SUBSCRIBE

Isnin, September 04, 2017

EHPW 16 : NITA

Aku melipat surat perletakan jawatanku dan memasukkan ke dalam sampul surat dengan kemas. Aku sudah maklumkan kepada Encik Bahar mengenai perkara ini sebulan yang lepas. Cuma hari ini baru aku berani taip dan cetak. Hari Isnin nanti, akan aku serahkan surat ini kepadanya.
Tak mudah untuk aku melepaskan Maris Sdn Bhd. Di sini aku bermula mencipta kerjayaku. Dan di sini juga aku bina diri aku. Melalui pahit getir dunia pekerjaan. Dan hanya di sini aku berkawan.
Tapi, aku perlu fikirkan juga keluargaku. Mungkin benar kata Mak Anjang Midah, aku terlalu stress. Dengan kerja aku dan kerja Azril yang tak tentu masa. Benar juga kata Mak Anjang Midah, kami kurang melakukan hubungan intim suami isteri. Walaupun teori itu tidak logik, namun, aku ambil juga sebagai pertimbangan untuk berhenti kerja.
Tok. Tok. Tok.
Wajah Kelly atau nama sebenarnya Khalida menyapa mataku bila pintu bilik pejabatku dibuka. Dia senyum. Kelat.
“Nita, buat apa? Nak bersembang sikit dengan kau boleh?” Tanya Kelly.
“Kau tak ada kerja ke? Mengular?” Usikku.
“Kau dah kenapa? Hari ni hari Sabtu. Half day. Ini dah pukul 2. Kau ingat aku gila kerja macam kau ke? Sampai jam pukul berapa pun tak sedar. Orang lain semua dah balik. Kau saja yang masih sibuk buat kerja. Azril tak adalah tu.” Balas Kelly. Mencebik.
Aku ketawa.
“Kau nak sembang, kan? Jom lepak kat kedai bawah. Terasa haus pula tekak aku ni. Dapat pula orang belanja apple juice. Makan pula dengan pau daging. Sedap ni.” Kataku.
“Sini saja, Nita. Hal ni terlalu personal.” Balas Kelly. Suaranya kendur. Senyumnya kelat. Langsung tidak terusik dengan gurauanku.
“Kenapa? Kau mengandung ke?” Usikku lagi.
Kelly angguk.
Aku melopong.
“Serius lah, weh? Aku main-main saja tadi.” Tanyaku meminta kepastian.
“Nampak macam aku main-main ke?” Balas Kelly. Suaranya sikit tinggi.
Aku geleng.
“Aduh! Kan aku dah cakap dengan kau. Jangan nak serah diri. Sekarang ni, macam mana? Kau nak buat apa? Ha? Cuba kau cakap? Macam mana nak buat sekarang ni? Masa kau buat tu, kau tak fikir ke?” Marahku.
Aku memang tak suka teman lelaki Kelly, Nazmi. Depan Kelly dia boleh pandang perempuan lain dengan bernafsu. Dan depan umum, dia boleh peluk pinggan Kelly tanpa segan dan memegang peha Kelly tanpa malu gaya seperti pasangan suami isteri.
Kalau Azril, marah betul. Dan kerana itu, Azril tak benarkan aku keluar dengan Kelly jika Nazmi turut serta. Arahan mandatori.
“Bukan aku nak. Keadaan masa tu kategori aku dirogol.” Balas Kelly.
Aku pandangnya. Tepat. Langsung tak percaya.
“Aku tahu, kau tak percaya. Tapi percaya pada aku, Nita. Aku dalam keadaan terpaksa. Dia ugut nak tinggalkan aku seorang dekat atas bukit tu. Jalan tu dahlah tak ada orang. Sejam kami duduk di situ, aku rasa, tak sampai lima buah kereta yang lalu. Kawasan tu sunyi sangat. Aku pun tak tahu aku ada dimana masa tu.” Cerita Kelly. Dia tunduk. Mukanya keruh.
Aku tahu satu perkara dalam hubungan Kelly dan Nazmi, mereka selalu buat adegan ringan. Berciuman mulut itu bukan perkara asing dalam hubungan mereka. Aku pernah nampak dan Kelly sendiri akui. Kerana itu, aku selalu pesan kepada Kelly agar tidak sehingga zina.
Namun, aku silap. Sepatutnya aku buat Kelly dan Nazmi putus. Aku lupa ayat Allah, ‘jangan menghampiri zina’. Walaupun kata Kelly, tidak sampai berzina, tapi berpacaran dan berciuman itu sudah menghampiri zina.
Aku mula menyalahkan diri sendiri. Konon nak berfikiran terbuka. Menghalalkan ‘bercinta sebelum kahwin’. Sekarang ni? Macam mana? Bercinta sebelum kahwin? Huh! Sekarang ni, dah jadi kahwin sebelum nikah. Macam mana, Nita? Masih lagi nak halalkan berpacaran? Masih lagi nak lupakan cabang zina? Bukankah bercinta sebelum kahwin itu berkait dengan cabang zina?
Zina hati bila rindu. Zina mata bila bertentangan. Zina kaki bila melangkah untuk berjumpa. Zina mulut bila bercakap dengan nada yang menggoda. Zina tangan bila bersentuhan. Zina telinga bila mendengar kata-kata yang mengasyikkan dari pasangan. Dan semua ini akan menjurus kepada perbuatan zina kemaluan.
Aku lupa, nabi pernah bersabda, zina mata adalah melihat, zina lisan adalah berbicara, zina hati itu berangan-angan beserta dengan nafsu dan zina kemaluan itu adalah perlakuan zina itu sendiri.
Dan kerana hadis itulah, aku katakan kepada abah, aku tak mahu lelaki yang melamar aku untuk dijadikan teman wanita. Dan kerana itu, aku hormatkan Azril. Kerana padaku, dia seorang lelaki yang tahu menghormati seorang perempuan. Dia tahu bagaimana cara menobatkan dan memertabatkan maruah seorang perempuan.  
“Aku ingat pesan kau, Nita. Jangan percaya pada semua ugutan dia. Tapi kau tahu, Nazri. Dia ugut bukan sekadar mengugut. Dia tolak aku keluar kereta. Dia pergi betul-betul. Aku kejar dia, Nita. Aku terpaksa serahkan diri aku kepada dia. Lagipun, dia janji kalau aku mengandung, dia akan kahwin dengan aku.” Suara Kelly keruh. Menangis.
“Sekurang-kurangnya aku tahu siapa yang mengandungkan aku. Kan, Nita? Kan? Aku tahu anak ni anak siapa. Kan, Nita?” Sambungnya.
Aku tarik nafas. Dalam. Dan menghelakannya kasar.
“Mana kau dapat idea tu?” Tanyaku.
“Nazmi.” Jawab Kelly.
Sekali lagi aku menghelakan nafas. Hampa.
“Sekali tu saja ke?” Tanyaku.
Kelly geleng.
Aku senyum kelat.
Dah ada kajian dibuat. Perempuan mudah ketagih pada hubungan intim. Dan perempuan juga mudah trauma. Semuanya bergantung pada nikmat pada hubungan yang pertama. Sekiranya ianya menyakitkan, maka akan jadi trauma. Jika sebaliknya, maka boleh jadi ketagihan. Kerana itu, dalam Islam, wajib untuk suami memenuhi keperluan batin si isteri.
Allah Maha Mengetahui.
“Doktor dah comfirm kan?” Tanyaku.
Dia geleng.
“Dahlah. Jom. Kita pergi klinik. Comfirm kan kandungan kau.” Kataku. Tanpa nada.

Aku tahu, marah pun tak guna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan