SUBSCRIBE

Jumaat, September 08, 2017

EHPW 20 : NITA

“Habis tu, Nita, kau duduk kat rumah buat apa?” Tanya Kak Saniah.
“Menternak lemaklah, kak.” Jawabku.
Aku ketawa sama kuat bila Kak Saniah juga ketawa lepas. Tak lama bila sedar yang kami sedang berada di luar dewan dimana satu seminar sedang berjalan di dalamnya. Seminar untuk membina keyakinan diri dan meletakkan Allah ditempat pertama.
Aku sebagai senior mereka di dalam tu, datang untuk membantu melancarkan majlis. Menjadi seorang sukarelawan yang tak berbayar dalam usaha untuk membentuk insan yang lebih cemerlang dunia dan akhirat. Ganjaran yang aku dapat, pahala. Insya Allah.
“Kau nak tak kalau akak offer kau buat kerja marketing untuk akak.” Cadang Kak Saniah.
Aku geleng.
“Suami saya bising nanti, kak. Dah setahun dia dah biasa saya ada dekat rumah bila dia balik. Nanti kalau buat marketing, kena keluar sana sini. Fuh. Jenuh nak dengar tazkirah dia.” Tolakku.
“Bukan suruh kau keluar. Sebenarnya, lebih specific, akak nak minta kau tolong jagakan akaun facebook page akak. Akak dah tak menang tangan dah sekarang ni. Mana nak buat posting. Nak jalankan ads. Nak fikirkan promosi. Nak fikirkan nak kembangkan business. Nak fikir macam-macam lagi. Mujur sekarang ni, bahagian operation, suami akak handle. Itu baru bab business. Tu. Family akak. Mujur tak ada anak. Kalau ada anak? Pengsan akak ni.” Cerita Kak Saniah.
Dia juga seperti aku. Bezanya, dia sudah 12 tahun mendirikan rumahtangga tapi masih juga tak punya anak. Disebabkan tertekan, dia mulakan perniagaannya sekarang. Menjual sandwich. Dari seorang surirumah tangga sepenuh masa, kini seorang usahawan yang sedang meningkat naik.
“Manalah saya tahu guna FB Ads, kak. Saya buka FB pun jarang-jarang.” Balasku.
“Akak ajarlah. Nak tak?” Tanya Kak Saniah. Menggesaku memberikannya jawapan segera.
Aku pun sedang mempertimbangkan tawaran ini. Seronok juga ada sesuatu untuk dilakukan di rumah. Dari melangut saja bila Azril tiada. Baik juga ada kerja.
Tapi nanti Azril mesti tak setuju.
Azril pernah cakap, dia sebenarnya suka sangat bila aku sentiasa ada di rumah. Bila dia balik, dan disambut olehku. Dia terasa dihargai. Dan terasa ada orang yang sangat prihatin akan dirinya. Dia suka keadaan kami sekarang.
“Tapi saya risau suami saya bising. Kalau kadang-kadang budak office call nak tanya pasal kerja pun, dia dah pandang saya semacam. Ini kan pula buat kerja. Mesti dia bising.” Kataku. Suaraku kendur.
“Ala, suami kau balik malam. Siang tu, kau buatlah kerja. Sama macam office hour.” Balas Kak Saniah.
Aku geleng.
“Suami saya balik tak tentu masa.” Balasku pula.
“Suami kau kerja apa?”
“Driver.”
Kak Saniah angguk.
Aku senyum.
Aku jarang memberitahu kawan-kawanku tentang kerja sebenar Azril. Padaku, dia tetap seorang pemandu. Bezanya kenderaan yang dia pandu dan gaji yang dia dapat. Secara teknikalnya, dia pemandu yang membawa penumpang ke destinasi yang ingin mereka tujui.
“Macam ni. Apa kata, kau buat kerja bila suami kau tak ada di rumah. Bila dia ada dirumah, kau layanlah dia.” Cadang Kak Saniah.
“Suami saya kalau ada dekat rumah, lama kak. Kadang-kadang seminggu. Kadang-kadang lebih. Kadang-kadang, kalau dia kena pergi kursus, dia ajak saya sama ikut dia.” Kataku.
“Suami kau driver apa? Siap berkurusus.” Tanya Kak Saniah bersama kerutan didahi.
Aku senyum. Nakal.
“Kapal terbang.”
“Mangkuk kau. Tu pilot. Patutlah tak kisah kau tak kerja. Akak dok fikir. Kerja driver tapi tak bagi isteri kerja. Duduk Damansara. Kos hidup sana tinggi. Rumah sewa pun rasanya mahal. Cukup ke gaji dia? Penat akak fikir tau. Kau ni.” Marah Kak Saniah. Tangannya laju saja memukul lenganku.
Aku ketawa.
“Wah. Seronok korang ketawa. Bila nak siap kerja?” Sergah Cip Hairul.
Aku dan Kak Saniah ketawa.
“Sambil-sambil cip.” Balas Kak Saniah sambil tangan kembali mengambil beberapa keping kertas yang tersusun dihadapan kami untuk dikepilkan bersama.

Aku dan Kak Saniah berpandangan sesama kami. Sekali lagi ketawa terhembur dari bibir kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan