SUBSCRIBE

Isnin, Ogos 28, 2017

EHPW 9 : NITA

Lima bersaudara, Aisyah, Ayush, Damia, Mawar dan Zil, sedang sibuk memujuk aku untuk bawa mereka pulang ke rumah. Ada yang tolong ambilkan air. Ada yang duduk bergesel-gesel ditubuhku. Ada yang picit-picit kakiku.
“Dulu masa ibu lang tak ada rumah, tak ada pun korang sibuk nak ikut ibu lang jumpa ayah lang.” Bidasku.
Dulu sewaktu aku dan Azril berpindah randah, selang minggu antara rumah mama dan bonda, tak pernah pun mereka kisahkan Azril walaupun selalu juga aku ajak mereka temankan aku. Sekarang ni, sibuk nak ikut aku balik rumah kami. Dengan alasan, lama tak jumpa Azril.
Aku cebik.
Macamlah aku tak tahu. Nak jumpa Azril itu cuma alasan kedua. Yang pertama adalah kerana mereka bebas di rumah kami. Tak ada sesiapa nak melarang atau memarahi mereka jika mereka bising. Azril sentiasa menangkan mereka jika aku marah.
“Rumah ibu lang seronok. Lapang.” Jawab Aisyah.
“Macam tu duduk lah rumah atok ni. Besar kan? Korang boleh main dekat luar. Rumah ibu lang mana ada ruang korang nak main.” Aku terus memberi alasan.
Aku bukan tak nak mereka ke rumahku tapi aku ingin rehat berdua saja dengan Azril. Hampir tiga hari aku tak berjumpa dengannya. Baru malam tadi dia balik. Esok pula aku cuti. Hari ahad. Jadi, aku nak berdua dengannya.
“Ala, rumah atok penuh barang. Mama ngah tu asyik beli perabot saja. Lepas tu, tak bagi kami main kat dalam rumah. Asyik kena marah saja.” Jawab Ayush.
“Ooo, kau kutuk mama ngah, ya? Ibu lang report mama ngah. Nak?” Ugutku.
“Mana ada kutuk. Menyatakan kebenaran. Mama ngah memang suka marah kita orang. Macam nenek kebayan.” Balas Mawar, anak arwah Kak Ainul, kakak sulungku, dengan berani.
“Kau cakap apa, Mawar?” Tanya Zira yang tiba-tiba muncul di ruang tamu. Wajahnya bengis. Tangannya sudah bercekak di pinggang.
Zira, kakak aku yang kedua ini, memang garang orangnya. Aku sendiri tak boleh ngam dengan dia. Sebab tu aku tak panggil dia kakak. Masa arwah Kak Ainul ada, memang kami tubuhkan pakatan untuk kenakan dia. Ditambah sokongan kuat dari abah. Siapa berani lawan?
“Kalau korang tak nakal, tak adanya mama ngah nak marah. Tak reti duduk diam. Berlari sana sini. Kalau pecah barang, siapa nak ganti?” Tengking Zira.
Kesian aku melihat lima bersaudara kaku ditempat mereka duduk tadi. Tak berani nak angkat muka langsung. Semua takut. Satu persatu wajah lima bersaudara tu aku pandang.
Aisyah dan Ayush adik beradik. Mereka anak sepupuku, Kak Azie. Damia juga anak sepupuku, Wanisyah. Manakala, Zil adalah anak jiran sebelah rumah mama. Zil dijaga oleh mama sejak dalam pantang lagi kerana mak bapa Zil anak yatim piatu. Tiada siapa nak uruskan mak Zil dalam pantang. Bila maknya bekerja, mama yang minta untuk memelihara Zil. Oleh itu, Zil sangat rapat dengan kami sekeluarga dan kami telah meletakkannya sebaris dengan Mawar. Anak kami.
“Siap cepat. Ibu lang nak balik ni. Pergi ambil baju. Salam atok dengan mama ngah. Ibu lang tunggu dalam kereta.” Kataku dan terus berdiri.
Lima bersaudara itu terus berlari masuk ke bilik Mawar kecuali Zil yang balik ke rumahnya. Mungkin meminta kebenaran mak bapanya. Selalunya begitulah.
“Mama Ngah belum habis cakap lagi. Korang nak pergi mana?” Jerit Zira. Namun, tiada siapa yang peduli.
Dia memandangku tajam.
“Kau tu lah perangainya. Manjakan sangat budak-budak ni. Langsung tak hormat orang tua.” Zira mengalihkan amarahnya kepadaku pula.
“Kau marah macam ni, kau rasa dia orang nak respect pada kau ke? Kau sedar tak kau buat budak-budak tu takut? Macam ni, bukan buat dorang hormat kau tapi bencikan kau.” Bidasku dan terus berlalu mencari mama dan abah untuk memaklumkan mereka bahawa aku ingin beransur pulang dan bawa budak-budak tu sekali.
“Kirim salam Azril.” Pesan mama.
“Malaslah nak kirim-kirim salam. Takut lupa.” Balasku dan menyalam tangan dan mencium pipi mama.
“Pesan Azril, datang rumah ni sebelum pergi kerja.” Pesan abah pula.
“Insya Allah.” Balasku dan terus memeluk abah.
Abah membalas pelukanku dan mencium ubunku. Kebiasaan antara aku dan abah.
“Elok-elok bawa kereta tu.” Pesan mama sewaktu aku sudah masuk ke dalam kereta.
“Budak-budak. Tak siap lagi ke?” Laung mama memanggil lima bersaudara.
Aku lihat mereka keluar dari rumah bersama beg yang tersangkut dibelakang. Berlari dan berebut untuk bersalam dengan mama dan abah. Zil yang paling awal tiba, terus duduk disebelahku. Manakala yang lain duduk dibahagian belakang.
“Bye.” Mereka melambai tangan kepada mama dan abah sewaktu kereta mulai gerak meninggalkan perkarangan rumah.
“Padan muka kau orang. Lain kali jaga mulut tu. Jangan cakap main nak lepas saja.” Ejekku sewaktu kereta berhenti di lampu isyarat merah.
“Mana nak tahu mama ngah dah balik.” Balas Aisyah mempertahankan adik-adiknya. Dia memang ada perangai yang tu. Suka pertahankan adik-adik yang lain.
“Tak kiralah mama ngah ada ke tak ke. Jaga percakapan tu. Jangan main nak cakap ikut sedap mulut saja. Jaga hati dan perasaan orang lain. Faham?” Bidasku. Aku melembutkan sedikit bila bertanya mereka.
“Faham.” Jawab mereka serentak.
“Dah. Senyum” Kataku dan menayangkan wajahku yang sedang tersenyum ke belakang.
Mereka senyum dan memelukku.
“Dah. Duduk diam-diam. Ibu lang nak drive.” Kataku bila lampu isyarat bertukar hijau.
Sebaik sampai saja dirumah, semua sibuk memanggil Azril dan mencarinya. Mataku turut melilau di setiap sudut rumah mencari Azril. Aku berjalan ke ruang tamu. Ruang tamu tiada. Ruang yang aku letakkan almari buku yang terletak dibawah bilik kami juga tiada. Aku berjalan ke dapur. Juga tiada.
Aku mengeluh.
Sejak diubahsuai begini, susah pula jadinya. Aku marah betul dengan Azril kerana buat rumah ini berlorong. Walhal, masa mula-mula aku tengok rumah ini, aku sangat sukakannya. Masuk saja dari pintu, dah nampak ruang tamu dan lapang rasa. Sekarang, masuk ke dalam rumah, sebelah kanan pintu ke beranda, tempat mendobi, dan sebelah kiri anak tangga ke bilik kami. Tangga pula dibuatnya lebar. Selebar lorong.
Aku naik ke bilik kami. Mujur Azril bijak. Menutup ruang agar orang tidak boleh nampak bilik kami dengan jelas dari bawah. Ruang yang ditutup itu dijadikan bilik persalinan kami. Semua pakaian diletakkan disitu dan disusun mengikut jenis. Malahan, berasingan antara pakaianku dan pakaiannya.
Jika dilihat, sebenarnya macam cacat sikit ruang ini. Ditengah-tengah, ada lubang lima kaki lebar dan dua kaki panjang, iaitu tangga. Sekelilingnya pula diletakkan penghadang seperti kandang mahkamah. Naik saja dari tangga, terus nampak bilik air. Antara bilik air dan ruang salin, ada dua kaki lebar saja. Katil kami pula di sebelah kanan tangga. Ditengah-tengah bilik. Langsung nampak tak tersusun. Tapi bak kata Azril,
“Kita yang buat dia. boleh saja apa pun.”
Aku hanya mampu mengeleng kepala dengan jawapannya itu. Sudah dua bulan kami pindah, aku makin boleh terima dengan kejanggalan ini.
“Azril.” Panggilku bila aku lihat dia sedang mengambil kopiah dari meja solek yang berada di sebelah bilik air.
“Saya berwuduk ni. Nanti batal pula” Katanya bila dia lihat aku mendekatinya dengan senyuman menggoda.
Dia berundur ke belakang dan aku terus mara. Dengan sengaja, aku menyentuh tangannya dan segera berlari masuk ke dalam bilik air sambil ketawa riang.
“Pergilah ambil air sembahyang lagi sekali.” Ejekku bila sudah berada di dalam bilik air.
“Amboi. Nakal ni. Buka pintu ni. Cepat!” Balasnya sambil mengetuk pintu bilik air. Dia turut ketawa.
“Azril, budak-budak ada kat bawah. Jaga sikit perangai tu.” Aku memaklumkan kepadanya. Sedar, Azril tak tahu lima bersaudara itu ada dirumah.
 Aku dengar bunyi tapak kakinya berjalan turun ke bawah. Aku segera mandi. Usai aku berwuduk, Azril mengetuk pintu bilik mandi.
“Nita, cepat sikit mandi tu. Budak-budak dah tunggu nak solat jemaah” Kata Azril.
“Dah siap.” Kataku yang sudah keluar dari bilik mandi bertuala.
“Amboi, seksinya isteri Azril ni.” Katanya dengan senyuman nakal.
“Saya dah ambil wuduk. Jangan nak sentuh lagi.” Kataku yang dah faham maksud senyuman itu. Aku tetap berinya amaran walhal aku tahu, dia pasti akan membalas balik perbuatan aku tadi.
“Ambil lah wuduk sekali lagi.” Katanya dan terus memukul lenganku lembut.
“Azril!” Jeritku seraya mengejarnya sehingga dia masuk ke bilik air.
Aku terus ke bilik persalinan. Sementara nak tunggu dia ambil wuduk, aku dah siap pakai baju. Tak nak bazir masa terutama bila jam sudah hampir ke 2.30 petang.
Selepas berwuduk, aku turun ke bawah. Aku lihat semua jemaah sudah bersedia untuk solat berjemaah. Sejadah semua dah siap. Azril pun dah duduk di tempat imam merangkap bilal. Siapa lagi nak iqamat kalau bukan dia. Takkan nak harap budak Ayush atau Zil.
Aku sampai saja dalam kumpulan jemaah, Azril bangun dan Iqamat. Aku berdiri saja. Tak duduk dah. Dah lambat sangat dah ni nak menghadap Yang Maha Pencipta.
Selesai solat dan berdoa, aku terus pergi ke depan Azril. Seperti selalunya, aku dulu yang akan bersalaman dengan ayah lang. Budak-budak belakang. Dan seperti kebiasaan bila lepas solat, aku akan tunduk salam Azril dan mencium tangannya. Dia pun akan mencium tanganku semula dan akan menghadiahkan kucupan di dahi dan hidung.
“Eee... Gelilah ayah lang ni.” Zil menempelak perbuatan kami.
“Sound fishy.” Kata Azril sambil mengenyit mata padaku.
Aku menahan tawa. Bukan aku tak faham maksud mereka itu. Sudah hampir 9 bulan aku bernikah dengan Azril. Dan hampir setahun mereka rapat dengan Azril. Jadi, aku tahu semua cara-cara mereka untuk mendapat perhatian dari Azril.
“Ayah lang tu nak ngorat ibu lang lah tu. Main-main mata pula.” Tambah Ayush pula.
“Biarlah. Ayah lang kan suami ibu lang. Biarlah ayah lang nak ngorat ibu lang. Nak cium ibu lang. Jealous lah tu.” Bidas Aisyah membela kami.
“Kan, Aisyah.” Balas Azril menyokong kata-kata Aisyah.
“Jealous lah tu.” Kata Damia yang sudah berdiri dan berjalan menghampiri Azril. Dengan lentok dan manja, dia memeluk leher Azril dan menjatuhkan tubuhnya.
“Apahal yang mengeletis sangat ni?” Marahku sambil cubit peha Damia.
“Ibu lang jealous lah tu. Kan, ayah lang?” Dengan meliuk lentok dia mengataku.
Azril hanya ketawa.
“Bagilah change dekat Damia nak manja dengan ayah lang. Nanti dah besar dah tak boleh.” Masih dengan lenggok manjanya.
Menyirap darah aku tapi hanya mampu mengalihkan pandangan ke arah lain terutama bila Azril hanya ketawa. Aku tahu yang Damia cuma kanak-kanak yang mengekspresikan perasaannya. Lagipun, memang itulah Damia. Sentiasa manja terlebih. Anak tunggal.
“Janganlah marah, ibu lang. Nak buat macam mana. Ayah lang ni handsome sangat. Tapi Damia tetap paling sayangkan ibu lang.” Kata Damia yang sudah melentok manja memeluk leherku.
Aku cuba untuk menanggalkan tangannya di leherku tapi dia makin menguatkan pelukannya dan terus mencium bibirku.
“Ayah lang kata apa? Bibir tempat khas.” Marah Azril. Berubah wajahnya kemerahan.
Aku ketawa.
“Jealous.” Ejekku pula.

Dan tak semena budak lelaki memeluk Azril dan yang perempuan memelukku. Kami ketawa tanpa sebab yang nyata. Yang pasti hati kami gembira. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan