SUBSCRIBE

Sabtu, Ogos 26, 2017

EHPW 7 : NITA

“Kita lunch luar hari ni, ya? Ajak budak-budak tu sekali.” Cadang Azril.
Aku memandangnya yang baring disebelahku sambil mempertimbangkan cadangannya itu. Kemudian aku memandang sekeliling bilikku yang sudah bersih dikemas Azril semalam. Jadi minggu ni, tak perlu nak bersihkan bilik.
“Boleh juga. Semua orang nak keluar. Tinggal kita saja.” Balasku.
Dia senyum. Semacam. Seperti ada sesuatu yang sedang dirancangnya.
“Tapi kena balik awal sikit. Kalau tidak, jenuh nak hantar ke rumah seorang-seorang. Lagipun, bagus balik awal. Esok budak-budak tu nak sekolah.” Sambungku.
“Dah sekolah ke?” Azril bertanya.
“Aisyah tu dah 6 tahun. Mawar, Damia dan Zil dah 5 tahun. Ayush 4 tahun. Semua pun dah pergi tadika.” terang aku.
“Awalnya dah pergi tadika” Penyataan dari Azril.
“Normallah tu. Nita dulu pergi tadika umur 5 tahun.” Balasku.
“Ayush tu. Baru 4 tahun, dah tadika?” Azril membetulkan tanggapanku.
Aku berdehem untuk menutup perasaan maluku.
“Aisyah dan Ayush tu Kak Azie dah hantar ke tuisyen. Pagi pergi tadika. Petang pergi tuisyen. Malam pergi kelas mengaji Al-Quran pula.” Aku memberitahunya.
“Kesiannya. Budak lagi. Penat satu hal. Bila dorang nak belajar bereksperimen? Macam mana otak nak berkembang kalau asyik digasak dengan pembelajaran formal? Kenapa tak diberi ruang untuk anak mengembara dalam dunia mereka. Anak kita nanti jangan nak buat macam tu. Biar mereka rasa zaman kanak-kanak yang meriah. Tak payah nak bebankan mereka dengan pelajaran. Biar mereka belajar untuk selesaikan masalah sebelum diajar dengan ilmu formal.” Luah Azril. Dia ubah kedudukannya dari baring ke duduk. Dan dengan kerutan di dahi dia memberi aku amaran cara didikan anak-anak kami nanti.
“Allah. Biarlah Kak Azie nak buat macam mana pun dengan anak dia. Setiap ibu bapa ada cara didikan yang tersendiri. Ada impian untuk anak-anak mereka” Balasku tak puas hati dengan pendapatnya.
Bukan tak setuju tapi pada aku, tak perlu nak komen tentang cara didikan orang lain. Kalau tak suka, jangan buat. Tak perlu dipertikaikan. Biarlah mereka.
“Ya. Tapi saya nak anak-anak saya bebas buat pilihan masing-masing. Saya tak nak kita tentukan dia nak jadi apa. Saya tak nak dia kena kongkong untuk belajar supaya boleh dapat result cemerlang. Hanya kerana kita tak nak malu dengan kawan-kawan. Saya tengok sekarang mak bapa macam tu. Takut anak gagal sebab nanti bila kawan tanya malu nak jawab. Saya nak kita bangga dengan anak kita walaupun dia gagal. Kita bantu dia untuk dia bangkit dari kegagalan dan belajar untuk bangun semula dan terus berjalan menuju impiannya.” Luahnya.
Aku angguk. Aku faham. Dan aku setuju.
“Dah habis menyampaikan amanat?” Tanya aku saja mengusiknya. 
Dia pandang aku geram. Dia mencubit kedua belah pipiku dan ditarik-tariknya geram.
“Amboi.” Marahnya. Kemudian dia mencium pipiku yang telah dilepaskan.
“Ayah Lang nak cium juga!” Jerit Damia.
Pintu bilik aku dibuka tanpa diketuk terlebih dulu. Muka Damia dan Mawar tersengeh di pintu bilik. Dengan senyuman malu, Damia meluru ke arah Azril. Dalam keadaan tak bersedia, Azril terbaring dek kerana tindakan Damia yang meluru ke arahnya. Dah gaya superman minta disambut.
Aku cubit sedikit peha Damia yang sedang terbaring di atas Azril dan menariknya agar berdiri di lantai. Sekaligus memberi ruang untuk Azril duduk semula.
“Padan muka.” Ejek Mawar.
Damia menjelirkan lidahnya.
“Damia. Mawar.” Tegurku.
Mereka berdua tunduk. Tahu kesalahan masing-masing.
Tak lama kemudian, Ayush, Aisyah dan Zil turut masuk ke bilik aku.
“Korang buat apa masuk ke bilik ibu lang ni? Berapa kali dah ibu lang cakap? Bilik ibu lang tak boleh masuk kecuali ibu lang yang suruh. Degil sangat kenapa ni? Nak kena tempeleng?” Marahku.
“Kami lapar. Atok semua dah keluar.” Kata Mawar.
“Korang dah makan kan tadi? Takkan lapar lagi?” Tanyaku. Masih marah.
“Nita.” Tegur Azril. Dia memuncungkan bibirnya ke arah jam.
Aku memandang jam yang sudah menginjak ke pukul 11.45 pagi. Sudah lebih dari tiga jam dari waktu mereka sarapan. Sudahlah sarapan tadi pun hanya sekadar roti bakar.
“Dah. Pergi siap. Kita makan dekat luar.” Kata Azril lembut.
Azril mengusap ubun Damia dan mencium dahi itu.
“Terima kasih.” Balas Damia dan terus memeluk leher Azril. Dia membalas ciuman Azril di pipi.
“Nak juga!” Pinta yang lain.
“Dah. Pergi siap!” Marahku sambil mencekak pinggang.
Azril berdiri dan mencium seorang demi seorang ubun budak berlima itu. Aku hanya memandang. Azril memang macam tu bila dengan budak berlima ni. Sentiasa manjakan mereka dan akan sedaya mungkin memenuhi hasrat mereka.
“Lambat, tinggal.” Kataku bila semua sudah keluar dari bilik kami.
“Garang sangat.” Komen Azril dan terus mencium pipiku.
Aku tergamam.

Dia ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan