SUBSCRIBE

Selasa, September 05, 2017

EHPW 17 : NITA

“Dah tak ada talian hayat ke, Nita?” Tanya Shah sebaik saja aku keluar dari bilik Encik Bahar.
Aku hanya senyum.
Tak mungkin aku tarik semula surat perletakan jawatanku. Tidak. Lagi aku tangguh, lagi susah untuk aku tinggalkan Maris Sdn Bhd. Kerana di sini tempat aku bangkit. Membina kerjaya dan jati diri. Di sini segalanya bermula. Dan hanya di sini, aku ada kawan yang rapat denganku.
Kerana itu, aku bulatkan keputusan pagi tadi dan terus menghantar notis perletakan jawatan 24 jam. Walaupun melukakan hati Encik Bahar, tapi ini adalah keputusan paling tepat. Untuk diriku dan Azril. Sekaligus, keharmonian keluarga kami.
Lagipun, aku bertangguh dari meletakkan jawatan sudah hampir 5 bulan. Semua sebab Kelly yang mengandung. Apabila kandungannya keguguran, aku tak punya sebab lagi untuk menangguhkan perletakan jawatanku kecuali kerana aku sayangkan syarikat dan pekerja Maris Sdn Bhd.
“Lepak lah. Nanti bila-bila, aku datang lepak dengan korang. Bukan tak boleh jumpa lagi lepas ni.” Pujukku.
Pekerja disini tak ramai. Ada 15 orang termasuk aku, Encik Bahar, Shah dan Izam. Dengan jumlah yang sedikit dan selalu melakukan aktiviti makan bersama, maka kami jadi rapat. Lagipun, pekerja di sini adalah yang pertama untuk jawatan mereka. Aku dikira orang pertama yang meletakkan jawatan. Tak ada sesiapa pun sebelum ini dibuang atau berhenti kerja.
“Mana nak sama Nita antara luar pejabat dan waktu pejabat. Ada dan tiada. Selalu dan kadang-kadang.” Kata Datul, kerani operasi eksport.
“Korang ni macam tak nak tengok aku bahagia je. Biarlah aku duduk rumah. Kot lepas tu aku boleh bagi korang anak buah ramai-ramai. Bila raya beratur minta duit raya.” Selorohku.
Semua pekerja di pejabat ini tahu masalah aku. Dan mereka yang selalu akan mempertahankan aku bila ada manusia yang bertanya atau memerli soal anak. Malahan, mereka lebih emosi dari aku.
“Korang kawan aku selamanya.” Kataku.
Aku merapati pekerja perempuan dan memeluk mereka beramai-ramai.
“Nanti kalau kami ada masalah, kat siapa lagi kami nak mengadu?” Kata Kelly.
“Korang bukan tak tahu rumah aku. Datang saja. Atau kalau korang nak jumpa dekat mana-mana pun, aku sudi pergi. Insya Allah.” Janjiku.
“Lepas ni dah tak adalah yang nak back up korang.” Ujar Izam.
Aku senyum.
“Korang, aku pergi dulu. Aku tinggalkan kerja saja. Bukan tinggalkan korang. So, tak payah nak beria nak sedih ke apa. Macam tak boleh jumpa lagi pula lepas ni.” Kataku.
Aku ambil beg yang berisi barang peribadiku dan melangkah ke pintu. Belum sempat tombol pintu aku buka, Encik Bahar memanggilku. Aku menoleh.
“Kalau aku perlukan bantuan kepakaran kau, kau sudi tolong tak?” Tanya Encik Bahar.
“Wajiblah sudi.”Balasku.
Dia angguk dengan senyuman puas hati.
Aku membalasnya dengan ketawa halus sambil mengeleng kepala. Aku gembira bila melihat senyuman Encik Bahar. Berbeza dengan senyumannya sewaktu aku keluar dari biliknya tadi.
Alhamdulillah.

Bismillahirrahmanirrahim untuk permulaan hidup baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan