SUBSCRIBE

Khamis, Januari 18, 2018

Cinta? Semak! 34

“Tengku Puan!” Laung Mak Bedah.
Bergegas Engku Da ke ruang tamu. Dia yang berada di dapur, segera mendekati Mak Bedah yang menjerit memanggilnya. Langkahnya makin laju bila melihat seorang budak lelaki seiras wajah Firdaus berdiri disebelah Mak Bedah.
“Siapa ni, Mak Bedah?” Tanya Engku Da.
“Nama abang, Adha. Bonda kata, sini rumah daddy. Bonda suruh abang duduk dengan daddy.” Jawab Adha.
“Ha?”
Terkedu Engku Da seketika.
“Mak Bedah, panggilkan Haikal. Panggilkan Firdaus sekali.” Arah Engku Da. Matanya tak beralih daripada Adha.
Mak Bedah bergegas ke bilik Firdaus dan Haikal. Seorang demi seorang anak majikannya itu disuruh turun. Dia kemudian, sama-sama turun ke ruang tamu.
Sebaik saja Haikal dan Firdaus turun, Adha terus berlari mendekati dua beradik itu. Kaki Haikal dipeluk. Dia kenal Haikal. Matanya, memandang Firdaus. Tak berkelip.
Firdaus memandang Haikal. Haikal angguk.
“Siapa ni? Anak siapa ni? Macam mana boleh ada anak ni?” Tanya Engku Da sebelum sempat Firdaus melutut dihadapan Adha.
Terus saja Firdaus membatalkan niatnya. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dipeluk Adha. Tapi perancangan sudah dibuat. Andai saja dia tersalah langkah, pasti rancangan mereka gagal.
“Anak Haikal ke anak Daus?” Tanya Engku Da lagi.
Haikal dan Daus berpandangan. Haikal tarik Adha dan terus melutut dihadapan Adha. Dengan lembut, dia mengusap belakang kepala Adha. Dengan lembut dia bertanya,
“Apa nama penuh?” Tanya Haikal.
“Adha Hazimi bin Firdaus Hazimi.” Jawab Adha.
“Anak Daus? Sejak bila Daus ada anak?” Melenting Engku Da bila tahu Firdaus sudah mempunyai seorang anak. Sudah besar.
“Berapa tahun?” Tanya Mak Bedah.
“Bonda kata, daddy akan hantar abang pergi sekolah darjah satu nanti.” Jawab Adha.
“7 tahun?!” Sekali lagi Engku Da melenting.
Dia tahu, pasti ini adalah anak hasil dari hubungan Firdaus dengan perempuan yang duduk serumah dengannya dulu. Kekasih hati Firdaus. Anak luar nikah.
“Daus tak tahu pasal budak ni?” Tanya Engku Da.
“Adha naik atas dengan uncle.” Kata Firdaus. Dia tak mahu Adha dengar penipuan yang bakal dia katakana kepada Engku Da.
Engku Da diam. Dia pun tak mahu Adha dengar perbualan dia dan Firdaus. Dia pasti akan memaki hamun perempuan tu. Tak elok untuk seorang budak mendengar kata-kata hinaan kepada ibunya.
“Daus, bonda tanya ni. Daus tahu tak pasal budak tu?” Tanya Engku Da.
Firdaus geleng.
“Ini mesti anak perempuan tu. Entah betul entah tidak anak Daus.” Kata Engku Da.
“Tapi muka dia memang sebiji muka Firduas Tengku Puan.” Kata Mak Bedah.
Engku Da mengeluh. Dia pun tak dapat menafikan tentang itu. Wajah Adha saling tak tumpah dengan muka Firdaus. Jika ada yang kenal Firdaus dan ternampak Adha, pasti akan fikir, Adha anak Firdaus.
“Macam mana nak buat ni? Dahlah sesuka hati dia letak nama anak dia ber’bin’kan nama Daus. Saja nak malukan keluarga kita. Saja nak ugut kita? Dasar perempuan murahan. Anak luar nikah di’bin’kan dengan nama bapa. Tak sedar diri.” Luah Engku Da.
Firdaus menahan hati mendengar kata-kata nista yang dilemparkan kepada Dila. Namun, dia harus ingat semua rancangan yang telah diatur. Adha wajib kena tinggal dirumah ini walau apa pun penerimaan Engku Da.
Itu janji yang sudah dilafazkan kepada Dila.
“Oh. Saya lupa. Masa saya ambil budak tu tadi, orang tu bagi surat ni kat saya.” Kata Mak Bedah sambil mengambil surat yang diletakkan diatas meja tadi sebelum naik ke atas memanggil Firdaus dan Haikal.
Engku Da mengambil surat itu. Dia terus membuka dan membacanya.
“Kurang ajar! Dia ugut kita!” Kata Engku Da.
Firdaus terus mengambil surat yang ditangan Engku Da.
Sayang, jaga anak kita baik-baik.
Kerut dahi Firdaus.
“Mana ada ugutan. Dia suruh Daus jaga anak tu je, bonda.” Kata Firdaus.
“Ugutlah tu. Kalau anak dia tak dijaga elok-elok, mesti dia nak dedahkan hal ni. Tak boleh jadi. Kita kena sorokkan budak tu. Malu kita kalau orang tahu siapa budak tu. Malu.” Kata Engku Da.
“Tapi budak tu kena pergi sekolah.” Kata Firdaus.
“Home schooling.” Balas Engku Da.
“Mana nak sama. Dia perlu berkawan, bonda.” Bantah Firdaus.
“Nak orang tahu yang Daus ada anak luar nikah? Tak malu ke? Ha?” Bentak Engku Da.
“Benda dah jadi, bonda. Nak malu pun, dia tetap anak Daus. Kalau biarkan, orang kata kita tak bertanggungjawab. Lagilah malu.” Kata Firduas.
Engku Da diam. Ada rasionalnya kata-kata Firdaus itu.
“Bonda tak tahu. Pandai-pandailah Daus nak fikir. Anak Daus. Jangan nama baik keluarga kita jadi pertaruhan dalam hal ni. Bonda tak nak sebab budak tu, keluarga kita dihina. Dipijak-pijak orang. Faham!” Kata Engku Da dan terus berlalu meninggalkan Firdaus.
Firdaus senyum.

Misi pertama selesai. Menyerahkan Adha dalam keluarga ni bila Engku Da sudah kembali ke Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan