SUBSCRIBE

Ahad, Januari 07, 2018

Cinta? Semak! 23

Rizman baru saja sampai rumah. Sedang menunggu pagar rumahnya dibuka, dia ternampak kelibat Dila dan Rayqal. Rayqal mencium tangan dan memeluk Dila. Dila masuk ke dalam kereta dan terus mengundurkan kereta.
Rizman terus menekan butang pagar rumahnya untuk ditutup kembali. Gerak hatinya memaksanya mengekor kereta Dila. Entah kenapa dia rasa dia tak akan jumpa Dila lagi sekiranya dia terlepas Dila tika ini.
Rizman mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon emaknya.
“Mak, mak tahu rumah mak bapa Dila?”
“Tahulah. Kenapa?”
“Dekat mana?”
“Kajang.”
“Kajang?”
Rizman melihat papan tanda jalan yang dituju Dila. Ini bukan jalan menghala ke Kajang. Ini jalan menghala ke arah Lebuhraya Utara-Selatan. Ke mana hala tuju Dila?
“Mak, esok kita pergi rumah mak bapa Dila. Merisik Dila untuk Man.” Putus Rizman.
“Ha?” Terkejut Acik Dina dengan keputusan Rizman yang tiba-tiba.
“Kau biar betul.” Tanya Acik Dina inginkan kepastian.
“Ya, mak.” Kata Rizman dan terus mematikan talian telefon bimbitnya.
Dia dapat rasakan Dila sedang melarikan diri. Dia mahu tahu arah tuju Dila. Tapi dia terpaksa mengalah bila melihat meter minyaknya yang sudah menyala. Jika dia singgah isi minyak, pasti akan terlepas Dila. Kecuali kalau Dila turut sama berhenti.
Rizman nampak papan tanda stesen minyak lagi 1 kilometer. Dia terpaksa berhenti untuk mengisi minyak keretanya. Namun, sempat hatinya berdoa agar Dila turut sama berhenti.
Allah mendengar doanya. Dila memberi signal untuk masuk ke stesen minyak berkenaan. Rizman senyum. Dia berhenti dibelakang kereta Dila yang turut parking disebelah pam minyak. Dia keluar untuk pergi bayar. Saat melalui pintu kereta Dila, Dila keluar.
“Dila. Isi minyak juga?” Tanya Rizman berpura-pura seperti terserempak.
Dila hanya senyum dan terus berjalan ke kaunter untuk membayar minyak keretanya.
Rizman jalan beriringan dengan Dila.
“Penuh.” Kata Dila sambil menghulurkan not RM100 kepada cashier.
“RM50.” Kata Rizman dan menyerahkan not RM50 kepada cashier.
Rizman segera pergi mengisi minyak keretanya. Dia pandang Dila yang berdiri dibelakang keretanya. Dia gerak mendekati Dila.
“Nak pergi mana? Pakai cantik-cantik malam-malam ni.” Tanya Rizman. Ramah.
Dila diam.
“Dila, tak boleh ke bercakap dengan Man? Kita ni jiran.” Kata Rizman.
Dila masih diam.
“Dila, tak salahkan kalau kita bersembang. Beramah mesra macam jiran dengan jiran.” Kata Rizman. Lebih pada memujuk.
Dila mendekati keretanya bila nozel yang mengisi minyak ke dalam keretanya berbunyi. Dia meletakkan nozel kembali ke tempatnya dan berjalan ke cashier untuk mengambil baki.
Rizman juga turut lakukan perkara yang sama. Dia kemudian menunggu dihadapan pintu kereta Dila.
Dila menarik nafas dalam sambil mendekati keretanya.
“Boleh tak tolong saya elak dari fitnah.” Kata Dila tika berhadapan dengan Rizman.
“Kita berkawan saja. Beramah mesra antara jiran dengan jiran.” Balas Rizman.
“Tepi sikit.” Dila menolak Rizman. Kasar. Dia mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Rayqal.
“Dik, jiran kita nak cakap.” Kata Dila dan terus memberi telefon bimbitnya kepada Rizman.
“Siapa?” Tanya Rayqal.
“Abang Man ni.” Jawab Rizman.
“Ada apa, Abang Man?” Tanya Rayqal.
“Esok abang dengan mak abang nak pergi rumah mak bapa Rayqal. Nak pinang Dila untuk abang.” Kata Rizman.
“Tak boleh.” Tegas jawapan Rayqal.
“Kenapa?” Tanya Rizman.
“Pokoknya, tak boleh.” Balas Rayqal.
“Tapi kenapa?” Tanya Rizman sekali lagi.
“Abang Man, boleh tak kalau tak buat benda mengarut.” Marah Rayqal.
“Kami tahu Abang Man dah lama berkenan dengan kakak. Sebab tu, kakak tak pernah layan Abang Man. Ingatkan Abang Man faham.” Sambung Rayqal.
“Abang Man tak faham. Kenapa Abang Man tak boleh masuk pinang kakak kau?” Tanya Rizman sekian kalinya.
“Sebab kakak tak suka Abang Man. Simple je kan?” Jawab Rayqal.
“Yang penting Abang Man suka. Esok Abang Man dan mak pergi jumpa parent korang. Kalau dorang izinkan, Abang Man akan pastikan Dila jadi milik Abang Man.” Kata Rizman dan terus mematikan talian.
Dila yang mendengar kata-kata Rizman itu, mula naik berang. Rasa mahu saja dia memijak muka Rizman tika itu. Namun, dia sedar. Dia ditempat awam. Dan bergaduh ditempat awam begini, hanya akan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang perempuan.
Lagipula, zaman sekarang. Jika tersalah langkah, akan viral. Satu dunia tahu. Jadi, dia perlu berhati-hati.
Masalahnya sekarang ni, bagaimana mahu menghalang niat Rizman? Dia tak boleh nak batalkan janjinya esok. Rayqal juga ada hal penting yang melibatkan masa depan perniagaannya.
Dila mengambil telefon bimbitnya ditangan Rizman dan terus masuk ke dalam. Pintu keretanya ditutup kuat untuk menunjukkan perasaan marahnya. Dia hidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari stesen minyak dan meneruskan perjalanannya.
Rayqal menelefon Dila. Hatinya risau. Risau dengan pelbagai kemungkinan. Dan dia tak tahu macam mana mahu mengelak kejadian ini dari terjadi. Dari dulu lagi dia berfikir jika tiba-tiba Rizman melamar Dila.
“Kak. Macam mana ni?”
“Bukan terus nikah pun, kan?”
“So?”
“Biarlah dia.”
“Buatnya abah setuju? Mak dari dulu memang nak jodohkan kau dengan Abang Man.” Kata Rayqal. Risau. Dia tak tahu macam mana nak berhadapan dengan kedua orang tuanya.
“Apa pun yang boleh jadi? Kalau aku tak nak, siapa yang boleh paksa?” Balas Dila.
“Tenangnya kau bercakap. Hoi, abah tu, wali yang boleh paksa kau nikah, tau?” Jerit Rayqal. Benggang dengan ketenangan Dila.
“Abah boleh paksa kalau aku anak dara. Soalnya sekarang ni, aku ni mak budak. Lagipun, kalau Man tahu aku ada anak, takkan dia nak terima. Kalau pun dia boleh terima, takkan Acik Dina pun sama.” Balas Dila.
“Kau nak gunakan Adha untuk tolak lamaran Abang Man? Kau tak takut kalau jiran-jiran kita tahu kau ada anak? Tak pernah kahwin, dah ada anak? Nak orang mengata kau macam-macam? Kalau sampai keluarga Engku Da tahu? Macam mana?” Kata Rayqal.
Kata-kata Rayqal itu buatkan Dila menghentikan kenderaannya dibahu jalan. Hatinya mula rawan. Dia teringat perbualannya dengan Engku Da dulu. Engku Da yang begitu berharapkan anak-anaknya berkahwin kerana dia terlalu inginkan cucu.
“Nak buat macam mana ni?” Tanya Dila.
“Baru ada akal nak fikir. Kau pergi ambil Adha kat rumah mak. Bawa Adha sama. Aku dah telefon mak tadi suruh siapkan Adha.” Kata Rayqal.
“Kau dah fikir dari awal, yang kau provoke aku buat apa, dol? Nasib baik aku tak break mengejut. Nasib baik aku ada akal parking kat tepi.” Marah Dila.
“Saja nak buat kau berfikir. Jangan nak harap aku fikirkan semua benda untuk kau.” Balas Rayqal.
“Macam kau cakap, bukan terus nikah pun. Kau pun tak ada. Tak ada apa yang dorang boleh buat. Hal kemudian, kemudian je kita fikir. Esok, kita ada hal yang tak boleh nak dibatalkan. So, kita tenang je dulu.” Sambung Rayqal.
“Yalah.” Balas Dila dan terus matikan talian telefon.
Dia mengubah hala keretanya. Dari terus ke Penang, dia melencong masuk ke persimpangan Sungai Buluh dan memandu keretanya balik ke Kajang.

Perkara pertama yang perlu dielakkan adalah Adha. Adha tak boleh didedahkan kepada orang luar. Jika Adha didedahkan kepada umum sebagai anaknya, berkemungkinan, dia akan kehilangan Adha untuk selamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan