SUBSCRIBE

Ahad, September 10, 2017

EHPW 22 : NITA

“Zahiyanita, bangun. Kita dah lajak subuh dah ni.” Kejut Azril.
Aku buka mata. Perlahan. Hari sudah siang.
“Pukul berapa ni?” Tanyaku.
“Pukul 8. Cepat bangun.” Katanya.
Aku segera bangun dan terus ke bilik air untuk mengosok gigi serta berwuduk. Cukup dulu buat sementara kerana mahu kejarkan solat Subuh yang sudah terlewat. Gara-gara tertidur selepas solat malam tadi.
Sewaktu aku keluar bilik air, Azril sudah selesai menunaikan Solat Subuh. Dia suruh aku cepat supaya boleh buat solat Dhuha berjemaah.
“Wifey masak American breakfast hari ni. Teringin pula.” Pintanya sebaik saja aku bersalaman dengannya.
Aku angguk dan bangun sambil mengambil sejadah yang aku gunakan. Aku ke tempat meletak alatan solat sambil melipat telekung dan sejadah yang aku gunakan. Kemudian, aku terus ke dapur untuk menyediakan sarapan kami pagi ini.
Sedang aku menggoreng kentang, aku dengar bunyi tapak kaki menghampiriku. Azril memelukku dari belakang. Dagunya diletakkan dibahuku. Tapak tangannya diletakkan diperutku sambil dia menyebut Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Khaliq, Al-Bar, Al-Musawwir, Al-Wahab dan Ar-Razaq.
Amalan ini dia akan lakukan setiap hari jika dia ada dirumah. Katanya,
“Kita minta pada Allah. Ikhtiar agar Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menciptakan dan mengadakan anak untuk kita. Bukankah Allah itu Maha Memberi dan Maha Pemberi Rezeki. Jadi, kita puji-puji nama Allah dengan doa supaya Allah makbulkan doa kita.”
Amalan ini sudah dilakukan sejak kami mula berpindah di rumah ini. Sebelum isu anak menjadi isu terhangat dalam rumahtangga kami lagi.
“Nanti kita pergi rumah Khalida. Lama tak tengok anak susuan kita tu.” Katanya lembut ditelingaku.
Aku angguk.
Sejak malam Khalida datang memberitahu tentang kehamilannya, dia berhenti kerja. Mulanya, dia duduk dirumahku untuk memudahkan aku dan Azril membimbingnya supaya menjadi seorang muslimah dalam erti kata sebenar. Namun, bila mama tahu, mama suruh Khalida ke rumahnya. Katanya tak elok Khalida duduk dirumahku kerana Azril. Tak manis dan tak sopan.
Pada usia kandungan Khalida, Azril dan Khalida mendesakku untuk mengambil pil hormon dan mengikuti program untuk membolehkan aku memberikan susuku kepada anak Khalida nanti. Atas desakan dan permintaan dari Azril dan Khalida, aku mengambil pil hormon sewaktu usia kandungan Khalida 7 bulan, untuk membolehkan aku menyusukan anaknya nanti.
Sewaktu dalam pantang, Khalida dijaga oleh mama dan dibantu oleh seorang bidan yang diupah oleh Azril. Bidan Jah tinggal bersama mama selama 40 hari bagi memastikan Khalida dijaga dengan baik. Dan dalam tempoh berpantang itu, aku turut duduk dirumah mama. Bergilir dengan Khalida untuk menyusukan Umar Khalif kerana susuku sudah melimpah.
Kini, Umar Khalif sudah berumur 9 bulan. Dan Khalida pun sudah 3 bulan menikah dengan Alif, seorang pemuda yang baik budi bicaranya dan mencintai Khalida seadanya. Namun, tak ada sesiapa pun tahu yang Umar Khalif adalah anak tidak sah taraf. Pada pandangan ramai, Khalida ditinggalkan suami sewaktu sedang mengandungkan Umar Khalif.
Tak perlu nak membuka aib.
“Ini kenapa tak nak bercakap ni?” Tanya Azril sekaligus membawa aku kembali ke keadaan kami yang sedang berpelukan.
Aku angkat bahu seraya bergerak ke singki untuk mengambil penapis. Sekaligus, meleraikan pelukan kami. Usai mengangkat kentang goreng dan menggaulkannya dengan lada hitam, aku meletakkan kentang goreng itu ke dalam pinggan yang sudah siap roti bakar, sosej, telur dan loaf ayam.
Azril mengambil kedua biji pinggan dan dibawa ke meja makan.
Usai sarapan, aku duduk di meja tengah. Ruang kerja kami. Azril sedang membasuh pinggan dan peralatan memasak. Aku lihat jam. Sudah menghampiri jam 10 pagi. Aku hantar pesanan ringkas kepada Khalida memberitahunya tentang kehadiran kami pada waktu tengahari.
Aku sedang leka melakukan kerjaku. Tak ada banyak memandangkan hari ini adalah hari minggu. Aku hanya ingin mengemaskini akaun dan memantau hasil dari iklan yang aku bayar.
Aku pandang Azril yang sedang duduk memandangku.
“Kenapa?” Tanyanya.
Aku tahu soalan tu. Pasti berkaitan dengan keadaanku yang senyap dan tak banyak bercakap sejak 2 hari lepas. Iaitu, sejak dia pulang. Atau lebih tepat, sejak kali terakhir nenda datang ke rumah ini.
Aku geleng dan terus menumpukan pandanganku kepada laptop dihadapan. Sesekali, aku alihkan juga pandangan ke arahnya. Terasa rimas ditenung dan diperhatikan begitu.
Click.
Aku pandang ke arah Azril. Mataku terjegil marah kerana dia mengambil gambarku yang belum mandi dan masih dengan pakaian tidur.
“Dah tak ada kerja ke?” Marahku.
Dia geleng.
“Pergi tengok TV ke. Main X-Box ke. Tak pun pergi mandi. Jangan kacau wife buat kerja, boleh tak?” Sambungku.
Dia diam. Langsung tidak mengendahkan amarahku. Terus dengan kameranya mengambil gambarku.
Aku tutup laptopku dan terus naik ke atas. Lagipun, jam sudah menginjak ke jam 11 pagi. Aku janji dengan Khalida tengahari. Walaupun tidak jauh rumah mertua Khalida dengan rumahku, tapi sekiranya aku masih leka dengan kerjaku, pasti selepas Zohor baru kami akan bertolak.
“Azril! Mandi!” Panggilku usai aku selesai memakai pakaian.
“Dah mandilah.” Balasnya dan aku dengar dia berlari naik ke atas.
Sementara menunggunya menukar pakaian, aku berdiri di tingkap. Memerhati jalan raya yang lenggang. Fikiranku melayang jauh.
“Wifey, kenapa ni?” Tanya Azril sambil memelukku dari belakang.
Aku menyelesakan tubuhku di dalam pelukan itu. Jariku, aku sulam dengan jari-jemarinya yang berada diperutku. Aku sandarkan kepalaku dibahunya.
“Macam mana kalau ini adalah momen terakhir kita?” Tanyaku.
“Kenapa cakap macam tu?” Soalnya semula. Pelukannya makin dieratkan.
“Wife tanya saja. Lagipun, kita sendiri tak tahu apa bakal berlaku esok. Sekejap lagi pun kita tak mungkin boleh tahu. Kita cuma mampu untuk predict what will happen next. But in a second, Allah boleh twist jalan ceritanya jadi lain. Kan?” Kataku. Lembut. Tangisan cuba aku tahan semampu mungkin. Cukup sekali aku melihat Azril serabut. Dan biarlah itu yang terakhir. Aku tak mahu lagi menyakitinya.
Dia angguk.
“Wifey nak hubby tahu yang wifey sentiasa bahagia bila bersama hubby. Tak pernah walau sesaat bersama hubby ada rasa luka atau sakit. Semuanya indah belaka.” Kataku. Genggaman tanganku, aku eratkan lagi. Tanda aku memang memaksudkan apa yang aku katakan.
“Kenapa ni, wifey. Sejak saya balik, wifey banyak diam. Hubby macam hilang isteri.” Azril cuba pujuk aku untuk bersuara.
Aku geleng.
Saat ini aku teringatkan abah. Seandainya abah masih ada. Pasti perkara begini dapat ditangani dengan baik. Yang paling pasti, aku tahu pada siapa aku nak luahkan rasa hati ni.
‘Kalau abah ada, apa abah akan buat?’
“Jomlah. Nanti Khalida tunggu kita.” Kataku saat melihat jam ditangan sudah pukul 12 tengahari.
Aku memusingkan badanku menghadapnya. Memeluknya sambil melentikkan badanku ke belakang agar aku dapat menatap wajah Azril. Sebuah senyuman aku hadiahkan padanya. Wajahnya, aku pegang dengan kedua tapak tanganku. Wajah yang sentiasa aku rindui walau dia berada di depan mataku. Senyumannya itu ialah senyuman semangatku. Andai aku kehilangannya, bagaimana dengan semangatku? Mampukah aku hidup bersandarkan pada kenangan?
‘Nita, kuatkan semangat.’
“Sombongnya tak nak reply kita senyum.” Usikku. Pipinya aku cubit.
Dia menepis dengan membelakangkan kepalanya.
“Kedekutnya dia tak nak share cerita dengan kita.” Balasnya. Tiada senyuman yang diberikan.
“Nantilah kita cerita kat awak, ya? Sekarang ni kita pergi rumah Umar dulu tapi awak kena senyum sikit.” Kataku.
Dia terus senyum.
Aku membetulkan kola bajunya. Kemudian aku menolak tangannya untuk meleraikan pelukan kami. Aku berjalan ke depan meja solek untuk memastikan penampilanku kemas. Bersiap sedia untuk berziarah.
“Jom.” Aku menghulurkan tanganku kepada Azril.
Azril menyambut tanganku dan kami beriringan turun ke bawah. Aku lepaskan pegangan tangan kami sewaktu Azril sedang membuka kunci grill dan masuk ke ruang tamu. Satu persatu soket elektrik aku periksa bagi memastikan semuanya bertutup dan dicabutkan. Demi keselamatan rumahku dan tetangga yang lain.
Usai itu, aku keluar dan menanti Azril mengunci grill. Huluran tangannya aku sambut dan kami berjalan ke tempat letak kereta. Tentu saja akan naik kereta Azril. Kerana dia yang memandu. Lagipun, Azril tidak membenarkan aku memandu keretanya. Dan dia takut sekiranya aku memandu. Laju dan berbahaya.
Sampai saja dirumah mertua Kelly, mereka sudah siap sediakan makanan tengahari. Benar-benar langkah kanan bila lauk kegemaranku dan Azril dihidangkan. Namun, tak sempat kami hendak menceduk nasi ke dalam pinggan, Umar Khalif sudah menangis.
“Dah terjaga dah anak teruna aku tu. Nak menyusulah tu. Kau nak susukan dia tak?” Tanya Khalida sambil berjalan laju ke ruang tamu mengambil Umar Khalif.
“Mana ada susunya dah.” Balasku.
“Ala, just for bonding. Susu aku pun dah tak berapa nak ada. Tapi aku suakan juga. Orang kata, nak eratkan hubungan anak dan mak.” Kata Khalida sambil datang mendekati kami dimeja makan sambil mengendong Umar Khalif.
Aku geleng.
Umar Khalif yang tadi sudah senyap selepas diangkat, mula menangis bila nampak aku. Mahu dengan tidak, terpaksa juga aku ambilnya untuk didukung.
“Kejap aku pergi buat susu dia.” Kata Khalida.
Aku angguk.
“Biasalah. Budak dah kenal orang. Dah boleh bau ibu dia.” Kata ibu mertua Khalida, Puan Ira.
Aku hanya senyum.
Azril datang mendekatiku. Dahi Umar Khalif diciumnya. Tanpa segan dan malu, dia memelukku dari belakang dan tangannya diletakkan sama dengan tanganku. Seakan-akan dia juga turut mengendong Umar Khalif.
Azril, sehingga kini, tak berani mahu mendukung Umar Khalif. Katanya, Umar Khalif terlalu lembut. Oleh itu, dia akan buat begitu. Untuk merasai nikmat mengendong anak.
“Nah, Umar. Susu.” Kata Khalida sembil merapati kami.
Dia ingin mengambil Umar Khalif tapi anak itu menangis. Maka, kenalah aku yang menyusukannya. Sambil mengendongnya.
“Perangai macam ayah dia. Berkepit saja dengan ibu.” Perli Khalida.
Azril ketawa.
Aku hanya senyum. Pahit.
Khalida memandangku. Lama.
Aku abaikan. Biarlah dulu. Lagipun, ini hal rumahtanggaku. Menceritakan kepada orang lain, aku rasa tak patut. Nak bercerita dengan Azril, aku takut tindakan Azril seterusnya. Kalau dia serabut, aku susah hati. Kalau dia marah nenda, aku bertambah-tambah susah hati.
Walau terasa seperti mahu meletup kepala otak aku memikirkannya, aku cuba bertahan. Air mata pun tika ini tidak mampu untuk menyirami rasa bahang dalam hati dan mindaku.
“Kau kenapa? Tak pernah rumah ni sunyi kalau kau ada. Umar bangun pun, kau tidurkan semula. Selalu, kau sibuk nak main dengan dia.” Kata Khalida.
Aku hanya senyum kelat sambil menggeleng. Aku berlalu ke tempat tidur Umar Khalif bila saja anak itu sudah lelap semula. Dengan penuh berhati-hati, aku letakkannya. Aku usap ubunnya sebelum menciumnya.
Aku kembali ke meja makan. Azril sudah menunggu. Nasi untukku juga sudah disendukkan. Dia terus menadah tangan sebaik saja aku duduk. Doa dibaca dan aku aminkan.
Kami minum air sebelum menjamah makanan. Azril seperti biasa, dia akan mengambil sedikit garam dan diletakkan ditapak tangan sebelum dijilatnya. Sementara itu, aku cedokkan lauk untuknya.
“Terima kasih.” Katanya seraya menghadiahkan aku sebuah kucupan di pipi.
Aku hanya angguk. Tak membalas seperti biasa.
Kami makan tanpa sepatah kata pun. Cuma fikiran aku saja melayang mengingati kata-kata nenda. Dan otak aku mula berfikir. Apa yang perlu aku lakukan?
Mengalah atau menyerah?
“Assalamualaikum.” Suara Alif memberi salam.
“Waalaikummussalam.” Jawab aku dan Azril serentak.
“Lama dah sampai?” Tanya Alif.
“Sempat menyusukan Umar. Awak tu? Ke mana saja? Dah katakan Azril dan Nita nak datang.” Jawab Khalida.
“Ini. Pergi cari pulut panggang yang Nita suka tu. Cari pulut udang yang Azril suka.” Balas Alif.
“Terima kasih, Alif. Buat susah kau saja.” Kata Azril.
“Tak apa. Korang bukan datang hari-hari. Kalau hari-hari datang, aku tunjuk kedai, korang pergilah beli sendiri.” Seloroh Alif.
Azril dan Khalida ketawa. Aku hanya mampu untuk tersenyum. Itu pun payah sangat rasanya. Rasanya, kalau tak senyum, lebih baik.
Selesai makan, aku duduk disebelah Umar yang sedang nyenyak tidur. Kelly pula sibuk mengemas meja makan dan dapur. Langsung tidak membenarkan aku untuk menolongnya. Disokong pula oleh ibu mentuanya. Aku mengalah dan terus ke Umar Khalif. Azril pula duduk diluar bersama Alif.
“Kau kenapa ni, Nita?” Tanya Kelly dan terus duduk disisi kanan Umar Khalif berhadapanku.
Aku hanya geleng kepala.
“Takkan tak ada apa-apa bila Azril sendiri bertanya. Dia call Aliff suruh tanya aku. Kot kau ada masalah ke apa. Ceritalah. Kenapa kau jadi macam ni?” Desak Kelly.
Aku geleng. Namun, air mataku sudah mengalir.
Khalida mengambil tanganku dan digenggamnya.
“Dua hari lepas nenda datang rumah aku. Nenda kata, sudah pinangkan madu untuk aku.” Akhirnya aku ceritakan juga apa yang terjadi. Air mata mengalir dengan laju.
“Abaikan semua yang nenda cakap. Hubby tak akan ikut.” Kata Azril perlahan sambil memelukku dari belakang.
Aku memusingkan badanku dan memeluknya erat. Air mata aku hemburkan semahunya.
“Nita, sejak bila kau mengalah dengan keadaan? Kau kuat. Kau sendiri tahu, Azril tak akan terima cadangan nenda tu. Kau sendiri tahu antara kau dan nenda, Azril akan pilih kau. Aku tak nampak sebab kau nak mengalah. Bersedih macam ni.” Kata Khalida. Nadanya sayu tapi penuh dengan semangat untuk aku bangkit dari kesedihan ini.
“Macam mana pun, itu nenda, Khalida. Nenda Azril. Ibu bonda. Kalau kau jadi aku, kau sanggup ke nak melawan? Kalau pun Azril tak terima, dia tetap terpaksa ikut. Kena akur. Jika tidak, derhaka. Aku sanggup mengalah asalkan aku dan Azril boleh bersama di syurga.” Bidasku. Hatiku bagai nak meletop saat ini dek kerana marah kerana orang mempertikaikan keegoaanku selama ni.
“Nita, tak ada istilah cucu derhaka.” Kata Alif.
“Aku tahu. Tapi tak derhaka ke Azril kalau buat bonda serba salah. Antara ibu dan anak. Tak derhaka ke Azril buat bonda susah hati. Menangis. Tak derhaka ke?” Tanyaku semula.
“Bonda Azril cakap apa? Nita? Azril?” Tanya Puan Ira.
“Bonda tak cakap apa-apa pun, makcik. Bonda selalu diam saja bila nenda timbulkan isu ni.” Balas Azril.
“Nita, Azril, cuba bercakap dengan bonda. Bincang dengan bonda. Minta bonda korang tolong bercakap dengan nenda.” Cadang Puan Ira.
“Sudah, makcik. Bonda kata, dia tak boleh buat apa-apa. Nenda memang perangainya begitu. Dari dulu. Jika putih. Putihlah. Tak pernah nak bertukar.” Balasku.
“Sabarlah, Nita. Pasti ada jalan lain. Berdoa jangan putus. Minta Allah pelihara rumahtangga korang supaya kekal bahagia.” Pesan Puan Ira.
“Itu pun saja yang kau mampu buat, Nita kalau kau pilih untuk mengalah.” Kata Alif.
“Aku bukan nak memburukkan keadaan. Tapi ini pesan aku untuk korang berdua. Jangan mengalah.” Kata Khalida.
“Khalida...” Aku benggang. Aku leraikan pelukan aku dan Azril. Aku pandangnya.
“Dengar dulu. Aku tak suruh korang derhaka. Tapi cuba selesaikan dengan cara berhemah. Fikirkan caranya supaya hati korang tak sakit. Nita, kau kena tahu. Dalam keadaan sekarang ni, mengalah bukan kau yang sakit. Azril paling sakit. So, korang kena fikirkan macam mana cara nak mengurangkan rasa sakit tu. Aku tak tahu macam mana. Itu, korang kena figure out sendiri. Lagipun, memang bukan kau, Nita, kalau mengalah. Mengalah bukan Nita yang aku kenal.” Kata Khalida.
“Betul!” Kata Azril dan Alif hampir serentak.
“Perjuangan ni memang perjuangan kau dan Azril. Tapi lebih pada kau, Nita. Dan Azril kekuatan kau. Selagi Azril masih sebelah kau. Menyokong kau, kau kena kuat pertahankan rumahtangga kau. Jangan pernah sekali pun mengalah.” Kata Kelly.
“Betul!” Sokong Alif.
“Wife. Fighting!” Kata Azril. Tangannya digenggam dengan memek wajah semangat.
“Kejadah betul.” Kataku menjeling Azril.
Semua yang ada di situ ketawa. Aku turut sama ketawa. Rasa syukur. Dalam keadaan sekarang, ada yang sudi mengingatkan aku tentang perang.
Ya. Ini adalah peperangan aku dan nenda. Sama ada aku atau nenda yang menang, Azril tetap akan menjadi mangsa. Untuk itu, aku perlu meminimakan risiko.
Azril tak boleh ikut serta aku berperang. Dia hanya perlu duduk dibelakangku. Menjadi pemangkin semangatku. Jika dia mengepalai peperangan ini, rumahtangga kami akan kecundang. Bukan kerana dia lemah atau bacul tapi kerana tanggungjawab dan kuasa-kuasa besar yang dipunyai nenda. Yakni, bonda.
Jadi, biar dia dibelakang. Jika aku kecundang, dia ada untuk mempertahankan. Pasti menang kerana dia dah melihat macam mana aku berjuang dan dia tak akan pernah mahu kalah.

            Itu strategi peperangan yang aku rancang. Selebihnya, perancangan Allah lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan