SUBSCRIBE

Khamis, September 07, 2017

EHPW 19 : NITA

Ting tong!
Aku menamatkan ayat surah Ibrahim ayat 10 sebelum memandang Azril. Bertanya-tanya, siapa yang datang waktu malam begini? Jam didinding kami pandang. Pukul 8.36 malam. Tak lama lagi, waktu Isyak akan masuk.
“Habiskan baca muka surat ni. Hubby pergi buka pintu.” Katanya seraya bangun.
Aku meneruskan bacaanku sehingga habis muka surat tersebut. Kali ini giliran aku untuk membaca dan akan disemak oleh Azril. Sekiranya dia tiada, maka aku akan baca sendirian. Dan giliran ini akan diulang antara aku dan dia.
Aku memandang Azril yang sedang tersenyum berdiri disebelahku. Al-Quran aku tutup dan dia duduk disebelahku. Doa selepas membaca Al-Quran dibacanya.
“Aamin.”
Dan Azril terus mencium dahiku.
“Ala... Habis batal wuduk. Tengok jam. Dah nak masuk waktu Isyak dah.” Marahku.
“Tahu. Tu saja nak batalkan. Kawan wifey kat bawah.” Katanya sambil tersenyum manis.
Aku bangun dan menanggalkan telekung. Sementa, azan Isyak berkumandang dari telefon bimbitku dan Azril. Aku berjalan ke bilik mandi untuk mengambil wuduk.
“Wife. Antara menunaikan solat sunat Rawatib dan menyambut tetamu, dikatakan lebih baik menyambut tetamu dan memuliakannya. Air sudah saya hidang tapi makannya belum lagi. Jom pergi layan tetamu. Nanti dia dah balik baru kita dirikan solat. Atau kalau dia nak berjemaah dengan kita, silakanlah.” Tazkirah Isyak dah Azril buka.
Aku pandangnya sebelum mengalihkan langkah ke tangga. Aku terus ke ruang tamu. Aku berhenti seketika bila melihat Kelly yang sedang duduk di sofa sambil menyilangkan kakinya. Menampakkan pehanya. Aku geleng kepala dan terus merapatinya.
“Berbuih mulut pesan. Pakaian tu jaga. Sekurang-kurangnya, hormatkan lelaki macam suami aku yang menjaga pandangan.” Kataku kepada Kelly sambil menyulam tangan kami.
Aku duduk di hujung sofa tiga tempat duduk yang menghadap televisyen dekat dengan sofa satu tempat duduk yang diduduki Kelly. Lapik meja yang baru aku letak semalam, aku ambil dan berikan kepadanya. Patutlah semalam tergerak hati nak letak lapik meja. Padahal selalu togel saja meja ni.
Allah pelihara aku dari memadang aurat muslimat lain.
“Aku pergi jumpa supplier dengan Shah tadi. Tak sempat nak tukar. Nanti lambat pula sampai rumah kau ni. Tak pasal kena halau.” Kata Kelly tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Shah tak bising pula?” Tanyaku.
“Mahunya. Aku rasa macam nak balik naik teksi. Mujur dekat. Kalau jauh, memang aku balik naik teksi. Membebel saja.” Jawab Kelly.
“Padan muka kau. Kau nak makan apa-apa tak? Tapi tak ada apa pun dekat dapur tu. Kalau kau lapar, aku masak apa-apa yang boleh dimakan.” Kataku.
“Tak payah. Aku dah makan tadi.” Tolak Kelly.
“Okey. Kau datang ni, kenapa?” Tanyaku tanpa nanti.
Aku pelik dia datang ke rumah aku tanpa memberitahu dulu. Dan lagi pelik, waktu malam. Lepas kerja. macam tak ada masa lain nak datang. Walhal esok Sabtu. Boleh saja dia singgah selepas kerja.
Dan bertambah pelik bila melihat kerutan dan perubahan pada riak wajahnya. Macam perkara berat. Sangat berat.
“Aku mengandung lagi.” Kata Kelly. Perlahan.
“Apa dia?” Suaraku sudah sedikit meninggi. Aku turut berdiri. Aku terkejut. Sangat terkejut dengan berita yang disampaikannya.
“Kami dah pakai protection. Aku pun makan ubat cegah kehamilan tapi still aku pregnant.” Kata Kelly. Laju. Penuh dengan rasa bersalah.
“Anak siapa?”
“Nazmi.”
Aku tarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Cuba untuk bertenang. Cuba untuk berfikir secara rasional. Marah pun tak ada guna.
“Kau lupa ke yang dia tak nak nikah dengan kau? Dia tak nak kau. Kau lupa dia kata kau apa masa kau suruh dia bertanggungjawab dulu? Dia kata kau perempuan kotor. Dia kata kau tak layak jadi isteri dia. Kau lupa ke semua tu?” Tanyaku. Sedikit merintih tapi penuh dengan rasa kesal. Kesal kerana Kelly tidak mengambil pengajaran dari episod lepas.
Selepas keguguran sewaktu usia kandungannya 4 bulan, aku yang temankan Kelly untuk berjumpa Nazmi. Ada sekali Azril turut serta. Dan tika itu, Nazmi katakan kepada Azril.
“Kalau aku nak cari isteri, aku cari macam isteri kau. Seorang perempuan yang terhormat. Yang menjaga kehormatan diri. Bukan perempuan yang mudah menyerah. Perempuan macam tu, tak ubah macam pelacur.”
Saat itu, aku biarkan Azril menumbuk muka Nazmi. Berkali-kali.
“Aku tak kisah apa pun yang dia cakap. Dari aku jadi pelacur, biarlah aku jadi perempuan tak ada maruah. Menagih cinta. Aku tak boleh hidup tanpa Nazmi, Nita. Dia segalanya untuk aku. Dia tu baik orangnya. Cuma dia tak nak nikah dengan aku saja. Aku tak kisah. Asalkan aku dapat bersama dengannya.” Kata Kelly.
Aku kerut dahi.
“Cinta ke nafsu?” Tanyaku.
“Nita, kau sendiri tahu. Cinta itu nafsu. Dan kau pun tahu, nikmatnya hubungan tu. Aku tak boleh nak elak. Aku dah cuba untuk elak tapi aku tak mampu. Dari aku cari lelaki lain atau bertukar-tukar lelaki, baik aku terus pergi pada Nazmi. Tak kisahlah apa pun tanggapan dia. janji aku puas!” Kata Kelly.
Dan kata-kata itu aku balas dengan pelempang.
“Nita!” Jerit Kelly.
“Apa? Kau marah? Kau tak fikir aku marah? Cakap macam orang tak ada iman! Kau letak Allah dekat mana?” Suara aku tinggi.
“Wifey?” Azril datang mendekatiku. Dari nafasnya, aku tahu dia berlari turun selepas mendengar Kelly menjerit.
“Kelly, buat macam rumah sendiri. Saya ambil Nita kejap.” Kata Azril dan segera menarik aku naik ke atas.
Dia menolak aku lembut supaya duduk di atas katil. Dia menlutut sambil memegang tanganku.
“Kenapa ni?” Tanya Azril. Lembut sambil mengangkat mukaku agar mata kami dapat bertemu.
Aku tak menjawab. Aku peluknya dan menangis dibahunya. Hatiku sayu. Aku rasa aku kawan yang gagal. Gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang kawan. Aku punya ilmu. Aku punya asas agama yang kukuh. Seharusnya, aku bimbing Kelly.
Kelly bukan macam aku dan Azril. Dia hidup sendiri dari usianya 13 tahun. Mak ayahnya meninggal dunia sewaktu usianya 12 tahun. Kemudian, Encik Bahar yang belanya. Itu pun, dia sudah duduk di asrama sewaktu ditingkatan 1 dan bila tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) dia terus hidup menyewa sambil bekerja. Sejak itu, dia yang menyara hidupnya sendiri. Langsung tidak mengharapkan ehsan Encik Bahar.
Kehidupan yang bebas. Dengan pergaulan tanpa batasan. Tak ada sesiapa nak menegur. Dan tak ada siapa nak melarang. Kelly bebas lakukan apa saja yang dia suka. Langsung tak fikir tentang dosa dan pahala. Keseronokan menjadikan dia lupa mati. Lupa Allah.
“Dah?” Tanya Azril bila tangisku makin berkurangan.
Aku angguk dan melepaskan pelukan kami.
“Marah lagi?” Tanyanya.
Aku angguk.
“Wifey, Kelly datang jumpa wife sebab dia percayakan wife. Kalau wife marah dia, siapa lagi yang dia ada untuk percayakan dia? Takkan wife nak tengok dia buat lebih banyak dosa? Sebagai kawan, sahabat dan orang yang Kelly percaya, wifey kena jadi seorang pendengar yang baik. Bimbing dan bawa dia ke jalan yang betul.” Lembut saja Azril memberi nasihat.
Aku angguk.
Dia bangun. Dia tarik aku untuk bangun. Tubuhku dipeluk.
“Sabar itu indah. Dan sabar itu tiada batasan.” Pesannya. Dahiku dikucup lembut.
Aku angguk.
Dia lepaskan pelukan kami dan menarik tanganku untuk turun ke bawah. Dia dudukkan aku ke sofa dan dia berjalan duduk di meja kerja yang baru aku beli beberapa hari lepas. Meja yang hanya berjarak beberapa langkah dari lorong, ruang tamu dan ruang makan.
Aku lihat Kelly sedang mendongak memandang ke arah gambar aku dan Azril yang tergantung. Berdiri sambil meneliti setiap gambar di situ dengan penuh tekun. Tangannya yang menyilang tubuh, buat dia nampak seperti sedang menganalisa gambar tersebut.
“Kau beruntung, Nita. Lelaki yang kau sayang seorang yang sangat supportive. Azril benar-benar sayangkan kau. Cintakan kau. Aku tak senasib dengan kau. Kalau aku diberi pilihan, aku nak kehidupan yang normal. Ada suami, anak dan keluarga. Tapi aku ditakdirkan berjumpa dengan seorang lelaki yang bertuhankan nafsu. Dan dia mengheret aku sama untuk menjadi sepertinya. Azril berbeza dengan Nazmi. Kau tahu, Nita? Nazmi tu dari keluarga yang baik-baik. Bapa dia seorang usahawan. Mak dia, ustazah. Kalau kau tahu background dia, kau pun akan yakin yang dia akan bimbing kau. Tapi aku silap langkah. Aku serahkan hati aku sepenuhnya kepada Nazmi. Aku serahkan segalanya untuk dia sebagai bukti aku mencintainya. Apa aku boleh buat, Nita? Aku pun tak mampu kehilangan dia. Bukan sebab cinta lagi sekarang ni, Nita. Tapi sebab nafsu aku.” Kata Kelly.
Aku bangun dan mendekatinya. Aku berdiri didepannya dan memeluknya.
Dia menangis teresak-esak di dalam pelukanku. Aku lihat Azril yang memandang ke arah tingkap. Wajahnya juga keruh. Tersentuh mungkin dengan apa yang Kelly katakan.
“Aku bukan mahukan seorang suami yang tinggi agamanya. Cukup sekadar dia boleh bimbing aku. Itu saja aku minta. Sebab itu, aku terima Nazmi dulu. Walaupun aku tahu, dia tidak warak seperti mak bapa dia. Tapi aku yakin, dia ada asas agama dan itu sudah cukup. Mana aku nak tahu Nita, aku salah memilih? Masa kami lakukan hubungan terlarang tu, bukan aku lupa Allah. Tidak. Aku ingat. Tapi nafsu aku, Nita. Nafsu aku. Aku berkali-kali ajak dia nikah. Tapi dia kata, buat apa? Kalau sebelum nikah, kami dah kahwin. Nikah tu tak ada makna untuk dia.” Sambung Kelly bersulam sedu sedannya.
“Khalida, taubat tu indah tau. Pintu taubat tak pernah Allah tutup selagi nyawanya masih dibadan. Tak kira, dosa besar atau dosa kecil. Allah sentiasa mahu melihat hamba-Nya bertaubat. Kau sebenarnya beruntung. Kau ada aku. Kau ada anak ni. Kau masih ada Allah. Kalau nak ikutkan, aku cemburu dengan kau. Kau dah rasa macam mana jadi seorang wanita sempurna. Mengandung, gugur. Mengandung lagi. Dan Insya Allah, nanti kau akan rasa pula saat melahirkan dan memelihara anak ni. Rezeki aku dapat suami yang baik. Rezeki kau, mudah dapat anak. Aku doa, rezeki kau tambah luas. Dapat suami yang kau idamkan. Aamin.” Pujukku.
“Aamin.” Aku dengar Azril mengaminkan doaku diikuti dengan Kelly.
“Dah lama aku tak dengar orang panggil aku dengan nama sebenar. Mak abah aku saja dalam dunia ni yang panggil nama sebenar aku.” Kata Kelly sambil melepaskan pelukan kami. Air matanya dilap dengan tapak tangannya.
“Aku panggil kau Khalida.” Kataku.
“Saya pun.” Sampuk Azril.
Kelly pandang Azril dan aku silih ganti sebelum mengangguk.
“Aku sayang kau, Nita.” Katanya sambil memelukku semula.
“Erm...”
“Sabarlah Khalida kalau Nita balas macam tu. Dia mana pernah nak mengaku apa yang dia rasa.” Kata Azril.
“Aku tahu.” Balas Khalida.

Aku hanya mampu ketawa. Aku tak tahu macam mana nak balas. Aku malu mahu membalas ucapan sayang itu. Tak kira siapa pun yang ucapkannya. Walaupun suami aku sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan