik.
“Banyak pula cakap kau. Kau tunggu kejap. Aku fax.” Dan sekali lagi aku diperdendangkan dengan bunyi mesin telefon.
Tak lama lepas tu, mesin fax berbunyi.
Aku senyum. Aku tunggu didepan mesin fax. Muncul kepala borang ROT yang aku fax tadi. Aku segera ke telefon dan melekapkan ganggang ke telinga.
“Alhamdulillah. Dah dapat. Terima kasih.” Aku khabarkan berita tanpa dia bertanya sebaik saja lagu mesin telefon tu berhenti.
“Okey.” Balas Shahril dan terus talian dimatikan.
Aku tarik nafas dalam.
“First call dah jumpa perangai macam ni.” Rungutku sambil mengoyakkan kertas di mesin fax. Aku letakkan kertas itu di mesin dan mendail nombor fax Wera yang tertera dalam buku telefon. Bila fax itu sudah pergi, aku telefon nombor Wera pula.
“Hello, saya Nita dari Marris Sdn Bhd” Aku memperkenalkan diri. Pengajaran tadi sangat berguna.
“Pekerja baru, ya?” Tanya orang kat sebelah sana.
‘Apalah masalah kalau aku pekerja baru. Nak angin juga ke?’ Keluhku dalam hati.
“Ya, Puan.” Balasku.
“Alah, tak payah nak formal sangat. Panggil kak Zai je. Dah berapa hari kerja?” Tanya Kak Zai. Ramah.
“Baru hari ni, kak.”
“Ooo… sebelum ni kerja kat mana?”
“First time kerja.”
“Lepasan SPM?”
“Tak. Diploma tapi sekarang masih belajar untuk degree. Final semesta.”
“Intern lah ni?”
“Tak, kak. Kerja, kak.”
“Kira kau ambil jarak jauh ke macam mana ni? Akak ni bukan faham benda-benda universiti ni. Kita tak lepas ke U, takat SPM saja.” Kendur saja suara Kak Zai.
Aku ketawa.
“Kalau nak tau sekarang ni kak. Tinggal cari dalam internet saja, kak.” Jawab aku.
“Bijak. Tu beza orang belajar tinggi dengan orang belajar tak tinggi.” Puji Kak Zai.
Aku senyum.
“Ilmu tu dicari bukan sebab kita masuk U. Ilmu cari sebab kita nak tahu. Kak, saya ada fax ROT. Ada terima tak?” Balasku dan terus ke tujuan utama aku menelefonnya.
“Ada ni. Nanti macam biasa. Suruh budak kau hantar ROT original kat akak. Kejap lagi akak fax kat kau balik untuk reference number.” Kata Kak Zai.
“Okey, kak. Terima kasih.” Ucapku dan berhajat untuk mematikan talian.
“Sama-sama. Kau apa-apa hal cari akak tau. Kau jangan cakap dengan budak operation kat sini. Nanti kena ngorat.” Pesan Kak Zai.
“Nak ngorat apanya kak. Saya dah kahwin.”
“Awalnya.”
“Dah nak masuk 22 tahun dah kak. Awal apanya?”
“Awallah. Akak yang dah 35 tahun ni pun baru 2 tahun kahwin.”
“Jodoh sampai awal, kak.”
“Haah kan. Bab jodoh ni bukan boleh tahu. Eh, dahlah. Kau pun layan saja aku sembang. Aku bukan boleh ajak sembang. Kerja tak siap nanti.” Kata Kak Zai.
Aku gelak saja. Setelah berpamitan, kami meletakkan telefon.
“Adoi, penatnya.” Satu suara mengaduh kepenatan.
Aku pandang wajah itu. Shah. Orang yang bertanggungjawab untuk berurusan dengan pihak kastam. Aku ada jumpanya pagi tadi dan sempat berkenalan sebelum dia keluar untuk melaksanakan tugas-tugasnya.
“Ada apa-apa untuk aku?” Tanya Shah.
Aku tenung wajahnya. Aku tak tahu apa yang dia maksudkan. Langsung tak tahu.
“Saya tak tahu apa yang kena bagi dekat awak.” Balasku jujur.
“Lupa pula kau baru. Panggil aku Shah. Tapi sebab kau muda sangat dari aku, panggil aku ‘abang’.” Katanya dan terus bangun mendekatiku.
Aku mula rasa nak muntah. Mula rasa tak selesa. Abang? Geli sangat. Izam lain. dia memang nampak tua dari aku. Shah? Aku tak pasti berapa umur dia sebenarnya. Tapi dari paras wajahnya, aku rasa kami cuma beza setahun dua.
“Izam dah bagi kat kau semua file job?” Tanyanya.
Aku angguk.
“Ini contoh. Ini kastam form. Setiap kali nak pas paper, mesti kena ada borang kastam.” Kata Shah sambil menunjukkan beberapa keping kertas yang diambil dari dalam beg sandangnya dan diatur kemas di atas mejaku.
“Yang biru ini untuk import, merah ni untuk export dan yang hijau ni untuk Sabah Sarawak.” Katanya. Dan dia mula mengajarku untuk membaca borang kastam.
Aku hanya angguk tanpa banyak bertanya. Walaupun tak berapa nak faham, aku jadi teruja untuk tahu lebih banyak lagi. Aku tetapkan matlamat, dalam masa sebulan, aku sudah boleh buat semua kerja yang dipertanggungjawabkan kepadaku sekarang ini dengan sempurna.

Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan