SUBSCRIBE

Sabtu, September 09, 2017

EHPW 21: NITA

Dari selepas sarapan tadi, aku asyik duduk di meja kerjaku. Melakukan rutin harian sejak 4 bulan yang lalu. Azril pula sedang duduk di depanku. Juga menghadap laptopnya. Aku rasa dia sedang mengedit gambar.
Suami aku ni sangat meminati kerja-kerja edit gambar. Bila dia sedang buat kerja tu, jangan kacau. Dekat pun jangan. Nanti dia bising. Katanya mengganggu.
Yang peliknya, dia tak suka ambil gambar dan bergambar. Jarang-jarang dia memegang kamera. Tapi sekiranya naik syeih dia, dia ambil gambar tanpa henti. Gambar-gambar itu digunakan untuk mengedit. Dan gambar paling banyak dalam kamera dan laptopnya adalah aku.
Tak ada kerja.
“Wifey, kita beli tanah nak?” Tanya Azril. Tiba-tiba.
Aku angkat wajahku. Memandangnya.
“Buat apa?” Tanyaku. Hairan.
“Kita buat rumah. Lima bersaudara tu pun dah besar. Aisyah pun dah almost 10 years. How did you expect dorang nak duduk rumah macam ni? Tak ada bilik.” Katanya sambil menunjukkan keadaan rumah kami.
“Lima bersaudara?”
Berkerut dahiku cuba mengingati sesuatu. Seperti ada sesuatu yang aku lupa berkenaan dengan lima bersaudara tu. Bersungguh aku cuba mengingati mereka.
“Ala… habislah wifey kena marah dengan dia orang.” Kataku dan terus berdiri dan menolak kasar kerusi kerjaku.
Aku terus ke tempat gantung baju kecemasan. Aku sarung jubah dan tudung. Aku bergegas ke tempat letak kunci dan mengambil kunci keretaku.
“Kenapa yang kalut sangat ni?” Azril menahan aku dari membuka pintu.
“Wifey janji dengan dia orang nak ambil dorang datang rumah kita pagi ni. Ini dah pukul berapa dah ni.” Balasku dan menolak tangannya.
Aku risau. Aku tak suka bermain dengan janji walaupun dengan budak.
“Kita pergi bersama.” Putusnya dan berlalu ke tempat gantung baju kecemasan.
“Nenda! Bonda!” Terlopong mulutku dan Azril saat buka saja pintu rumah, nenda dan bonda sudah tergegat depan pagar dan bersedia untuk membunyikan loceng.
Aku dan Azril berpandangan sesama kami sebelum bersalaman dengan nenda dan bonda bergilir. Kami keluar tanpa menjemput nenda dan bonda masuk. Kami sudah benar-benar lambat. Aku fikir, seandainya nenda dan bonda mahu bersarapan, kami akan bawa mereka berdua ikut kami sekali.
“Kamu nak kemana ni?” Soal nenda.
“Ambil budak-budak.” Jawabku.
“Nenda nak cakap dengan kamu ni.” Kata nenda.
“Penting!” Tegas nenda.
Aku angguk.
“Nenda dan Bonda masuk dulu. Saya pergi ambil dorang. Sekejap saja.” Kataku.
“Nenda nak cakap dengan kamu, Nita.” Tegas Nenda.
“Okey. Kalau macam tu hubby pergi ambil dia orang.” Kata Azril.
“Kenapa tak boleh tunggu kejap? Bukan lama pun nenda nak cakap ni. Sekejap saja. Tak sampai 10 minit pun.” Marah Nenda.
Aku pandang muka Azril. Dia memandangku semula. Kami sama-sama tahu. Benda yang penting nak cakap tu, memang tak lama. Tapi kesannya selamanya.
“Tak boleh, nenda. Nita dah janji dengan mereka yang Nita nak ambil pagi. Ini dah pukul 10 lebih. Sementara nak sampai sana, dah nak tengahari.” Jawabku. Tegas.
“Budak saja pun. Apa sangat yang dorang tahu.” Kata Nenda. Sinis.
“Melentur buluh, biar dari rebung.” Aku diam sebentar untuk menahan rasa marah.
“Kalau dari kecil tak dididik untuk menepati masa, dah besar nak jadi apa? Bukannya nenda tak boleh tunggu sekejap. Setengah jam. Tak boleh ke nenda tunggu kejap? Nenda yang ...”
Kata-kataku mati di situ bila Azril memelukku dan menarik daguku agar memandangnya. Dengan senyuman yang menjirus api kemarahanku, dia berkata,
“Wifey, pergi ambil dorang. Nenda dan Bonda, hubby uruskan.”
Pelukan dilepaskannya dan terus menarik nenda dan bonda masuk ke dalam rumah. Pintu rumah ditutup dan aku terus ke lif.
Sampai saja di kereta, aku terus menghidupkan enjin. Tanpa menunggu enjin panas seperti selalu, aku terus memandu laju ke rumah mama. Bila saja sampai di lampu isyarat simpang ke rumah mama, aku telefon mama dan minta lima bersaudara tunggu di luar.
Sampai rumah mama, Aisyah, Ayush, Damia dan Mawar sudah menunggu di luar dengan mama. Aku turun dari kereta untuk bersalaman dengan mama.
“Ibu Lang kata pagi. Ini dah tengahari dah ni.” Rungut Aisyah.
“Bisinglah. Nenda dan tok nenda ada di rumah. Cepat sikit masuk. Ibu lang janji setengah jam saja keluar nak ambil korang. Ini dah 13 minit.” Balasku.
“Nita tak singgah, ma. Nenda dan bonda ada rumah. Ada hal penting nak dibincangkan katanya.” Kataku kepada mama sambil tunjuk mencium tangan tua itu sekali lagi.
Mama angguk.
Aku lihat Zil keluar dari rumahnya. Tanpa beg pakaian.
“Zil?”
“Zil kena jaga mama dengan adik. Mama demam. Bapa tak ada. outstation.” Kata Zil.
Aku angguk.
“Anak soleh.” Pujiku.
Zil tersipu-sipu.
“Zil jaga mama elok-elok ya. Kirim salam kat mama. Insya Allah, esok ibu lang hantar dorang, ibu lang datang tengok mama. Sekarang ibu lang nak cepat. Nanti tok nenda bising.” Kataku dan terus masuk ke kereta.
Aku memandu laju. Budak berempat tu langsung tak terkesan dengan kelajuan yang aku pandu. Mereka terus bercerita denganku pelbagai cerita. Aku pun layankan saja. Tak nak fikir apa yang bakal terjadi nanti walaupun hatiku kuat kata, sesuatu dah terjadi dirumah. Hatiku berdebar teruk. Kerana itu, aku perlu bertenang. Caranya? Layankan saja cerita budak berempat ni.
Sebaik saja aku selesai letak keretaku dipetaknya, aku jeling jam di dashboard. Ada lebih kurang seminit dua untuk cukup 30 minit. Segera aku suruh budak berempat keluar dan ke lif.
“Assalamualaikum.”
Kami memberi salam serentak sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Kami segera jalan ke ruang tamu.
“Nenda!” Jerit budak berempat dan terus menerpa kearah Bonda.
Aku lihat bonda sudah melutut. Seorang-seorang mencium dan dicium bonda. Usai itu mereka kearah nenda untuk bersalam pula. Tiada pelukan mahupun ciuman.
Mataku melilau mencari Azril. Sudahlah terasa pelik. Melihat di dapur, dia tiada. Memang pelik bila Azril meninggalkan tetamu.
“Azril kat atas, Nita.” Kata bonda tanpa aku sempat bertanya.
“Kejap ya bonda. Nenda. Nita naik tengok Azril.” Kataku.
Bonda angguk sambil menahan nenda yang ingin membantah.
Aku naik ke atas. Aku lihat Azril duduk di atas katil. Selama empat tahun hidup bersama, inilah kali pertama aku lihat dia dalam keadaan begini. Seorang Azril yang aku lebelkan sebagai tenang dan sabar, jadi tak tentu hala dan serabut.
“Hubby.” Panggilku. Lembut. Aku melutut dihadapannya.
Tanpa sepatah perkataan, dia memelukku. Erat. Lebih erat dari pelukan sebelum dia berpergian meninggalkan aku demi tugas. Pelukan yang seolah-olah tak mahu dilepaskan.
“Sopannya korang melayan tetamu. Macam ni ke nenda didik Azril melayan tetamu? Turun sekarang. Nenda nak bercakap.” Laung nenda.
Aku dapat rasakan perubahan tingkah Azril sebaik saja mendengar suara nenda. Rasa tenang yang hadir ketika dia memelukku tadi berubah menjadi deruman air terjun. Pelukan kami turut dileraikannya. Dia kembali tunjuk memandang lantai.
“Tok nenda ni tak ada adab langsung. Datang rumah orang, buat cara dekat rumah orang.” Kata Mawar.
“Habis tu, yang tinggalkan kita macam ni? Adab ke?” Tanya nenda bersama alunan kemarahan yang bakal meletus.
“Nita turun dulu.” Kataku dan terus berlari turun ke bawah.
“Sabarlah kejap. Nanti ibu lang dan ayah lang turunlah. Belajar bersabar. Tak boleh ke? Sabar.” Balas Mawar.
“Kurang ajar budak ni kan?” Marah nenda.
“Bonda!” Jerit bonda lembut tapi tegas.
Saat aku sampai di ruang tamu, aku nampak Mawar sudah berada didalam pelukan bonda. Aku agak nenda sudah mahu memukul Mawar kerana aku nampak wajah tak puas hati nenda sambil mengenggam jari jemarinya.
Dan aku nampak Ayush, Aisyah dan Damia yang juga turut sama berdiri. Bersedia untuk menyerang nenda bila-bila masa saja.
“Semua naik atas temankan ayah lang. Jangan turun selagi ibu lang tak panggil.” Arahku.
Aku pandang mereka berlalu sambil cuba untuk menenangkan diri. Pertama kali aku rasa rumahku ini jadi kacau bilau. Seorang yang sangat tenang dan sangat sabar seperti Azril boleh jadi serabut sehingga begitu sekali. Apa yang terjadi? Apa yang sudah disampaikan?
“Kenapa Nenda? Budak tu. Apa yang sampai nenda nak marah sangat? Salah ke apa yang dia cakap? Kalau pun salah, tak boleh tegur elok-elok?” Tanyaku.
Aku memang pantang bila gunakan kekerasan untuk menegur. Terutama pada budak-budak. Aku lebih suka gunakan kelembutan dalam menegur. Walaupun aku tak lembut. Marah aku, setakat marah sayang. Tak tinggi suara. Tak menengking. Tak memukul.
“Kurang ajar sangat.” Jawab Nenda tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Dia tegur, Nenda. Tegur. Kalau nenda tak suka. Kalau nenda rasa kurang ajar, ajar dia. Tegur dia. Tak susah pun. Mereka tu senang terima teguran.” Balasku.
Aku menghela nafas panjang sebelum memanggil Mawar untuk turun ke bawah.
“Minta maaf dengan tok nenda.” Arahku kepada Mawar.
“Tapi ...”
Aku pandangnya dengan pandangan tegas. Aku betul-betul maksudkan yang dia kena minta maaf. Lagipun, Azril sentiasa pesan. Minta maaf bukan bermakna kita salah tapi kita tak mahu keadaan menjadi lebih salah.
“Mawar minta maaf, Tok Nenda” Katanya dan terus berlari naik.
“Kurang ajar. Mak bapa tak ajar adab sopan dengan orang tua.” Bebel Nenda.
Aku tarik nafas dalam. Aku benar-benar marah tika ini.
“Ya, nenda. Mak bapa dia tak sempat nak ajar. Mak dia mati lepas habis pantang bersalinkan dia. Dia pula dijaga oleh bapa dia. Sendiri. Itu pun, bapa dia selalu tinggalkan dia dengan mama saya untuk dijaga kalau dia pergi kerja. Kalau nenda nak salahkan perangai Mawar tu, salahkan saya. Saya yang tak pandai didik dia. Bukan mak dia yang dah mati tu. Bukan bapa dia yang sibuk mencari rezeki untuk dia tu. Saya. Sebab saya kahwin awal. Saya keluar dari rumah mama. Jarang-jarang ada masa nak ajar dia. Mungkin sebab tu, Allah tak bagi saya anak lagi. Sebab anak saudara sendiri pun saya tak mampu nak didik. Apatah lagi anak sendiri.” Kataku. Lembut tapi tegas. Banyak perkataan yang aku tekankan agar nenda faham. Aku sedang marah.
“Nita, Bonda. Sudahlah. Duduk dulu. Kita bincang elok-elok.” Bonda meleraikan perbalahan kami. Dia menarik aku dan nenda untuk duduk di kerusi tiga tempat duduk. Duduk dikiri dan kanannya.
“Nenda dah cakap dekat Azril. Dia suka atau tidak. Nenda tetap dengan keputusan Nenda. Azril akan bernikah dengan cucu sepupu Nenda kalau tak dia bukan lagi cucu nenda dan bila nenda mati, dia tak boleh datang. Nenda tak izinkan.” Kata Nenda tanpa memandangku.
Aku pandang bonda saat itu. Bonda diam. Aku senyum sinis.
Begitulah keadaan bonda setiap kali isu anak dibangkitkan nenda. Sedikit pun dia tak berkutik. Diam seribu bahasa. Hanya wajah bersalah dipamerkan. Sama juga dengan ayah. Langsung tak pernah membantah atau menegur nenda.
“Nenda lupa yang Azril Hadi Muhammad Isa sudah punya Isteri?” Tanyaku. Lembut tapi tegas. Aku pandang tepat ke wajah nenda. Melepasi bonda. Aku mahu nenda dengar betul-betul apa yang aku nak kata. Aku nak sampaikan kepada nenda. Aku tak mungkin mengalah dengan apa yang nenda usulkan.
Rumahtangga aku. Biar aku yang putuskan. Aku tak perlu orang lain untuk tentukan kehidupan rumahtanggaku. Dan aku tak perlu nak menurut keputusan sesiapa.
“Dan isterinya itu, saya, Zahiyanita Zainul Arrifin.” Sambungku. Keningku aku naikkan bila nenda memandangku.
Saat aku ingin menyambung kata-kataku, kedengaran gelak ketawa dari atas. Aku batalkan ayatku dan tunjuk ke atas.
“Itu suara keharmonian rumah ini. Gelak ketawa itu biasa di sini. Keadaan kita ni, bukan situasi rumah ini. Kebahagiaan di atas itulah kebahagiaan rumah ini. Rumahtangga saya.” Kataku sambil tersenyum sinis.
“Anak orang. Apa yang bahagia sangat? Sesekali dorang datang tu yang bahagia?” Sinis sakali balasan nenda bersama cemikan.
“Itu sudah cukup untuk saya dan Azril menumpang kasih.” Balasku.
“Tumpang? Sampai bila? Keputusan nenda muktamad. Demi kebaikan Azril, dia kena kahwin lagi satu. Kalau kamu tak suka, boleh minta cerai.” Kata nenda. Tegas.
“Bonda!” Tegur bonda. Jelas dia tak suka.
“Diam!” Marah nenda kepada bonda.
Aku senyum sinis.
“Okey. Kalau itu keputusan muktamad nenda. Nenda dengar keputusan muktamad saya pula. Azril hanya akan berkahwin lain seandainya dia sendiri yang mahu tanpa ada paksaan orang lain. Kalau Azril tak boleh datang tengok jenazah nenda sebagai cucu, dia akan datang menziarahi sebagai saudara seislam.” Tegasku dan terus berlalu naik ke atas.
Hati aku cukup terluka mahu memandang nenda mahupun bonda. Walaupun tidak sampai aku menyimpan dendam tapi aku tak mampu bertahan untuk terus menghadap mereka lagi. Cukup sudah.
Sampai saja di atas, aku peluk Azril. Aku hemburkan air mata dibahunya. Aku sudah tidak peduli dengan budak berempat tu. Biarlah mereka lihat air mataku. Biar mereka lihat, aku juga manusia. Aku juga perempuan. Hati aku juga rapuh.

Aku bukan manusia tanpa perasaan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan