SUBSCRIBE

Ahad, September 03, 2017

EHPW 15 : NITA

Aku duduk disebelah Azril selepas siap mengemas meja makan. Saja merehatkan diri sebelum minta diri memandangkan Azril akan terbang ke Melborne esok pagi.
Aku senyum.
‘Kalau tak sebab dengar nenda bertanya, pasti aku tak tahu ke mana hala dia esok.’ Entah kenapa aku tak pernah ada niat nak tanya. Mungkin sebab aku tak nak tahu. Atau mungkin aku tak suka nak mengongkong. Yang pasti, kerja dia tak ada kena mengena dengan aku.
“Berapa tahun dah kamu kahwin, Azril?” Tanya nenda sambil memandang tepat ke arah Azril dan aku.
Aku tarik nafas. Ya, aku mula bosan. Aku tahu isu apa yang akan diperkatakan selepas ini. Lepas Mak Anjang Midah, kini nenda pula membuka mukadimah yang sama. Bosan. Tapi tetap kena hadap. Aku bukan ada kuasa untuk menutup mulut mereka.
“Tiga tahun, nenda.” Jawab Azril lembut.
“Ambillah anak angkat. Selalunya berkat menjaga anak angkat ni, pasangan selalunya akan mengandung. Cubalah.” Cadang Nenda.
“Kami ada 5 orang anak, nenda. Mawar, Damia, Aisyah, Ayush dan Zil” Balas Azril.
Aku angguk dan senyum.
Aku suka bila anak-anak yang aku anggap seperti anakku sejak sebelum kahwin lagi, dianggap anak oleh si suami. Walaupun aku dapat rasa apa yang dia rasa melalui tindakannya, tapi bila dia sendiri menyatakan tentang hal itu, buat aku rasa lebih gembira.
“Maksud nenda ambil anak angkat yang baru lahir. Anak dari hubungan yang halal. Dari keluarga yang baik-baik. Anak itu diserahkan kalau boleh, biarlah sebab ibu bapanya tiada dan keluarga ibu bapanya tak mampu nak menyara. Lepas dah sah menjadi anak angkat kamu, Nita boleh makan ubat untuk breast feed anak tu. Jadi anak susuan kamu. Dah serupa anak kamu. Nenda bukan apa. Fikirkan nanti bila kamu dah tua. Siapa nak jaga?” Saran nenda.
“Saya jaga Nita, Nita jaga saya.” Balas Azril sambil tersenyum.
“Kalau panjang umur dan panjang jodoh. Buatnya…”
“Insya Allah, jodoh kami panjang” Potong Azril.
Dia memang seorang yang sangat sensitif dengan kata-kata negatif. Kepantangannya. Walau siapa pun orang itu. Baik nenda, bonda, ayah dan mama. Pasti dia akan potong sebelum kata-kata tidak enak keluar dari mulut mereka. Yang selalu kena, mama sewaktu diawal perkahwinan kami dulu. Kini, mama sendiri berhati-hati dalam pemilihan kata bila satu-satu isu itu diperkatakan. Bukan saja dihadapan Azril, dengan sesiapa pun, mama akan pastikan yang baik-baik saja keluar dari mulutnya. Padaku, itu suatu perubahan yang baik.
“Nenda ingatkan saja. Ajal, jodoh ni bukan kita tahu.” Kata nenda berjauh hati.
“Rezeki kita pun dah ditentukan. Andai ada rezeki anak, alhamdulillah. Andai tiada pun, alhamdulillah. Kami redha. Pasti itu yang terbaik buat kami. Lagipun, apa tujuan hidup kita? Mencari redha Allah, kan, nenda? Dan perkahwinan adalah jalan pintas untuk mendapatkan redha-Nya. Anak pula sebagai penyambung kepada generasi akan datang. Tak menjanjikan redha. Allah bagi apa yang terbaik untuk hamba-Nya, nenda. Mungkin bukan sekarang. Mungkin nanti. Semuanya bersebab. Nenda doakan saja yang terbaik untuk kami.” Balas Azril panjang lebar. Nadanya tenang tapi tegas.
Aku tahu dia marah. Itu caranya meluahkan rasa marah. Selama aku kenal Azril, aku belum pernah melihatnya mengamuk mahupun menengking sesiapa. Padaku, dia seorang yang sangat penyabar. Marah. Tapi diluahkan dengan bebelan.
Ya. Suami aku memang nampak seperti seorang lelaki pendiam. Itu sebab kau tak kenal dia. Hanya orang-orang terpilih saja akan tahu perangainya yang kuat membebel. Aku tak kisah dia nak membebel. Sebab aku rasa bebelannya itu adalah halwa telinga paling sedap. Mungkin nadanya yang tenang. Dan mungkin juga pemilihan kata yang tepat. Pendek kata, aku suka.
“Kalau macam tu, kahwin lain. Nita tak kisah, kan? Lagipun, Nita pun faham keadaan sekarang ni. Nenda bukan tuduk Nita mandul. Cuma ikhtiar. Keluarga ni, dahlah kecil. Kalau kamu tak ada anak, mati sampai sini sajalah keturunan Raja Khaidir dan Tengku Qaseh.” Balas nenda sambil menyebut nama moyangnya.
Aku yang melongo. Rasa mahu pitam. Inilah masalah keluarga orang kaya-kaya. Asyik fikirkan keturunan. Keturnan, keturunan, keturunan. Jelik aku mendengarnya.
“Ayah, nenda suruh kahwin lain. Nanti kalau ayah ada anak, bagi kat Azril.” Kata Azril tanpa sempat aku membalas kata-kata nenda yang keterlaluan padaku.
Aku pandang ayah dan bonda yang duduk dihadapan kami. Sedikit pun tak berkutik melihat pertelagahan anak dan mak mereka. Mungkin mereka percaya, Azril boleh mengawal keadaan. Atau mungkin mereka yakin, Azril tahu bagaimana mahu mengatasi nendanya.
 “Kenapa kamu babitkan ayah kamu dalam topik kita, Azril? Tak kesian pada bonda kamukah kalau ayah kamu kahwin lain? Lagipun, ayah kamu tak ada kena mengena dengan keturunan keluarga nenda.” Suara nenda mengeletar menahan marah.
“Nenda suruh Azril kasiankan bonda. Kenapa tidakpada Nita. Dia juga perempuan? Nenda juga perempuan. Kenapa tak boleh faham hati dan perasaan Nita? Nenda, kalau pun Nita benarkan, Azril tak mahu dan tak sanggup. Cinta Azril hanya untuk Nita. Tak mungkin untuk perempuan lain.” Tenang saja Azril membalas. Meluahkan kata cintanya kepadaku dihadapan nenda. Dengan berani tanpa sedikit pun rasa malu.
Nenda bangun dan berlalu naik ke biliknya.
Azril menggenggam jari jemariku dengan erat. Dia memandangku tepat ke mata.
“Ehem. Bonda dan ayah naik dululah. Kalau kamu nak balik nanti, kunci pintu. Gatal pula mata ni tengok kamu berdua.” Usik bonda dan terus menarik ayah berlalu.
Bonda dan ayah ketawakan kami. Azril turut sama ketawa.

Mukaku kemerahan menahan malu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan